Thursday 14 May 2015

Adakah kerajaan BN telah mencapai sasaran Rancangan Malaysia ke 10?




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka membentangkan Rancangan Malaysia ke 11 (RMK-11) pada sidang Parlimen bulan Mei akan datang. Sudah pasti, ia sangat penting dan kritikal kepada Sabah untuk menyelesaikan beberapa masalah utama seperti kekurangan infrastruktur begitu juga kemiskinan demi memajukan Sabah menjelang 2020.


Sebelum kita meneliti Rancangan Malaysia ke 11, kita perlu melihat dan meneliti semula perlaksanaan RMK-10 dari tahun 2010 hingga 2015 sama ada ia telah mencapai sasaran atau tidak khususnya bagi setiap rancangan pembangunan Sabah. Adakah RMK 10 di Sabah mencapai sasaran?

Dalam RMK-10 bagi Sabah, kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM230 bilion bagi pembangunan selama lima tahun dan terdapat tiga sasaran yang ditetapkan kerajaan bagi menaiktaraf infrastruktur asas Sabah khususnya untuk menyelesaikan masalah kemiskinan dan ketidakadilan di kawasan pedalaman iaitu:

Kerajaan akan memberi fokus kepada kerja-kerja pelebaran dan naik taraf jaringan jalan di pedalaman. Pada akhir tempoh tersebut, sepanjang 2,540 km jalan berturap akan dibina di Sabah.  Sebanyak RM2.7 billion peruntukan diberikan untuk membina dan menaik taraf jalan di Sabah.

Usaha yang lebih serius akan dijalankan untuk meningkatkan kapasiti bekalan air terawat di kawasan pedalaman dengan membina dan menaik taraf loji bekalan dan penapisan air. Sasaran untuk tahun 2015 bagi liputan penerimaan air bersih dan terawat di kawasan pedalaman Sabah ialah sebanyak 98% meliputi 112,700 rumah.

Dalam tempoh rancangan, liputan bagi penerimaan bekalan elektrik di kawasan pedalaman akan menggunakan sistem grid dan alternatif seperti mini-hydro dan hybrid-solar. Sasaran liputan elektrik bagi Sabah dan Sarawak ialah 99%. Sasaran tambahan bagi rumah yang dibekalkan elektrik adalah 59,000 buah rumah di Sabah.

Selain itu, terdapat beberapa sasaran lain iaitu jaringan landasan keretapi dan meningkatkan capaian jalur lebar di Sabah terutamanya di kawasan pedalaman.

Saya ingin memanjangkan persoalan kepada kerajaan apakah status terkini bagi setiap projek yang telah diumumkan. Adakah ia akan disiapkan menjelang hujung tahun ini? Saya percaya rakyat Sabah mempunyai hak untuk mengetahui sama ada janji-janji ini telah terlaksana dan tercapai.

Hari ini merupakan hari yang istimewa bagi DAP Sabah dan pasukan Impian Sabah di Pitas kerana meraikan pembukaan jalan dan pemasangan papan tanda jalan bagi Jalan Impian-Amuno yang dibangunkan dan ditaja oleh DAP-pasukan Impian Sabah dengan kerjasama dan kesungguhan yang tinggi ditunjukkan oleh penduduk kampung. Ia bukan sahaja menunjukkan keikhlasan DAP sebagai parti pembangkang bekerja bersama rakyat tetapi juga menunjukkan bahawa kerajaan telah gagal menyediakan infrastruktur dan keperluan asas bagi penduduk pedalaman di Sabah.

Turut bersama dalam majlis ini ialah Bendahari DAP Sabah saudara Tan Lee Fatt, Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah Phoong Jin Zhe dan Pembantu Setiausaha Organisasi DAP Sabah Henry Shim.

Dalam isu ini, kerajaan persekutuan gagal untuk menunaikan janji yang ditabur 16 tahun lalu. Terdapat enam buah kampung melibatkan beberapa ratus penduduk telah lama menantikan janji untuk menghubungkan jalan kampung ke jalan utama. Walaupun Hishamuddin sebagai menteri kabinet persekutuan telah membawa isu ini ke kabinet, tetapi ia tetap tidak selesai sehinggalah DAP dan Impian Sabah mengadakan kutipan dana dan merealisasikan impian penduduk kampung yang telah lama tertangguh.

Sebagai coordinator Impian Sabah, projek yang telah Berjaya disiapkan di Kampung Samparita Laut, Kota Marudu and Kampung Pangi, Tenom membuktikan bahawa kerajaan persekutuan gagal menyediakan infrastruktur asas kepada penduduk kampung. Impian Sabah telah membantu penduduk kampung membina paip air graviti untuk membekalkan air dari sungai. Saya berasa sangat kecewa kerana setelah 52 tahun pembentukan Malaysia, kerajaan terbukti gagal memberikan kemudahan asas kepada rakyat Sabah.

Jika kita merujuk kepada sasaran RMK-10, adakah kita percaya bahawa sasaran 98% bekalan air dan 99% bekalan elektrik berjaya diselesaikan dan siap pada jangka masa yang ditetapkan di Sabah? Saya rasa tidak.

Dari rekod yang kita teliti dari kampung-kampung ini, saya percaya terdapat ratusan malah ribuan penduduk kampung yang masih tidak menikmati bekalan air dan elektrik dari kerajaan. Nampaknya, rancangan tersebut hanya di rangka oleh pegawai yang hanya duduk di dalam bilik berhawa dingin tanpa mengetahui realiti sebenar apa yang berlaku di pedalaman. Ini hanya satu pembohongan terang-terangan kerajaan!

Sebelum kerajaan membentangkan Rancangan Malaysia seterusnya, saya menggesa pegawai-pegawai kerajaan supaya turun padang dan melihat apa yang sebenarnya berlaku di kawasan pedalaman dan kerajaan persekutuan perlu menjelaskan sama ada objektif mereka tercapai.

Seperti kita maklum, kemudahan jaringan jalan, bekalan air dan elektrik merupakan keperluan asas kepada semua, kerajaan persekutuan perlu melaksanakan rancangan mereka dan memberi peruntukan yang cukup bagi pembangunan kawasan pedalaman di Sabah. Sepatutnya 100% penduduk kampung di kawasan pedalaman Sabah perlu dibekalkan dengan bekalan air terawat dan bersih begitu juga dengan bekalan elektrik dan jalan berturap yang semurna.

Malaysia dijangka menjadi sebuah negara maju pada akhir tahun 2020 atau RMK-11. Namun kelihatannya ura-ura untuk menjadi sebuah negara maju dalam masa tersebut bakal menjadi jenaka semata-mata jika masih terdapat banyak kampung di Sabah langsung tidak mempunyai bekalan elektrik dan bekalan air. Ia tidak wajar berlaku dan saya harap kerajaan sedar dan melaksanakannya dalam RMK-11.


No comments:

Post a Comment