Saturday 28 March 2015

Tidak Perlu Laksanakan GST Jika Kerajaan Serius Tangani Rasuah



Gambar hiasan...Usahawan kecil bakal gulung tikar jika kerajaan tidak kaji semula paras treshold RM500,000


Saya ingin merujuk kepada jawapan pertanyaan lisan saya kepada Menteri Kewangan iaitu adakah kerajaan berniat meningkatkan syarat penyertaan GST bagi sesebuah syarikat daripada jualan RM500,000 setahun kepada RM1 juta atau RM2 juta memandangkan beban peniaga yang berat? Jawapan yang saya perolehi dari pihak Kementerian Kewangan, pihaknya tidak bercadang untuk mengkaji semula paras threshold RM500,000 yang ditetapkan.

Persoalan saya di sini, adakah kerajaan terlalu terdesak untuk terus menekan syarikat-syarikat sederhana dan kecil yang mempunyai anggaran jualan RM500,000 setahun yang mana kebanyakan mereka merupakan usahawan-usahawan kecil sederhana, pengusaha-pengusaha runcit, pengusaha restoran dan sebagainya?


Dengan mengenakan GST terhadap golongan peniaga kecil ini, ia bukan sahaja membebankan mereka malah sebahagian mereka juga akan gulung tikar. Persoalannya, mengapa kerajaan bertindak sewenang-wenang menekan usahawan kecil ini?

Adakah jumlah beban hutang kerajaan Malaysia yang sudah melebihi RM700 bilion itu menyebabkan mereka begitu terdesak untuk terus melaksanakan GST dan menetapkan treshold RM500,000 terhadap peniaga dan usahawan kecil ini?

Jika kerajaan serius tangani rasuah, GST tidak diperlukan.

Semasa GST mula diperkatakan beberapa tahun lalu, pihak kerajaan turut mengambil contoh beberapa negara yang menguatkuasakan GST, salah satunya ialah Singapura. Bagaimana pun, GST di Singapura berbeza dengan GST di Malaysia.

Di Singapura, hanya syarikat yang mempunyai turnover sebanyak $1 juta Singapore Dollar (RM2.7 juta Ringgit Malaysia) ke atas sahaja dikenakan GST selain dari kedudukan ekonomi dan matawang mereka yang kukuh berbanding Malaysia. 

Jika suatu ketika dahulu satu Ringgit Malaysia bersamaan dengan satu Dollar Singapura, kini, wujud perbezaan ketara yang mana kedudukan nilai ringgit ketinggalan 75%. Dalam bahasa mudah, orang Singapura lebih kaya 75% dari orang Malaysia jika diukur dari sudut ini. Lebih mengecewakan, bagi Sabah pula, nilai ringgit di Sabah berbanding Singapura pula ketinggalan sekitar 85% akibat kos sara hidup yang lebih tinggi dari Semenanjung Malaysia.

Salah satu sebab ekonomi Singapura jauh lebih kukuh dari Malaysia ialah ketegasannya membanteras rasuah. Laporan Audit Negara Malaysia yang dijalankan sering mendedahkan wujudnya penyelewengan dan ketirisan wang kerajaan. 

Ketirisan ini menyebabkan kerajaan kehilangan berbilion ringgit sebagai contohnya skandal-skandal kewangan terbesar negara seperti skandal PKFZ dan 1MDB seperti yang didedahkan di Dewan Rakyat. Jika kerajaan bertindak tegas memerangi ketirisan dan rasuah, berbilion Ringgit Malaysia itu boleh diselamatkan dan Malaysia akan mampu untuk terus maju tanpa GST.

GST beban kepada peniaga, rakyat dan menyumbang kepada masalah sosial.

Implementasi GST turut akan melibatkan kos yang banyak seperti pemasangan sistem, kos pengoperasian dan sebagainya bernilai lebih RM10,000. Sekali lagi, golongan peniaga dan pengusaha kecil akan terbeban malah sebahagian mereka mungkin gulung tikar dan memberi kesan kepada kalangan pekerja.

Bagi negeri Sabah, jualan dan keuntungan peniaga pula tidak selaras dengan Semenanjung Malaysia. Nilai seringgit di Semenanjung Malaysia tidak boleh disamakan dengan nilai seringgit di Sabah disebabkan kos sara hidup lebih tinggi dan ia antara lain disebabkan oleh polisi kabotaj yang membebankan. 

Walaupun sekitar dua tahun lalu kerajaan memberikan subsidi sebanyak hampir RM300 juta untuk menyeragamkan harga barang-barang keperluan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, nampaknya isu kenaikan harga ini masih belum selesai.

Saya percaya, jika kerajaan tidak mempedulikan nasib usahawan kecil sederhana ini dengan terus mengenakan GST, ia akan mengancam survival mereka. Bagi Sabah, keadaan ini memungkinkan ekonomi negeri akan terus mundur.

Dengan tanggungan beban yang bakal dipikul seluruh rakyat Malaysia bermula April ini, saya tidak menolak bahawa kesan langsung dari tekanan ekonomi terhadap rakyat akan menyebabkan lebih banyak kejadian jenayah dan masalah sosial yang lain ditambah pula dengan keadaan ekonomi negara yang semakin lemah.



Jimmy Wong Sze Phin

Ahli Parlimen Kota Kinabalu

No comments:

Post a Comment