Thursday 19 March 2015

Tindakan halang Pemuda masuk kampung perbuatan khianat kepada parti-Dato Mohd Aziz


Oleh: PAK JOMO


JANGAN RASA TERGUGAT...Mohd Aziz Jamman semasa berucap di majlis Perasmian Serentak Cawangan-Cawangan P.189 Semporna.


SEMPORNA: Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian UMNO P.189 Semporna, Dato Mohd Aziz Jamman kesal dengan tindakan segelintir pemimpin yang merasa tergugat akan kedudukan mereka dan cuba menghalang usaha pergerakan pemuda turun padang ke segenap kampung mendampingi rakyat serta ingin menarik golongan muda menyertai parti melalui program menambah ahli UMNO serta mendaftarkan ahli menjadi pemilih.


Mohd Aziz berkata, tindakan pemimpin ini mengarahkan Ketua-ketua Cawangan, Ketua-ketua kampung dan Pengerusi-pengerusi JKKK memulaukan program anjuran jentera parti merupakan suatu tindakan pengecut dan cuba merosakkan imej parti serta meruntuhkan kekuatan parti.

Katanya, bukan itu sahaja malah pemimpin-pemimpin di peringkat kampung diancam akan disenarai hitamkan dalam senarai ‘team’ mereka.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis perasmian Mesyuarat Serentak Cawangan-Cawangan UMNO Parlimen Semporna di Inabah Kamal di sini.

Mohd Aziz berkata, budaya tidak sihat yang cuba diterapkan ke dalam perjuangan parti UMNO itu secara langsung boleh memecahkan perpaduan dalam kalangan rakyat akar umbi sekaligus akan melemahkan semangat perjuangan parti.

Beliau menambah, pemimpin yang bergelar Wakil Rakyat tidak sewajarnya menganggap jentera parti masuk ke kampung memperkukuhkan kekuatan parti itu dilihat sebagai menggugat kedudukan mereka.

Katanya, sebagai pemimpin, mereka harus berjiwa besar dan memberi kerjasama erat kepada pergerakan Pemuda yang bakal menjadi pelapis kepimpinan Negara dan bukannya cuba menerapkan nilai-nilai budaya ketinggalan zaman.

“Pemimpin atau Wakil Rakyat tidak seharusnya takut kepada bayang-bayang sendiri kerana yang menggugat kedudukan mereka adalah sikap mereka yang lebih mementingkan kepentingan pribadi daripada kepentingan rakyat dan parti,”kata Mohd Aziz. 



KESAL...Ada pemimpin rasa tergugat apabila Pemuda masuk kampung perkukuh jentera parti.






BERSATU BERSETIA...Sebahagian AJK Bahagian P.189 Semporna sempena majlis perasmian Cawangan-Cawangan UMNO Serentak di Inabah Kamal, Semporna.




SOKONGAN MANTAP...Sebahagian ahli daripada 481 Cawangan UMNO sentiasa memberikan sokongan kepada kepimpinan UMNO Bahagian Semporna sempena majlis itu  di Inabah Kamal.


No comments:

Post a Comment