Thursday, 17 December 2015

Harian Metro & Utusan Borneo Berat Sebelah



LAHAD DATU : Ibu kepada mendiang Eldon Lemery kecewa terhadap seorang pegawai penyiasat polis bernama tn sarip dari IPD Tuaran yang mengendalikan kes bersabit repot Tamparuli/000023/14  berhubung kejadian anak lelakinya yang dipukul oleh sekumpulan lelaki. Dan sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaian mahupun penjelasan lanjut daripada pihak berkenaan.



Menurut ibu mangsa, Tita Agbayani, 47, ketika ditemui dirumahnya semalam berkata, anaknya itu seharusnya mendapat pembelaan sewajarnya diatas perbuatan sekumpulan lelaki tidak bertanggungjawab yang bertindak memukul anaknya itu sehingga mendatangkan kecederaan kekal pada anggota badan sebelum mangsa menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu lalu.



“Sehingga laporan dibuat pada 6 Januari 2014 lalu saya dapati tiada sebarang tindakan yang diambil oleh pegawai penyiasat berkenaan, perkara itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan seluruh ahli keluarga dan saya berharap agar kes ini dapat diberi perhatian yang serius dan orang-orang yang bertanggungjawab dapat dihadapkan kemuka pengadilan,” katanya.



Katanya lagi, sebelum ini beliau sekeluarga sememangnya ada berhubung dengan pegawai penyiasat terbabit bagi mendapatkan perkembangan semasa berhubung kes itu, namun menemui jalan buntu apabila pegawai penyiasat berkenaan seolah-olah mengelakan diri daripada memberi sebarang penjelasan.  



“Saya sekeluarga berharap agar pegawai penyiasat tebabit dapat berhubung dengan saya mahupun keluarga terdekat dan memberikan penjelasan penuh berhubung siasatan yang dijalankan, perkara ini telah berlanjutan setahun lebih dan sepatutnya ianya menemui sesuatu perkembangan positif,” katanya lagi.



Eldon Lemery, 24, merupakan seorang atlet Hoki Negara dan pernah mewakili beberapa kejohanan remaja dan sekolah-sekolah Asia, beliau juga turut berada dalam senarai pendek bagi pemilihan skuad senior kebangsaan yang sememangnya menjadi Impian beliau sejak mula berkecimpung dalam arena sukan Hoki pada usia 12 tahun.



Namun, segala impian beliau dan harapan keluarga berkecai apabila pada 4 Januari 2014, ketika beliau bersama tiga rakan lain sedang berada di salah sebuah restaurant Kopi Tiam Tamparuli, secara tiba-tiba telah diserang oleh sekumpulan lelaki hingga mendatangkan kecederaan serius dibahagian kepala.



Eldon juga turut dilaporkan koma selama tiga minggu sebelum menjalani pembedahan otak diHospital Queen Elizabeth (QEH) yang membolehkan dia sedar dari koma, namun turut meninggalkan kesan kekal apabila beliau tidak lagi mampu untuk berdiri dan berjalan mahupun bercakap selepas kejadian itu berlaku.



Jelas Tita lagi, selepas mendapat rawatan di QEH, Eldon turut menerima rawatan susulan di Hospital Lahad Datu selepas dia dibenarkan pulang ke daerah asalnya.



Namun, kesihatan Eldon dilaporkan semakin merosot seminggu sebelum dia menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu lalu disebabkan jangkitan paru-paru.



Dalam perkembangan lain, Tita juga turut menafikan kenyataan Setiausaha Persatuan Hoki Sabah (SHA), Avtar Singh berhubung pihaknya ada menyalurkan sebarang bantuan yang diberikan oleh Majlis Sukan Sabah serta Kementerian Belia dan Sukan sepertimana yang telah dinyatakan dalam sebuah akbar baru-baru ini.



Katanya, sepanjang Eldon menerima rawatan, Eldon hanya menerima sumbangan sebanyak RM 200 menerusi hasil kutipan dana daripada rakan-rakan pemain Hoki.



“Seingat saya, sepanjang Eldon menerima rawatan di QEH ketika koma, SHA hanya meluangkan masa selama tiga atau empat hari sahaja bagi melawat dan mengikuti perkembangan semasa Eldon dan selepas itu kami tidak lagi melihat kelibat beliau,




“Saya mengeluarkan kenyataan ini bukan kerana kepentingan wang, hanya sekadar meluahkan rasa kecewa terhadap pihak-pihak berkenaan dalam mengada-adakan cerita sedangkan semua itu tiada,” katanya.

1 comment: