Wednesday 15 April 2015

DAP desak kerajaan beri tempoh kepada peniaga adaptasi mekanisma GST



Peniaga kecil-kecilan....perlu diberi bantuan dalam menghadapi tekanan GST



Timbalan Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong mendesak pihak berkuasa yang berkaitan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia menghentikan penguatkuasaan terhadap golongan peniaga yang tidak berupaya, dalam kata lain golongan pengusaha perniagaan kecil dan sederhana (SME) yang mendapat kesan buruk oleh GST.  Malah, golongan ini perlu mendapat bantuan dan sokongan kerajaan supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan mekanisma GST.

Wong berkata, beliau turut mendapat banyak aduan dari pemilik perniagaan tempatan yang kebanyakannya dari SME yang mana masih kekok dan mengalami kesukaran untuk mengadaptasi mekanisma tersebut terutamanya mereka yang keliru mengenai senarai barangan yang dikecualikan cukai. 


Menurutnya, sejak kerajaan bertegas untuk melaksanakan GST, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan implementasi itu berjalan lancar manakala setiap perniagaan pula boleh kembali berurusan seperti sediakala secepat mungkin.

Stephen Wong turut menempelak dakwaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang mendakwa segala urusan berkaitan berjalan lancar dan berpuas hati terhadap mekanisme tersebut. 

“Adalah amat tidak wajar apabila kerajaan seolah-olah hanya mementingkan jangkaan perolehan mereka (RM22 bilion) semata-mata. Kerajaan sepatutnya membantu golongan peniaga ini dan membuat pemantauan secara serius. 

"Perniagaan kecil-kecilan begitu terbeban dan menderita kerana berhadapan dengan banyak masalah. Tapi sampai sekarang pihak berkuasa terus menerus menekan dan menjalankan penguatkuasaan terhadap pengusaha-pengusaha perniagaan tanpa bantuan yang wajar,” tegas Wong.

Dalam pada itu, Stephen Wong turut mendedahkan, meski pun GST berkuatkuasa minggu lalu, tetapi komponen perisian perakaunan mengalami lebihan permintaan dan kehabisan stok di pasaran. Ia telah menyebabkan para peniaga gagal untuk menjalankan perniagaan kerana tidak ada resit berkomputer yang sah untuk berurusan dengan pelanggan. Justeru, adalah penting untuk memberikan satu tempoh penangguhan sekurang-kurangnya enam bulan kepada pengusaha perniagaan untuk menyesuaikan diri dan melancarkan segala urusan.

Wong yang juga Ahli Parlimen Sandakan berkata masih terdapat banyak peniaga yang menghadapi dilema dan hal ini menunjukkan Malaysia masih belum bersedia untuk GST. “Bukan sahaja pengusaha SME yang melakukan kesilapan, syarikat besar seperti 7eleven turut melakukan kesilapan. Pada masa yang sama, banyak pengusaha perniagaan tradisional terpasa gulung tikar,” ujar Wong lagi.

Beliau turut mempertikaikan kementerian dan pegawai-pegawai kastam yang kelihatan terlalu bersungguh-sungguh meyakinkan rakyat bahawa harga barang-barang akan menjadi lebih rendah dan turun selepas GST dijalankan.

“Nampaknya kerajaan telah menipu rakyat terang-terangan. Lihatlah pada situasi pasaran sekarang, kebanyakan harga barangan meningkat tinggi. Ini membuktikan GST membawa kesan negatif kepada pasaran semasa.”


Beliau mencabar kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan supaya mendedahkan semua senarai barangan yang telah diturunkan harga untuk membuktikan dakwaan mereka sbelum ini. 

“Kerajaan tidak boleh berselindung dari tanggungjawabnya. Jika kerajaan menipu rakyat, Perdana Menteri Najib Razak perlu meminta maaf dan menerima bahawa GST sememangnya membawa kesan negative ke atas rakyat,” tegas Wong.


Kata Wong, beliau sudah beberapa kali menggesa kerajaan untuk menangguhkan dahulu implementasi GST kerana Malaysia masih belum bersedia melaksanakannya saat ini. Disebalik semua perselisihan dan masalah yang berlaku, kerajaan masih bertegas mahu melaksanakan GST yang memberi kesan kepada rakyat, ia menunjukkan  kerajaan bersikap tidak bertimbangrasa dan tidak pro-rakyat.

No comments:

Post a Comment