Monday 3 August 2015

ROMBAKAN KABINET: ANTARA 1MDB, BORNEOSASI DAN MALAYSIANISASI



Oleh: Jimmy Wong Sze Phin 



Kabinet Baru....setelah beberapa Menteri digugurkan jawatan


Dalam kemelut kewangan dan ekonomi yang sedang melanda Malaysia. Politik negara turut berkocak menyaksikan pergolakan dalaman BN khususnya UMNO yang tidak lagi boleh disembunyikan dengan percakaran yang wujud antara team Muhyiddin – Najib; dan lebih menarik perhatian, apabila mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad turut tidak mahu ketinggalan beraksi dalam liga kali ini; selepas  kemelut Mahathir-Anwar sehingga menumbangkan Terengganu dan mempertahankan Kelantan kepada PAS. Sudah tentu, aksi Mahathir kali ini berbeza kerana beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri.


Dalam kerancakan permainan politik ini, rakyat Malaysia turut terkesan. Sebelum itu, kita dibebankan dengan cukai GST, kemudian kenaikan harga minyak diikuti pula dengan kenaikan tambang bas domestik bagi pengguna pengangkutan awam, negara pula terus tertekan apabila nilai ringgit terus menjunam berada sekitar RM3.80 berbanding dollar Amerika. 

Amat ironi sekali apabila pimpinan negara melaungkan supaya rakyat bersatu, keadaan ekonomi terus lembab, rakyat terus diapikan dengan isu perkauman dan agama; maksudnya, suara mereka tidaklah keramat seperti suara kita, rakyat yang boleh merubah kerajaan dalam pilihan raya. 

Kepercayaan rakyat terhadap Najib dan BN semakin goyah dan dapat dilihat meluas dimedia sosial mahupun di ‘mesyuarat-mesyuarat kedai kopi.’

Dengan pembongkaran satu demi satu skandal 1MDB oleh media tempatan dan antarabangsa dengan dakwaan langsung melibatkan Najib dan rakan-rakan, ia memberi isyarat bahawa Najib harus melakukan sesuatu. Beliau perlu memulihkan kepercayaan awam secepat mungkin demi meneruskan survival politiknya. Sebab itu saya agak positif dan tidak dapat menafikan kebenaran kenyataan mantan Timbalan  Perdana Muhyiddin Yassin yang katanya jika pilihanraya dilakukan sekarang, UMNO akan kalah.

Petang tadi 28 Julai 2015, Najib telah mengumumkan rombakan kabinet baharunya dengan menyenaraikan muka-muka baru dan lama. Ada yang bertukar portfolio, ada yang digugurkan. Antara yang digugurkan disini ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan, begitu juga dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Sumber Manusia Datuk G.Palaniveil. Sebelum itu, Najib telahpun memulakan langkah ‘berjaga-jaga’ dengan melarang Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli keluar negara.

Tindakan menggugurkan Datuk G.Palanivel adalah kerana kemelut dalaman MIC yang semakin meruncing. Manakala, pengguguran Mugyiddin Yassin dan Shafie Apdal adalah akibat hilang kepercayaan Najib terhadap mereka kerana mereka dilihat bertindak bersama rakyat dan pimpinan pembangkang menggesa dan mempersoalkan kemelut 1MDB. Saya melihat tindakan drastic Najib ini akibat rasa tertekan, takut dan mahu supaya rakyat terus percaya kepada kerajaan pimpinannya. Apapun, segalanya sudah terlewat buat Najib, kerosakan yang berlaku begiu luas. Mungkinkah dengan rombakan ini beliau mampu memulihkan keyakinan pelabur asing untuk terus melabur ke Malaysia? 

Borneosasi dan Malaysianisasi

Demi mengukuhkan kedudukan dan menarik sokongan orang Sabah terhadap kerajaan BN. Najib telah melantik muka baru dari Sabah iaitu melantik Datuk Seri Panglima Mohd Salleh Keruak sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia manakala  Datuk Wilfred Madius Tangau pula sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Persoalannya, walaupun selama ini ramai Menteri dan Timbalan Menteri dilantik ke dalam kabinet BN, masalah utama yang mencengkam Sabah seperti isu infrastruktur yang lemah- kemudahan air dan elektrik serta kemudahan kesihatan yang lemah terutamanya di kawasan sub-bandar dan pedalaman, isu ‘perampasan’ tanah NCR oleh syarikat-syarikat swasta, isu kebanjiran PATI dan keselamatan pesisir pantai Sabah masih berterusan hingga ke hari ini.

Seperkara lain yang turut memberi kesan emosi terhadap masyarakat di pedalaman ialah berhubung sumpah yakni ‘jaminan kerajaan Malaysia’ terhadap apa yang terpahat di Batu Sumpah yang didirikan di Keningau pada Ogos 1963 melibatkan tiga perkara utama iaitu agama, hak tanah dan adat-istiadat. Justeru, DAP Sabah bersama Majlis Orang Asal DAP Sabah mengambil inisiatif murni mengadakan kempen kesedaran dan jelajah ke kawasan pedalaman menyedarkan orang ramai peri pentingnya sumpah yang dipahatkan pada Batu Sumpah demi survival dan kemakmuran generasi orang asal Sabah pada masa akan datang.

Sebagai anak Sabah yang lahir dan membesar di Sabah, saya ingin bertanya, adakah proses Malaysianisasi dan Borneosasi telah mencapai sasaran hanya dengan melantik wakil-wakil Sabah ke kabinet tanpa kesungguhan politik? Hakikatnya, meski pun Sabah turut ditempias dengan kemajuan teknologi, Sabah masih ketinggalan jauh dari pelbagai sudut lebih-lebih lagi menyentuh soal pembangunan modal insan dan pembangunan infrastruktur. Ramai anak-anak Sabah terpaksa terbang ke semenanjung demi melanjutkan pelajaran dan mencari nafkah demi meneruskan kehidupan.

Bagi Sabah, demi mencapai aspirasi Borneosasi dan Malaysianisasi yang meletakkan Sabah sebagai rakan kongsi pembentukan Malaysia secara adil dan saksama. Rakyat Sabah harus melakukan perubahan besar pada pilihanraya umum akan datang. DAP Sabah sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan  mereka yang komited dengan perubahan dalam ‘pakatan baharu’ yang pernah saya katakana sebelum ini.

Apa pun, dalam selang dua masa ini, meskipun Najib telah melakukan perubahan dalam kabinet beliau, persoalan terhadap kemelut 1MDB masih belum terjawab dan menjadi tanda Tanya besar. Rombakan kabinet dengan menggugurkan pembantunya sendiri Muhyiddin Yassin tidak akan mampu menyelesaikan tanda tanya dan kemelut yang melanda negara. Mungkin serangan terhadap kepimpinan beliau akan bertambah kuat selepas ini dengan terbentuknya team Mahathir-Muhyiddin-Shafie melawan Najib dan ‘rakan-rakan.’


No comments:

Post a Comment