Monday 6 April 2015

NGO Dan Masyarakat Diseru Tingkatkan Kefahaman Ancaman Kanser




DIHARGAI...Mohd Taslim yang mewakili Jamawi merasmikan program tersebut menerima cendera kenangan dari pihak penganjur



TENOM:  Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tenom menyeru masyarakat, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama-sama meningkatkan kefahaman tentang ancaman penyakit kanser menerusi kempen atau program kesedaran.


Ketuanya Jamawi Jaafar berkata, semua pihak harus memainkan peranan dan aktiviti itu tidak seharusnya dianjurkan hospital atau Jabatan Kesihatan sahaja, sebaliknya memerlukan sokongan padu di semua peringkat.

“Mesej penting yang perlu disebarkan menerusi kempen dan program tentang penyakit kanser adalah usaha mencegahnya, mengesan di peringkat awal dan mendapatkan rawatan dengan segera sekiranya dikesan menghidapinya.” Katanya ketika berucap merasmikan program Seminar Kesederan Penyakit Kanser Peringkat daerah Tenom anjuran Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bumiputera Tenom dengan kerja sama Hospital Daerah Tenom dan Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah di Tapak Tamu Sedcovest Tenom baru-baru ini.

Teks Ucapan Beliau disampaikan oleh Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom Imam Mohd Taslim Tahir. 

Menurut Jamawi yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno, usaha ini perlu berterusan. Disebabkan penyakit kanser merupakan penyakit yang membawa maut, namun masih boleh dicegah dan sesetengahnya mampu disembuhkan menerusi rawatan khusus.

Beliau berkata, kira-kira 30 hingga 40 peratus penyakit kanser boleh dicegah dan satu pertiga daripadanya masih boleh dirawat, tetapi perlu melalui pendedahan awal.

Menurutnya, risiko kanser boleh dielak dengan berhenti merokok, kurang minum minuman keras, tidak terdedah terhadap cahaya matahari melampau, makan makanan sihat, mengekal berat badan serta melindungi daripada jangkitan yang menyebabkan kanser.

“Perlu diketahui, laporan Persatuan Antarabangsa Kawalan Kanser (UICC) menunjukkan setiap tahun di seluruh dunia seramai 7.6 juta meninggal dunia akibat kanser dan hampir 12.7 juta orang lagi berisiko mendapat penyakit tersebut.

“Angka ini akan terus meningkat sebanyak 26 juta kes baharu dan 17 juta kematian menjelang tahun 2030, terutamanya di negara-negara sedang membangun dan miskin jika masih tiada sebarang langkah proaktif diambil,” katanya.

Tambah Jamawi, kesedaran dan pengetahuan mencukupi tentang kanser merupakan kunci utama dalam memeranginya supaya dapat dicegah, dikesan awal dan berjaya dirawat dengan berkesan.

“Dengan adanya program seperti ini masyarakat dapat maklumat yang tepat mengenai penyakit kanser terutamanya cara pencegahan dan rawatannya” katanya.

No comments:

Post a Comment