Monday 18 May 2015

Insiden Penculikan : MPSS Kesal Kenyataan Negatif Menteri Dari Sabah Terhadap Esscom




TAWAU : Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS) kesal dengan kenyataan negatif beberapa menteri Persekutuan dari Sabah terhadap Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang dikatakan "cuai" menjalankan tugas sehingga berlakunya kejadian penculikan di Restoran Ocean King di Sandakan Khamis lepas.  

Setiausahanya Mohd Zaki Harry Susanto berkata komen negatif seumpama itu tidak adil untuk ESSCOM yang menurutnya telah melakukan yang terbaik dan berjaya mengekang sekurang-kurangnya "enam cubaan menculik" sebelum berlakunya insiden di Sandakan.

    
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar menteri terbabit segera turun padang bagi memahami sendiri situasi sebenar lautan atau perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) terutama di waktu malam.

“Jenayah rentas sempadan bukanlah mudah dipatahkan dalam situasi geografi yang luas seperti di kawasan ESSZONE iaitu melibatkan kawasan dari Kudat ke Tawau apatah lagi ada penglibatan orang dalam. Dengan kepanjangan 1,733.7 kilometer, adalah mustahil untuk kita menggunakan kaedah konvensional untuk mengawal sepenuhnya perairan kita. 

"ESSCOM yang mempunyai kakitangan termasuk komponen awam sekitar 170 orang perlu segera dibekalkan dengan asset dan kemudahan yang canggih kerana hanya kemudahan lojistik yang mencukupi serta teknologi canggih sahaja yang boleh menjadi medium terbaik untuk mengawal keselamatan di kawasan ESSZONE,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Zaki meminta pemimpin dan rakyat supaya bersatu mencari jalan jalan terbaik dengan memberikan idea serta cadangan yang membina "kerana keadaan sebegini tidak harus dipolemikkan". 

"Berhentilah daripada menunding jari dan mempersalahkan ESSCOM semata-mata tapi cubalah untuk memahami kekangan yang sedang dihadapi oleh pihak ESSCOM pada masa sekarang. Negara maju seperti Amerika Syarikat pun tidak mampu mengawal perairannya daripada dibolosi pendatang Mexico....mungkin orang dari pedalaman tidak berapa faham keadaan di laut terutama waktu senja atau malam," katanya. 

"Kita kesal ada menteri kita dari Sabah hanya yang pandai mengkritik tetapi tidak lantang bersuara untuk mempercepatkan penghantaran aset ke ESSZONE," katanya. 

Dalam hal ini, Zaki berkata MPSS menyokong desakan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman kepada kerajaan Persekutuan supaya mempercepatkan penghantaran asset terutama bot-bot yang sangat diperlukanselain mengurangkan karenah birokrasi.

"Hal keselamtan negara bukanlah suatu yang boleh dikompromi kerana ianya melibatkan keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat.”

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Persatuan Komuniti Belia ESSZONE Sabah turut berharap agar kerajaan segera menambah jumlah waran perjawatan ESSCOM agar pengagihan tugas dapat dilaksanakan dengan lebih fokus dan berkesan.

“Kita tidak boleh bergantung harap kepada waran perjawatan ESSCOM yang berjumlah sekitar 170 orang untuk mengawal dan menyelaras keselamatan di ESSZONE. 


"Bilangan itu adalah jauh daripada mencukupi dan perlu ditambah. Pada masa yang sama, utamakan pengisian jawatan  kepada anak-anak tempatan khasnya yang mempunyai latarbelakang di dalam bidang risikan. Mungkin juga, sudah tiba masanya untuk kita menggunakan kemahiran, kepakaran dan pengalaman mantan-mantan pegawai keselamatan yang telah meninggalkan pasukan dan bersara untuk dilantik secara kontrak bagi membantu ESSCOM,” katanya.

No comments:

Post a Comment