Tuesday 7 April 2015

X-SMKTe tunjuk taring, menang besar ke atas SMRC Tuaran




BOLA SEPAK UNTUK PERSAHABATAN .... Kedua-dua pasukan, X-SMKTe (berdiri) manakala SMRC Tuaran (duduk) mengambil gambar kenangan sebelum perlawanan bermula. 


TUARAN: Pasukan Bola Sepak ternama daerah Tuaran, X-SMKTe FC menewaskan pasukan Kelab Rekreasi Perubatan Sabah (SMRC) Tuaran dengan jaringan besar 5-1 di Padang Pertanian, baharu-baharu ini.


X-SMKTe bangkit daripada kekalahan tipis mereka pada minggu lalu kepada pasukan pilihan PBS Tamparuli dan Remaja Bawah 20 Tahun Tamparuli dengan jaringan 5-4, ditambah pula dengan kehadiran beberapa tonggak utamanya.

Pemain yang boleh bermain di pelbagai posisi, Michael Joungin membuka tirai perlawanan menerusi gol cantik dengan tendangan padu yang gagal ditangkap kemas penjaga gol lawan.

SMRC Tuaran yang turut dibarisi pemain-pemain hebat gagal membaca pergerakan pantas pasukan tuan rumah yang dengan mudah menghasilkan gol pertama.

Gol kedua X-SMKTe dijaringkan oleh pemain tengah X-SMKTe, Adzhar Mohamad yang mencuba dari jarak kira-kira 15 meter setelah mendapat umpanan pemain pertahanan, Aguslyne Agus.

SMRC Tuaran cuba bangkit dengan membuat beberapa percubaan, namun ketangkasan penjaga gol M. Rafi menjadi penghalang utama pihak lawan untuk menghasilkan gol.

Penyerang berbisa X-SMKTe, Azri Rosli, menambah derita pasukan pelawat menerusi gol ketiga perlawanan sekaligus menambah koleksi gol beliau tahun ini bersama pasukan itu.

Tidak mengaku kalah, SMRC Tuaran yang sekali-sekala membuat serangan balas dengan beberapa gerakan pantas akhirnya berjaya mendapat gol saguhati mereka pada minit terakhir separuh masa pertama, menewaskan penjaga gol tuan rumah.

Azri sekali lagi menambah gol peribadinya dengan menyumbat gol keempat tuan rumah sebelum rakan sepasukan, yang juga pemenang anugerah penjaring terbanyak X-SMKTe, Mike Andy Philip menjaringkan gol yang kelima.

Pengurus X-SMKTe yang turut beraksi pada perlawanan itu menyifatkan perlawanan tersebut sebagai sengit walaupun mereka menjaring lebih banyak gol, namun beliau tetap memuji semangat juang yang ditunjukkan pihak lawan.

“Ahad ini, X-SMKTe bakal berhadapan dengan pasukan Polis Bantuan Sabah Port Sepanggar (PBSPS) di Padang Pertanian, oleh itu, kita berharap semua pemain dapat hadir,” katanya.

No comments:

Post a Comment