Friday, 24 September 2010

ERAT TALI PERSAUDARAAN PKR TENOM



Oleh : KREW SABAHKINI NET

MESYUARAT pertama AJK PKR Cabang Tenom yang dipengerusikan oleh Ketua Cabang yang baru, Datuk Halik Zaman, bertempat di Nantaduan Board Room, Hotel Perkasa berjalan lancar.

Mesyuarat yang dihadiri oleh kesemua Jawatankuasa yang di pilih dan dalam mesyuarat ini juga beberapa Jawatankuasa juga telah dilantik dengan persetujuan penuh dari kesemua Jawatankuasa yang hadir.

Dalam ucaptamanya, Halik Zaman menyatakan, kemenangan yang diperolehi bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya merupakan satu tanggung jawab bagi semua Jawatankuasa.

"Jawatan yang tersandang di bahu masing-masing, haruslah dipergunakan sepenuhnya untuk memperkasakan parti dan Cabang. Jawatan yang berada dalam diri masing-masing harus memainkan peranan untuk meraih lebih banyak kepercayaan rakyat setempat dan memberikan mereka peluang untuk mengenali PKR dengan lebih dekat. Jawatan yang disandang bukanlah hanya untuk sekadar memanaskan kerusi tanpa mampu untuk berbuat apa-apa," nasihat Halik.

Katanya lagi, sesiapa sahaja yang hanya menggunakan jawatan tersebut untuk memanaskan, maka beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan menurut Perlembagaan Parti.

Ketua Cabang itu juga menyeru agar barisan kepimpinan AMK untuk mula bekerja mendekati anak-anak muda yang belum berdaftar sebagai pengundi dan membantu mereka untuk mendaftar di pejabat Pos berhampiran.

Di samping itu, mereka juga wajib mempelbagaikan aktiviti dan program untuk anak-anak muda agar mereka selesa berada dalam kelompok PKR.

Bukan setakat AMK sahaja yang digesa untuk memulakan tugas dan amanah yang telah diberikan kepada anggota-anggota PKR Cabang Tenom, malah Jawatankuasa induk dan Wanita juga diminta untuk memulakan program-program turun padang untuk mendekati rakyat Tenom.

Malah aktiviti dan program yang bakal dibentuk seharusnya mempunyai motif untuk memperkasakan PKR di kampung-kampung di samping menambah-baikkan indeks keanggotaan parti di Cabang Tenom.

Menurut Halik lagi, Pemilihan 2010 hanyalah merupakan pertandingan antara keluarga dan tidak sepatutnya mana-mana anggota menyimpan dendam di hati kerana bernaung di bawah bumbung yang sama, PKR.

Beliau juga meminta semua Jawatankuasa yang hadir untuk melupakan insiden-insiden yang kurang baik yang telah berlaku dan memandang hari depan dengan sikap yang lebih positif, ‘biduk lalu, kiambang bertaut’.

Sasaran utama, kata Halik bukanlah sesama sendiri, tapi untuk menentang ideologi dan ketidak-adilan UMNO/BN terhadap rakyat Sabah, maka beliau berharap agar penyatuan dan perpaduan dieratkan kembali.

No comments:

Post a Comment