Tuesday 17 March 2015

WARGA INDONESIA BEGITU MUDAH DAPAT BR1M, DAKWA WONG


Oleh: Shaimon S Jumadi



SANDAKAN : Ahli Parlimen Sandakan Stephen Wong mendedahkan satu laporan  media  baru-baru ini mengesahkan bahawa seorang warga Indonesia telah mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) selama dua tahun berturut-turut.


Wong juga selaku Timbalan Pengerusi DAP Sabah mengutuk  sekeras-kerasnya terhadap tindakan  kerajaan BN yang lalai dan membazirkan dana awam demi kepentingan warga asing semata-mata.

Beliau berkata, kini negeri Sabah masih ramai orang yang hidup di bawah paras garis kemiskinan, tetapi kerajaan pula membiarkan warga asing menikmati BR1M, ini adalah tidak logik dan tidak boleh diterima akal.

Beliau bertanya kepada kerajaan, mengapakah perkara ini berlaku? “Kami juga dapat lihat bahawa ramai orang tempatan yang miskin dan layak mendapat BR1M, tidak diberikan BR1M.”

Wong berkata demikian dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan di Kota Kinabalu kelmarin. 

Beliau berkata, apabila orang tempatan memohon bantuan tersebut, pihak berkenaan pasti akan menyiasat dengan ketat, menyusahkan para pemohon, tetapi di sebaliknya warga asing pula berjaya memohon dengan mudah.

“Mengapakah kejadian ini masih berlaku sedangkan pelbagai proses pengesahan akan dijalankan?”


Beliau menyoal kerajaan, sehingga kini berapakah warga asing yang telah menerima BR1M? Kerajaan harus menangani masalah ini dan memastikan perkara ini tidak berulang lagi.

No comments:

Post a Comment