Saturday 2 May 2015

Perpaduan KRT Taman Nikmat


PERASMIAN .... Pegawai Perpaduan Daerah Kota Belud, Mohd. Bisi Jamit, membuat satu pukulan sebagai simbolik perasmian program berkenaan sambil disaksikan para pemimpin empat komuniti KRT yang bertanding.


KOTA BELUD: Keharmonian serta keamanan yang dikecapi masyarakat di daerah ini membolehkan pelbagai program dapat dilaksanakan, yang mana bertujuan mengukuhkan perpaduan sejagat bagi menjamin ikatan tersebut terus kekal pada masa hadapan.


Pegawai Perpaduan Daerah Kota Belud Mohd. Bisi Jamit, berkata, pelbagai usaha dilakukan sama ada oleh agensi kerajaan, persatuan penduduk dan komuniti tempatan bagi merapatkan hubungan sesama selain mengelakkan diri dari daripada gejala tidak sihat, namun semuanya itu juga sia-sia tanpa perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Sebanyak mana pun aktiviti kita rancangkan atau laksanakan jika tidak menjurus ke arah perpaduan masyarakat tidak akan berjaya mencapai matlamatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan program Bola Tampar Empat Penjuru antara Kawasan Rukun Tetangga (KRT) peringkat daerah Kota Belud di Gelanggang Bola Tampar Kampung Pirasan, dekat sini baru-baru ini.

Beliau berkata, aktiviti seumpama itu mampu memberi kesan positif kepada komuniti terutamanya dalam menjadikan gaya hidup sihat dan cergas sebagai amalan dalam komuniti KRT seterusnya sesama masyarakat.

“Program sukan seperti ini bukan sahaja baik untuk kesihatan tetapi juga dapat mengeratkan hubungan bagi setiap komuniti KRT di Kota Belud,” ujar beliau sambil menambah bahawa program itu lebih signifikan menghimpunkan KRT di kawasan lain termasuk ahli komuniti di beberapa kampung lain yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan.

Terdahulu, Pengerusi KRT Taman Nikmat, Mahmudin Hj Mohd Onon, berkata, kejayaan program itu lebih dominan menerusi penyertaan semua penduduk di samping wujudnya kerjasama semua pihak khususnya golongan muda.

“Selain aktiviti sukan, dengan adanya sokongan semua pihak, lebih banyak lagi program berkonsepkan perpaduan akan dapat kita fikirkan selepas ini selari dengan usaha kerajaan menerusi transformasi pembangunan modal insan," ujarnya.

Katanya, pembabitan penduduk secara bersama antara matlamat KRT kawasan itu menerusi penyediaan ruang terhadap ahli keluarga masing-masing untuk bersantai serta merapatkan hubungan dengan sesama ahli KRT, para pemimpin setempat atau agensi kerajaan.

Pertandingan yang julung kalinya diadakan itu bakal dijadikan acara tahunan mereka di mana sebanyak empat pasukan yang mewakili KRT masing-masing iaitu KRT Taman Nikmat, KRT Hospital, KRT Kampung Tambulion dan KRT Kampung Pirasan telah menyertainya.

Turut hadir Pengerusi KRT Kampung Pirasan Duyuk Tahir dan Pengerusi KRT Hospital, Basri Lalah dan para AJK Tertinggi setiap komuniti KRT.


No comments:

Post a Comment