Thursday 19 March 2015

Rosnah: Permuafakatan merupakan kunci kejayaan dan Kecemerlangan Sekolah




PENGHARGAAN..Rosnah menerima cendera kenangan dari penganjur selepas merasmikan mesyuarat agung tersebut



PAPAR: Permuafakatan merupakan kunci kejayaan bagi membolehkan Persatuan Ibu Bapa Guru dan pihak Sekolah menggembeling tenaga ke arah mencapai kecemerlangan para pelajar.


Sehubungan dengan itu, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Hajah Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, ibubapa melalui (PIBG) mempunyai peranan serta tanggungjawab bagi menentukan sahsiah dan kecemerlangan anak-anak mereka tanpa terbeban di bahu pihak sekolah dan guru-guru sahaja.

“Hubungan serta kerjasama erat antara institusi keluarga (ibubapa) bersama institusi sekolah dan guru-guru perlu dipereratkan seiring dengan perkembangan dan cabaran semasa yang menjadi kayu pengukur pencapaian kecermalangan pendidikan khususnya pencapaian akademik pelajar” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Agung (PIBG) SK Beringis  kali ke 21 baru-baru ini.

Menurut Rosnah, kerjasama ini juga  seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan  melalui perlaksanaan Program Sarana Ibubapa dan Sarana Sekolah yang bertujuan untuk meningkatkan penglibatan ibubapa, komuniti dan sektor swasta bagi memperkasakan sektor pendidikan Negara.

“Pembelajaran anak-anak berlaku melangkaui kawasan dan boleh berlaku di rumah dan dalam komuniti, kerana itulah program ini dilaksanakan” katanya. 

Dalam perkembangan yang sama Rosnah berkata, kerajaan sentiasa mengambil berat tentang kepentingan pendidikan.

Katanya pelbagai kemudahan serta bantuan telah disalurkan bagi memastikan semua pelajar dapat belajar dalam persekitaran yang kondusif selain mendapat eksis yang mencukupi dalam pembelajaran mereka.

“Pelbagai bantuan telah disediakan  oleh kerajaan antaranya bantuan buku teks, bantuan makanan tambahan (RMT), bantuan Awal Persekolahan, baucar buku dan biasiswa  membuktikan  komitmen kerajaan  untuk melahirkan modal insan cemerlang  aset penting untuk menjana  kemajuan Negara “ katanya.

Sehubungan dengan itu, Rosnah berharap selain kesungguhan guru-guru mendidik golongan pelajar, mereka juga perlu merebut segala peluang dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan sementara ibubapa perlu terus memberikan galakan serta sokongan untuk anak-anak mereka berjaya dalam bidang pendidikan.



TANDATANGAN...Rosnah menandatangani buku kehadiran sejurus tiba untuk merasmikan mesyuarat agung tersebut





AMANAT...Rosnah ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tersebut

No comments:

Post a Comment