AGONG....Apa
motif peserta Bersih 3.0 ini mengheret Agong ke jalan raya dan duduk di tangga
Pusat Membeli Belah SOGO. Siapakah mereka sebenarnya? Patung atau domba yang
sesat?
Oleh : MUTALIB M.D
BENARKAH Bersih 3.0 telah
mencapai matlamatnya dengan kehadiran 100,000 orang di 11 buah bandar utama di
Malaysia dan 72 buah negara di seluruh dunia? Matlamat apa yang dicapai jika
Parlimen masih menjadi medan pertengkaran dan jalanraya menjadi 'Parlimen
Rakyat' menyuarakan pandangan dengan alasan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kotor
dan tidak bersih?
Bersih 3.0 sebenarnya gagal
kerana dibauri dengan insiden keganasan, sama ada di pihak polis atau peserta
yang bertindak ganas akibat agitasi dan provokasi; lebih-lebih lagi telah
menjahanamkan ekonomi Malaysia yang baru mula pulih selepas insiden keganasan
Bersih 2.0.
AMAN....Jika
peserta duduk secara aman tanpa bertindak liar merempuh kawalan keselamatan dan
meroboh benteng yang dibina polis, sudah pasti misi perhimpunan aman Duduk
Bantah mencapai sasaran.
Sistem pengangkutan lumpuh,
peniaga rugi, pemandu teksi menyumpah seranah dan rakyat biasa disekat
kebebasan kerana masih trauma dengan Bersih 2.0; tetapi terpaksa menggadai
nyawa turun bekerja atau berniaga demi kelangsungan hidup.
Sebagai kerajaan yang
dipilih melalui Pilihanraya, Kerajaan Barisan Nasional sudah pastikan tidak
akan memenuhi tuntutan 'jadi-jadian' yang direka-reka oleh Bersih 3.0;
sedangkan parti politik yang mempunyai wakil di Parlimen dan Dewan Negara telah
gagal secara total melakukan sebarang perubahan, sekalipun mempunyai suara yang
cukup besar; tetapi tidak ubah seperti guruh di langit, bunyi kuat tetapi tidak
memberi sebarang kesan kepada manusia.
Sebagai pengundi, saya tidak
nampak Bersih 3.0 meninggalkan sebarang kesan yang bermanfaat kepada manusia
atau menjadi faktor pendesak kepada kerajaan; melainkan menjatuhkan imej negara
yang sebelum ini aman makmur, bertukar menjadi huru-hara ketika Bersih 1.0, Bersih
2.0 dan Bersih 3.0 berlangsung.
Saya simpati melihat Peserta
Bersih 3.0 yang menjadi 'Punching Bag' Polis dan menjalani 'Ujian Pernafasan'
ketika disiram air berubat dan disembur gas pemedih mata, sehingga kanak-kanak
kecil dan wanita yang dijadikan 'perisai' turut menderita; ada yang pengsan dan
cedera parah.
Saya rasa ada eloknya kita
menonton beberapa Videoklip ini sekadar untuk renungan dan pertimbangan kita
kerana kesalahan peribadi anggota polis adalah isu lain yang boleh diambil
tindakan berasingan, namun perlu dilihat dalam perspektif yang berbeza.
Dalam hal ini saya tidak
menyalahkan Polis yang menjalankan tugas membendung rusuhan dan mencegah keganasan
disebabkan saya melihat peserta seolah-olah dipukau untuk merusuh sebelum polis
terpaksa bertindak melepaskan gas pemedih mata; malah peserta Bersih 3.0 yakin
dengan memakan garam berjaya mengurangkan bisa gas pemedih mata yang memasuki
rongga hidung dan kerongkong mereka; namun lari bertempiaran menyelamatkan diri
masing-masing.
GANAS....Mungkin
ramai pihak menganggap insiden ini ganas tetapi siapa yang memulakan keganasan?
Polis mempunyai SOP sendiri untuk melerai rusuhan dan belantan adalah asam
garam rusuhan.
Nampaknya mereka tidak
terlatih menghadapi risiko dan bagaikan lembu keluar kandang ketika dihamnbat
dengan gas pemedih mata, belantan, sepak terajang dan pelbagai tindakan polis
untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang merusuh; bukannya peserta perhimpunan
aman.
Jika mereka berani dan
terlatih, mereka tidak berganjak daripada kawasan perhimpunan sekalipun diasak
dengan gas pemedih mata dan tidak merusuh dengan melakukan vandalisme dan
keganasan yang di luar pertimbangan akal sehingga menjahanamkan ekonomi negara.
Ternyata Bersih 3.0
menjadikan rakyat sebagai korban sedangkan matlamat asal perjuangan tidak
tercapai kerana dilakukan secara tergopoh-gapah dan tidak terancang; apatah
lagi rakyat tidak sedar hak mereka yang termaktub dalam perlembagaan
Trauma Rusuhan 1986 di Sabah
kembali mengimbau setelah melihat beberapa orang peserta Bersih 3.0 yang
kerasukan bertindak mania menyerang dan menterbalikkan kereta peronda polis di
hadapan Sogo, memecahkan cermin kereta VIP yang hanya lalu di kawasan Masjid
Jamek dan merosakkan motorsikal dan kenderaan yang diletakkan di tepi jalan.
Pada Rusuhan 1986, PATI yang
diupah pemimpin Sabah yang rakus kuasa telah menterbalikkan lebih sepuluh buah
kereta dan membakar kereta berkenaan di Gudang Karamunsing, namun tidak pasti
adakah PATI, terutama yang telah mendapat MyKad turut terlibat dalam Bersih
3.0?
Ketika membeli kuih muih
untuk minum petang di Pasar Sabtu Masjid India, ramai peniaga dan pengunjung
bertempiaran lari kerana tidak tahan dengan penangan gas pemedih mata yang
dilepaskan polis di kawasan Masjid Jamek. Sekalipun hanya sisa gas dibawa
angin, tetapi pedihnya tidak terkata; apatah lagi bagi mereka yang terkena gas
berkenaan secara langsung.
Namun agak malang, Penganjur
Bersih 3.0, Dato' Ambiga Srevasanan dengan nada sombong menafikan pihaknya yang
memulakan keganasan kerana ketika beliau meninggalkan arena, keadaan masih
aman; tetapi senario berikutnya menepati amaran Naib Presiden DAP, Tunku Abdul
Aziz yang mengatakan bahawa penganjur tidak akan bertanggung jawab terhadap
peserta yang cedera dan ditangkap; sebaliknya akan menyalahkan kerajaan.
PALSU.....Tidak
tahu apa motif media pro pembangkang menyiarkan gambar photoshop ini bagi
membangkitkan semangat peserta sedangkan senario sebenar mereka tidak sempat
berfikir bahawa gagal menjejakkan kaki ke Dataran Merdeka yang dikawal ketat.
TULEN.....Gambar
yang dipetik daripada Al-Jazeera membuktikan gambar di atas palsu kerana
kelihatan jelas Dataran Merdeka kosong dan peserta hanya berhimpun di bawah
laluan LRT.
Media pro-Ambiga juga
meletakkan negara diambang bahaya apabila menyiarkan gambar yang diubahsuai
seolah-olah Dataran Merdeka telah ditawan oleh Bersih 3.0 sedangkan semua
peserta gagal menghampiri Dataran Merdeka kerana dikawal ketat polis. Buktinya
laporan Al-Jazeera menunjukkan imej dan keadaan sebenar di Dataran Merdeka
sekalipun laporan mereka agak berat sebelah.
Saya bukan tidak bersetuju
dengan Bersih 3.0, tetapi biarlah menepati Akta Perhimpunan Aman (APA) seperti
yang berlaku di Sabah. Kerajaan telah memberikan ruang yang cukup besar kepada
Peserta Bersih kerana saya berada di lokasi berhampiran Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur, Menara KLCC dan Masjid Jamek sejak jam 9.00 pagi melihat peserta duduk
dan berhimpun secara aman sehingga jam 3.30 petang.
Tetapi pemimpin pembangkang
mengambil kesempatan membuat ucapan dan mengapi-apikan peserta sedangkan tujuan
asal mereka ialah 'Duduk dan Bantah'; bahkan mengikut undang-undang, mereka boleh
ditangkap dan didakwa kerana telah melakukan perhimpunan haram dan bukannya
berhimpun secara aman.
Tidak cukup dengan itu,
peserta Bersih 3.0 turut 'menghina' DYMM Yang Dipertuan Agong dengan membawa
poster Baginda dan Permaisuri berarak dijalanan tanpa sebarang motif yang pasti
kerana kebanyakan mereka berketurunan Tiong Hua sedangkan kaum Melayu yang
menjadi majoriti peserta Bersih 3.0 pula membawa kayu, batu dan apa sahaja yang
boleh dicapai tangan sebagai senjata untuk merusuh.
Saya berpendapat Bersih
saling tidak tumpah seperti Festival San Fermin atau Larian Lembu Jantan yang diadakan
setiap tahun di antara 7 hingga 14 Julai di Pamplona, Sepanyol. Festival ini
adalah pesta larian sekumpulan lembu jantan yang dihalang oleh orang ramai.
Orang ramai berpakaian serba putih dan skaf berwarna merah diikat di leher
berkumpul di Plaza del Ayuntamiento.
GILA.....Mungkinkah
kerja gila budaya Larian Lembu Jantan di Pamplona ini cuba diserap oleh peserta
Bersih 3.0?
Pesta ini bermula jam 8.00
pagi dengan Datuk Bandar melepaskan tembakan mercun pertama, enam ekor lembu
jantan dari ladang Miura akan dilepaskan dan berlari di lorong yang dipenuhi
oleh orang ramai. Walaupun ramai pelari cedera ditanduk dan ada yang meninggal
dunia, namun pesta ini terus disambut setiap tahun.
Adat perhimpunan aman atau
haram, di mana-mana negara sekalipun melainkan Sabah, sudah pastinya ada yang
cedera parah, dipukul, terpukul atau dizalimi; namun hanya dianggap sebagai kes
terpencil kerana majoriti tidak mengalami sebarang kecederaan, melainkan yang menunjukkan
kebodohan luar biasa menyerang atau memaki hamun anggota polis.
BERBISIK
.....Najib dilihat berbisik kepada Wartawan The Sun, Radzi Razak yang mendakwa
dipukul 10 anggota polis ketika melawat wartawan tersebut di wad Hospital Kuala
Lumpur, kelmarin.
Sebelum ini, Penganjur
Bersih 2.0 dan 3.0, Dato' Ambiga Sreevanasan berkata, "We want a clean and
fair 13th general election. Nothing more nothing less"
"We believe, actually,
that if at all there are to be change in government, etc it will be done
through the ballot box. That's how we want to do it. That's why we want clean
and fair elections," tambahnya seperti yang disiarkan melalui Videoklip
bertajuk 'Suara Bersih-Dato' Ambiga'
Manakala Sasterawan Negara, Dato'
A Samad Said selaku Pengerusi Bersama Bersih 3.0 pula dengan bangganya menyeru,
"Ayuh bersama saya di Dataran Merdeka pada 28 April. Bersama dengan rakyat
yang berjuang. Ayuh jadilah sebahagian daripada sejarah!"
SEJARAH.....Apakah
Pak Samad dan Ambiga akan tercatat dalam sejarah sebagai Pejuang Demokrasi seangkatan
dengan Aung San Suu Kyi?
Persoalannya, 'sejarah' apa
yang dimaksudkan oleh Pak Samad sedangkan beliau bukanlah Presiden Parti atau Ahli
Politik, bukan siapa-siapa yang mempunyai locus-standi; melainkan 'Sasterawan'
yang terbilang tetapi terbuang yang dijadikan keldai politik!
Sayang seribu kali sayang,
Pak Samad yang sepatutnya menghabiskan sisa-sisa usianya dengan menulis wasiat
(Buku) untuk anak cucu yang bakal ditinggalkannya, memilih berjuang di jalanan
dan menjadi 'Lidah Rasmi' Bersih 3.0.
Pak Samad dan Ambiga
sewajarnya belajar daripada kegagalan Bersih 1.0 dan Bersih 2.0 dan menjadikan
Bersih 3.0 sebagai 'Sijil Penamat' mereka melakukan perubahan politik kerana
mereka bukan ahli politik; sebaliknya mula memikirkan ke mana mereka selepas
ini jika Bersih 3.0 tidak memberikan sebarang kesan kepada Kerajaan Barisan
Nasional; sekalipun ternyata perjuangan sia-sia Ambiga didukung Amerika
Syarikat (NED) yang didalangi Yahudi.
Saya masih ingat pada 1999,
selepas Hakim Mohd Kamil Awang memutuskan bahawa Pilihanraya DUN Likas tidak
sah, saya yang ketika itu menjadi salah seorang saksi dan buku saya IC PALSU
Merampas Hak Anak Sabah diterima sebagai bahan bukti dalam Petisyen Pilihanraya
berkenaan; saya telah menghasilkan sebuah buku lagi bertajuk 'Pengundi Untuk
Disewa'.
Amat malang kerana buku ‘Pengundi
Untuk Disewa’ (Voters For Hire) dalam bentuk versi majalah setebal 132 muka
surat termasuk kulit, telah diharamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir
Mohammad (Tun) untuk satu tempoh yang agak lama.
TINDAK....SPR
telah bertindak membersihkan Data SPR selepas buku Pengundi Untuk Disewa dijual
kepada umum.
Saya dimaklumkan bahawa
pengharaman tersebut bukan kerana isi kandungannya, tetapi kerana kulit luarnya
yang memetik kenyataan Dr Mahathir kepada Wartawan Australia, Bob Reece yang
berbunyi;
“Why
not call a spade a spade? Why not say bravely that the people of Malaysia are
too immature for a workable democracy? Why not say that we need some form of
the authoritarian rule? We are doing that anyway and it looks as if we are
going to do that for a very time to come.... Authoritarian rule can at least
produce a stable strong government....We
must accept that there is not going to be a democracy in Malaysia; there never
was and there never will be."
Saya rugi besar kerana buku
tersebut tidak dapat dijual melainkan jika saya mahu menukar kulitnya dan pihak
SB menggertak penjual buku agar jangan menjual buku berkenaan, sedangkan
harganya mampu dibeli semua rakyat Sabah, RM10 senaskhah.
Buku tersebut mendedahkan
pelbagai ‘Dosa’ dan ‘Modus Operandi’ SPR termasuklah senarai terperinci
pengundi hantu dan seangkatan dengannya, namun hanya selepas pilihanraya berlalu
dan rayuan saya diterima melalui kerjasama media Australia yang memberikan saya
salinan rakaman wawancara Bob Reece dengan Dr Mahathir; barulah buku berkenaan
dapat dijual sebagai 'Surat Khabar Lama'.
Selepas buku ‘Pengundi Untuk
Disewa’ dibenarkan dijual kepada umum, SPR telah mengambil tindakan drastik
membersih daftar pemilih kerana sejak 2004, tidak lagi kedengaran nama pemilih
bertindih; namun kembali lagi bergema pada 2008-2010 dalam siri pilihanraya
kecil dan Pilihanraya Umum DUN Sarawak.
Mungkin saya agak beruntung
kerana tidak perlu disiram air berubat atau ditembak gas pemedih mata untuk
memperjuangkan isu pengundi hantu dan seangkatan dengan apa yang dinyatakan
Bersih 3.0 disebabkan SPR tunduk kepada desakan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang
ketika itu lantang memperjuangkan isu yang didedahkan dalam buku saya, juga tanpa
perhimpunan atau rusuhan.
MEMO....Memorandum
ini telah berjaya diserahkan sendiri ketangan Mantan Perdana Menteri, Mantan
DYMM Yang DiPertuan Agong dan Ketua Menteri Sabah tanpa menumpahkan setitis
darah.
Ketika itu, saya berjuang
secara berseorangan, tanpa modal, tanpa sokongan; tidak seperti Ambiga dan Pak
Samad yang disokong ratusan ribu warga Malaysia di seluruh dunia dengan bantuan
dana daripada NED; sekalipun tidak sampai kepada kumpulan sasaran.
Persoalan yang menarik untuk
dibincangkan ialah pandangan Mahathir berhubung demokrasi dan sehingga ke hari
ini, Mahathir tidak percaya fahaman Demokrasi mampu mengubah rakyat Malaysia
yang sejak berzaman selesa dengan Konsep Authoritarian.
Bagi Mahathir, Demokrasi
tidak wujud di Malaysia, tidak akan dan tidak mungkin wujud sampai bila-bila
disebabkan rakyat Malaysia belum matang untuk menerima demokrasi?
Transformasi politik yang
dibawa Najib memberi terlalu banyak ruang dan kebebasan kepada rakyat Malaysia,
khususnya Ketua Pembangkang untuk membenteng Transformasi melalui 'Reformasi
Politik Jalanan' kerana disukai rakyat yang sukakan kebebasan total.
Pepatah Melayu ada menyebut,
jangan terlalu bebas, nanti terbabas. Bagi mengatasi masalah rakyat Malaysia
yang terbabas daripada landasan politik Demokrasi Berperlembagaan, Najib perlu
menjurutera semula kerangka politik negara yang hampir tumbang menyembah bumi
kerana Dasar Liberal, Kronisme dan Nepotisme Tun Abdullah Ahmad Badawi membawa
padah kepada Barisan Nasional.
Pemansuhan Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA) dan pengenalan Akta Perhimpunan Aman telah membuka ruang
yang teramat luas kepada pembangkang untuk memanipulasi rakyat ketika polis
masih terpinga-pinga untuk mentafsir APA.
Memandangkan 99.99 peratus
Kabinet Najib adalah 'Besi Buruk' warisan Mahathir dan Pak Lah, maka Najib
seperti 'Lokomotif Baru' tetapi menarik 'Gerabak Usang' yang tidak lagi
efektif; tidak akan mampu melakukan Pelan Transformasi secara bersendirian.
'Gerabak Usang' inilah yang
sering mengganggu Najib melakukan Transformasi Politik, Ekonomi, Sosial dan Antarabangsa
secara Glokal sekalipun dimantapkan dengan NKRA, NKEA, GTP, ETP, RTP dan
pelbagai istilah yang mendahului zaman bagi rakyat Malaysia yang masih didodoi
subsidi; sehingga isu remeh temeh seperti PTPTN dan NFC berjaya didodoikan
sebagai Agenda Nasional.
Najib wajib menilai semula
keluhuran, ketelusan, ketulusan dan keikhlasan beliau bagi mengatasi masalah
'Kepandiran' Kabinet Malaysia dan 222 Ahli Parlimen dan 65 Ahli Dewan Negara
yang gagal secara total memanfaatkan fungsi Parlimen dan Dewan Negara sebagai
institusi penggubal undang-undang yang berintegriti.
Jika Najib hanyut oleh janji
lunak yang dianyam secara palsu oleh pemimpin Barisan Nasional, Menteri Kabinet
dan Ketua Jabatan yang menjadikan rasuah dan salahguna kuasa sebagai budaya
hidup, maka Najib terpaksa melalui laluan yang sukar menghadapi PRU-13 kerana
lebih ramai pemimpin akan menanti peluang dan secara bersindiket melakukan
'Coup-de-taat' (Rampasan Kuasa) selepas PRU-13; mengulangi 'Badi Pak Lah'!
Semoga insiden ini tidak berulang.
RAMPASAN.....Bolehkah
rampasan kuasa jalanan berlaku di Malaysia jika majoriti rakyat Malaysia tidak
menyokong Bersih yang dianggap sebagai perjuangan sia-sia?
Najib perlu lebih tegas
tetapi mesra dan mengkaji semula kenyataan yang dikeluarkan Tun Mahathir kerana
memang diakui 'Authoritarian Rule' adalah yang terbaik untuk Malaysia kerana
kata-kata Perdana Menteri adalah Undang-Undang di Malaysia. Jika tidak,
golongan pencacai dan pembodek tidak akan berjaya melakukan visi dan misi memperkayakan
diri dan terus mendominasi politik Malaysia sejak sebelum dan selepas Pasca Kemerdekaan
lagi.
Di manakah letaknya Malaysia
jika Polis dijadikan sasaran melampiaskan kemarahan peserta demonstrasi dan
pemimpin pembangkang yang mahu menggulingkan kerajaan yang memerintah tidak
menggunakan pilihanraya sebagai cara bermaruah; sebaliknya menuding jari kepada
SPR yang disifatkan sebagai kotor sedangkan majoriti kawasan pilihanraya;
rakyat yang turun membuang undi tidak sampai 60 peratus.
Walaupun saya tidak
mempunyai penyokong untuk mengadakan perhimpunan aman seperti Bersih 3.0, tetapi
demonstrasi mental yang saya lakukan bersama Datuk Patrick Sindu, Datuk Dr
Jeffrey Kitingan menemui Mantan Perdana Menteri, Mantan Agong, Ketua Menteri
Sabah dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti telah
membuahkan hasil yang diharapkan tanpa perlu menumpahkan walau setitik darah.
Persoalan yang perlu kita
fikirkan, kenapa harus menangkap angin dengan garfu untuk membuat hujan
sedangkan air mineral hanya berharga 50 sen sebotol?