Wednesday 1 April 2015

Kelab Tamparuli Sabah





IKRAR .... Para ahli KTS melafazkan ikrar mereka dalam Mesyuarat Agung Tersebut.

TAMPARULI: Kelab Tamparuli Sabah (KTS) mampu menjadi sebuah kelab yang disegani dan kekal sebagai badan bukan kerajaan (NGO) proaktif di daerah Tuaran.


Penolong Pegawai Daerah Tamparuli, Celestinus Lawanding berkata, beliau percaya melalui kepimpinan yang sedia, KTS mampu melangkah jauh ke hadapan dan memainkan peranannya sebagai NGO yang aktif dan bertanggungjawab kepada masyarakat serta ahlinya.

“Selaku penasihat kelab, adalah menjadi harapan saya agar kelab ini terus berkembang dengan menambah bilangan keahlian dan meneruskan penganjuran program yang boleh mendatangkan faedah kepada ahli kelab dan masyarakat,” katanya.

Perutusan beliau dibacakan oleh Pengerusi KTS, Francis Soon, semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (Biasa) Ke-25 KTS di Bangunan KTS, dekat sini baharu-baharu ini.

Beliau berkata, sebagai salah satu NGO, kelab ini telah berjaya menyumbangkan kewajipan sosialnya bukan sahaja melalui penyertaan dalam setiap aktiviti yang dianjurkan kerajaan tetapi juga melalui aktiviti sosial lain seperti gotong-royong, kempen derma darah, perayaan Pesta Kaamatan, Tahun Baharu Cina, Hari Krismas, lawatan-lawatan sambil belajar, dan banyak lagi.

Justeru, beliau berharap KTS akan terus melangkah ke hadapan bagi mencapai matlamatnya di samping meneruskan misi membantu masyarakat yang memerlukan.

Terdahulu, Francis berkata KTS akan meneruskan aktiviti biasa seperti mengadakan rumah terbuka dalam setiap perayaan yang disambut pelbagai kaum dan agama di negeri ini yang mana bertujuan menyatu padukan semua ahli kelab berbilang kaum.


GOLONGAN MEMERLUKAN .... Francis menyampaikan bantuan kepada salah seorang ahli dalam kalangan warga emas.

“Kita berharap semua ahli sentiasa menanam sikap saling bekerjasama, dan mendekati pepaduan kerana hanya dengan perpaduan sahaja kita dapat melaksanakan aktiviti kelab dengan teratur, di samping membantu menjayakan misi ke arah mencapai status negara maju menjelang Wawasan 2020,” katanya.

Berucap pada majlis yang dihadiri seramai 234 ahli kelab termasuk para AJK KTS itu, Francis turut memberi jaminan akan terus berjuang dan berkhidmat demi membawa kemajuan kepada kelab sehingga mampu menjadi kelab terbaik di daerah Tuaran.

Bagi menghormati beberapa ahli dan AJK yang telah meninggal dunia, Francis memimpin kesemua ahli KTS yang hadir tanpa mengira agama untuk bertafakur selama dua minit.

Pada majlis tersebut, Francis menyerahan sumbangan hamper dan Ang Pau) kepada warga emas ahli kelab tersebut, sementara Timbalan Pengerusi dan Setiausaha KTS menyampaikan saguhati kepada murid-murid sekolah yang mendapat keputusan cemerlang dalam akademik sepanjang tahun 2014.

Seramai 22 pelajar Pra Sekolah, 24 penerima bekas pelajar Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), 11 orang penerima untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan 14 penerima untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 


No comments:

Post a Comment