Monday 20 April 2015

Wong Dakwa Penurunan Tariff di Semenanjung dan Sabah Sungguh Berbeza


Oleh: Shaimon S Jumadi


SANDAKAN : Isu perbezaan penurunan tariff antara Semenanjung dengan Sabah termasuk  Wilayah Persekutuan Labuan, Ahli Parlimen Sandakan Stephen Wong  meminta supaya Menteri Tenaga,Teknologi Hijau dan Air Datuk Dr Maximus Ongkili  menyatakan tentang isu berkenaan dan 'capital contribution' perumahan Sabah yang lebih tinggi berbanding di Semenanjung yang telah mendapat jawapan daripada menteri.


Menurut jawapan bertulis daripada menteri, kadar penurunan tariff dalam bentuk rebat bil elektrik di Semenanjung sebanyak 2.25 sen/kWj adalah berbeza dengan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang lebih rendah kadarnya iaitu sebanyak 1.20 sen/kWj. 

Ini adalah kerana, kaedah atau asas pemberian rebat adalah berbeza. Bagi Semenanjung, penurunan tersebut adalah merupakan hasil penjimatan yang diperolehi daripada mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) sebanyak RM726.99 juta kepada pengguna-pengguna di Semenanjung yang diterjemahkan dalam bentuk rebat bil elektrik sebanyak 2.25 sen/kWj.

Penjimatan tersebut adalah disebabkan oleh penggunaan lebih banyak bahan api arang batu yang lebih murah harganya berbanding dengan bahan api seperti Medium Fuel Oil (MFO) dan Distillate. 

Keadaan sedemikian berlaku kerana loji-loji jana kuasa arang batu telah beroperasi dengan lebih cekap dan berkesan yang membolehkan bekalan elektrik Negara dapat mengurangkan kebergantungan ke atas sumber Medium Fuel Oil dan distillate. 

Pada masa yang sama, harga arang batu yang menurun turut menyumbang kepada penurunan kos penjanaan di Semenanjung.

Di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, mekanisme ICPT tidak digunakan bagi maksud menetapkan kadar tariff elektrik. 

Perkiraan  kadar tariff bergantung kepada penggunaan bahan api dalam penjanaan elektrik. Dalam hal ini, campuran bahan api untuk penjanaan berbeza daripada Semenanjung. Pada ketika ini, campuran bahan api utama penjanaan bagi Semenanjung adalah merangkumi arang batu(47.66%), gas (44.11%), hidro(8.24%) dan MFO/Distillate(0.7%). Bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, campuran bahan api utama penjanaan adalah terdiri daripada gas (83.77%), MFO/Distillate (8.77%), hidro (4.60%) dan biomass (2.86%).

Jelas kelihatan bahawa bahan api utama di Sabah adalah gas di mana harga subsidi gas berpaip di Sabah sebanyak RM6.40/mmBtu adalah jauh lebih rendah daripada harga bagi Semenanjung iaitu RM15.20/mmBtu. Oleh yang demikian, rebat sebanyak 1.20sen/kWj mulai 1 Mac hingga 30 Jun 2015 yang diberikan bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sungguhpun lebih rendah akan melibatkan subsidi Kerajaan sebanyak RM50 juta bagi tempoh tersebut. 

Ini berbeza dengan apa yang berlaku di Semenanjung dimana rebat yang diberikan berasaskan penjimatan dalam mekanisme ICPT dan tidak melibatkan peruntukan tambahan Kerajaan. Pemberian rebat di Sabah dan Wilayah Persekutuan adalah dibuat semata-mata atas keperhatinan Kerajaan ke atas kebajikan rakyat berpendapatan rendah.

Kementerian mengambil maklum mengenai kadar sumbangan modal atau “capital contribution” yang dikenakan oleh pihak SESB yang tinggi berbanding kadar yang dikenakan oleh TNB bagi memberi bekalan elektrik kepada pengguna di Negeri Sabah dan WP Labuan.

Dalam kaedah pelaksanaan dan caj yang dikenakan oleh pihak SESB berbanding TNB ini adalah disebabkan oleh struktur kadar tariff dan kategori pengguna yang sangat berbeza di antara Semenanjung dan Negeri Sabah. Pada masa ini, sebahagian besar perbelanjaan kos modal TNB iaitu dalam 75% dapat dikutip melalui kadar tariff elektrik, manakala bagi SESB, syarikat ini masih belum memperoleh kadar pulangan yang dapat menampung perbelanjaan kos modalnya khususnya bagi menampung kos sambungan bekalan elektrik baru.

Sehubungan dengan itu, pihak SESB telah dibenarkan mengenakan caj sambungan pengguna berdasarkan kos pembekalan elektrik mengikut kos modal sebenar yang diperlukan bagi penyambungan bekalan elektrik kepada pengguna. Kadar caj sambungan di Negeri Sabah adalah bergantung kepada beberapa faktor antaranya kehendak maksima yang dipohon serta jarak dari premis yang memerlukan bekalan elektrik ke pepasangan elektrik yang terdekat. Manakala, pihak TNB hanya mengenakan caj sambungan berdasarkan kepada kadar tetap mengikut tahap voltan sambungan bekalan elektrik yang dipohon pengguna.

Kementerian sedang mengkaji semula kaedah pelaksanaan dan caj sambungan pengguna yang dikenakan oleh pihak SESB di Negeri Sabah dan WP Labuan bagi memastikan kaedah yang lebih mudah dan kadar yang tetap seperti mana pelaksanaan oleh TNB di Semenanjung.

Stephen Wong yang juga Timbalan Pengerusi DAP Sabah berpendapat bahawa, walaupun kerajaan berikan insentif kepada bekalan elektrik di Sabah, namun ini tidak dapat rasionalisasikan tariff elektrik Sabah yang tinggi dan sumbangan modal yang lebih tinggi. Oleh kerana Sabah kaya dengan sumber asli dan juga sebagai pengeluar gas asli, lebih daripada 80% bahan api menggunakan gas asli sepatutnya tiada masalah, jika dapat menggunakan sumber dengan sebaik-baiknya, tariff elektrik Sabah sepatutnya paling rendah di seluruh Malaysia, tetapi kini pula menjadi tariff elektrik yang paling mahal, ini sangat tidak munasabah!

Kata beliau, kerajaan melemparkan tanggungjawab dengan menyatakan kos tinggi, akhirnya membiarkannya sahaja. Ini sama seperti  dalam RMK10, anggaran peruntukan kerajaan persekutuan kepada SESB adalah RM2.4 billion, tetapi akhirnya peruntukan sebenar yang diberikan tidak sampai RM300juta , ini membuktikan pembahagian sumber persekutuan adalah tidak adil, mengakibatkan Sabah kini masih menghadapi masalah kekurangan bekalan elektrik.

Beliau berharap dalam RMK11 dalam 5 tahun yang seterusnya, kerajaan dapat mengemukakan dasar pembangunan tenaga yang jelas dan mampu memajukan Sabah, supaya bekalan elektrik Sabah lebih berkesan, bersih dan murah, membela nasib rakyat Sabah, terutamanya kadar sumbangan modal yang tidak adil patut dimansuhkan. 


Beliau berkata, SESB merupakan syarikat milik seluruh rakyat, jika tidak mampu memberikan kebaikan kepada rakyat, maka haruslah menukar orang untuk mengurusnya.

No comments:

Post a Comment