Sunday 5 April 2015

Zakaria: Tamu Dan Dewan Serbaguna Gum-Gum Dinaik Taraf Untuk Destinasi Pelancongan


Oleh: Lee Kon Choi@Abdullah Lee


Zakaria...(tengah) bersama pegawai lain sedang meneliti laporan cadangan menaiktaraf Pasar Tamu Gum Gum semasa lawatan kerja beliau kelmarin.



GUM-GUM  Pasar Tamu Gum Gum dan Dewan Serbaguna Gum Gum yan terletak di Batu 16 Jalan Labuk akan dinaiktarafkan untuk dijadikan salah satu lagi destinasi tarikan pelancong di Sandakan.


"Kawasan Gum Gum ini terletak dalam hab pelancongan di Sandakan kerana terletaknya beberapa destinasi tarikan pelancong terkenal seperti Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok," Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum Gum Datuk Zakaria Haji Mohd Edris memberitahu media selepas mengadakan lawatan kerja untuk meninjau projek-projek pembangunan di kawasan beliau kelmarin.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Haji Mohd Hamsan Haji Awang Supain, Pemimpin Pembangunan Masyrakat DUN Gum Gum Kamal M Said, Pegawai Kemajuan Masyarakat DUN Gum Gum Rosly Aziz, pegawai-pegawai MPS serta pemimpin masyarakat setempat.

Cadangan menaiktaraf dua kemudahan ini bersesuaian memandangkan kedudukan strategik kawasan Gum Gum yang terletak dalam kawasan pelancongan di Sandakan, kata Zakaria.

Kita berharap dengan menaiktarafkan Pasar Tamu Gum Gum yang berkeluasan 36,000 kaki persegi (150 x 80 meter persegi)  akan dapat mempromosikan produk-produk tempatan dengan menarik lebih pelancong untuk mengunjung ke situ, tambah Zakaria.

“Kita juga bercadang menganjurkan program tamu besar peringkat negeri di Pasar Tamu Gum Gum apabila siap kerja-kerja menaiktaraf nanti dan ini (pasar tamu besar) akan disenaraikan dalam kalendar Festival Sandakan sebagai satu acara tahunan peringkat daerah selepas itu,” katanya lagi.

Menurut Zakaria, pemohonan akan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri untuk mendapatkan peruntukan bagi melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf Pasar Tamu Gum Gum dan Dewan Serbaguna Gum Gum.

“Anggaran kos untuk menaiktaraf kedua-dua kemudahan ini ialah antara RM 1 hingga RM 2 juta," tambah Zakaria.

Satu lagi projek pembangunan yang dicadangkan untuk DUN Gum Gum ialah mewujudkan Pekan Baharu Gum Gum, kata beliau.


“Buat masa ini, cadangan projek masih ditahap pembincangan awal di antara Majlis Perbandaran Sandakan dan Jabatan Perancang Bandar Negeri. Minggu depan kedua-dua pihak ini akan mengadakan satu lagi mesyuarat,” kata Zakaria yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri.

No comments:

Post a Comment