Saturday, 18 September 2010

ISU PATI DI SABAH SEMAKIN KRONIK




Oleh : SHAIMON S JUMADI

KEBANJIRAN PATI di Sabah memang tidak dapat dinafikan telah berlaku sejak berpuluh-puluh tahun dahulu. Kita perlu melihat susur galur dan faktor sejarah yang menyebabkan kenapa kebanjiran ini berlaku sejak sekian lama. Ini adalah kerana terdapatnya faktor ‘push dan pull’ yang terdapat di Negeri Sabah dan Negara Filipina.

Walau bagaimanapun, saya tidak bercadang untuk membincangkan kedua-dua faktor tersebut, namun lebih kepada isu penyelesaian kepada masalah ini.

Kadangkala, kita melihat isu ini sengaja dibiarkan seolah-olah ianya mempunyai agenda politik yang tersendiri. Ini adalah kerana isu PATI bukanlah merupakan isu yang baru yang wujud semalam, tetapi telah berpuluh tahun ianya sering diperkatakan, namun penyelesaiannya masih status quo.

Isu ini dilihat sebagai modal untuk bercakap supaya rakyat memandang mereka seolah-olah merekalah pejuang yang hebat dalam menangani isu ini. Kadangkala kita lupa bahawa kita mempunyai ruang, peluang dan kuasa pada masa lampau untuk menyelesaikan isu ini, tetapi tidak berbuat demikian.

Inilah yang dikatakan permainan politik yang hebat tetapi rakyat sudah mula pandai menilai permainan tersebut yang hanya dilihat sebagai omongan kosong yang tiada manfaat di sebaliknya.

Isu PATI seharusnya boleh diselesaikan melalui kuasa politik yang sedia ada sama ada di peringkat negeri atau pusat dan terpulang kepada kita bagaimana mahu menanganinya, sama ada dengan serius atau sebaliknya.

Pada hemat saya, tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa dengan melaksanakan operasi menangkap PATI ini tidak dapat menyelesaikan masalah ini. Semua PATI yang ditangkap akan dihantar ke Pusat Tahanan Sementara yang terdapat di negeri ini.

Keadaan kem yang daif dan penuh sesak serta prasarana yang tidak kemas akan menimbulkan permasalahan kepada mereka. Kerajaan juga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak bagi menampung keperluan PATI yang berada diPusat Tahanan Sementara termasuklah makanan dan penyelenggaraan prasarana.

Selain dari itu, operasi ini dilihat sebagai tidak berkesan kerana tidak semua PATI yang akan ditangkap dan dihantar ke kem tahanan sementara. Kebanyakan mereka akan mencari tempat perlindungan dan tidak akan keluar semasa operasi dijalankan. Kejayaan operasi mungkin hanya 10 peratus sahaja tercapai

Beberapa persoalan juga perlu dijawab, antaranya bagaimanakah dengan PATI yang telah berada di negeri ini hampir berpuluh-puluh tahun? Apakah mereka ini juga dikategorikan sebagai PATI dan akan dihantar balik ke negara asal mereka jika ditangkap? Adakah negara asal mereka masih mahu menerima mereka? Mereka ini telah bermastautin di negeri ini serta mempunyai keluarga di sini.

Ada juga di antara mereka yang telah berkahwin dengan rakyat negeri ini dan mempunyai anak pinak di negeri ini, tetapi masih belum mempunyai sebarang dokumen peribadi.
Pulau Berhala di Sandakan, misalnya merupakan contoh yang paling ketara. Begitu juga dengan Pulau Jampiras. Inilah sebabnya pulau ini tidak diberi perhatian dari segi pembangunan disebabkan oleh status penduduknya berbanding dengan pulau di sebelahnya iaitu Pulau Nunuyan Laut yang mempunyai prasarana asas seperti sekolah, klinik, bekalan elektrik dan air.

Kebanyakan anak-anak penduduk di pulau ini tidak bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen bagi tujuan tersebut. Apakah yang akan berlaku pada mereka? Siapakah yang akan membela nasib mereka? Mereka yang tinggal di pulau ini dikategorikan sebagai penduduk awal di sini dan telah berpuluh-puluh tahun menetap di sini.

Apakah kita mahu pada masa hadapan tanpa kita sedari timbulnya pengganas dari pulau ini? Pada masa itu, siapa pula yang perlu dipersalahkan? Kita sering mewar-warkan bahawa kita dan anak-anak kita adalah penentu generasi masa hadapan. Jika anak-anak ini merupakan generasi masa hadapan, apakah persiapan dan perkara yang perlu kita lakukan supaya mereka menjadi generasi masa hadapan yang berguna kepada masyarakat dan negara?

Oleh yang demikian, pada hemat saya, adalah lebih murni dan baik kerajaan negeri dengan kelulusan dari kerajaan pusat menubuhkan Jawatankuasa Khas Berautonomi dan menggerakkan Pasukan Petugas Khas yang sedia wujud melaksanakan pendaftaran dan tapisan keselamatan PATI ini secara terbuka di seluruh negeri dengan mengambilkira jangkamasa mereka berada di negeri ini, budaya hidup, tempat kelahiran dan lain-lain yang difikirkan perlu. Sekiranya mereka ini didapati mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan, maka mereka hendaklah diberi kelonggaran dan dokumen peribadi misalnya seperti IMM 13 untuk tinggal di negeri ini atau dihantar ke Semenanjung.

Bagi PATI yang yang dikenalpasti baru tiba di negeri ini hendaklah dihantar pulang dengan sertamerta. Setakat ini Zamboanga merupakan tempat PATI dihantar balik dan ini telah menimbulkan masalah sosial kepada bandaraya tersebut, kerana bukan semua PATI yang datang ke Negeri Sabah berasal dari Zamboanga.

Hasil pertemuan kami dengan Mayor Zamboanga pada tahun lepas, beliau akan memohon kerjasama dengan Negara Malaysia berhubung tempat penghantaran PATI supaya ianya dibuat berhampiran dengan tempat asal mereka.

Isu PATI ini dilihat sebagai isu politik dan akan menjadi lebih kronik jika tidak ditangani dengan segera dan terbuka. Ianya boleh diselesaikan tanpa adanya ‘political influence’ oleh mana-mana pihak.

Selain dari itu, masih juga terdapat ramai rakyat di negeri ini yang tiada mempunyai surat beranak dan Mykad walaupun mereka memang merupakan rakyat negeri ini. Ini adalah kerana permasalahan di masa lampau yang dibuat atas kepentingan politik yang mana ibubapa mereka diberi kad pengenalan projek bagi tujuan tertentu.

Semasa memiliki kad pengenalan tersebut, mereka melahirkan anak dan anak ini tidak dapat mendaftar sebagai rakyat Negeri Sabah kerana kad pengenalan projek yang dimiliki oleh ibubapa mereka. Apabila ibubapa mereka telah memperolehi kad pengenalan yang sah, anak tersebut masih lagi tidak dapat didaftarkan sebagai warganegara kerana dokumennya masih berpandukan kepada kad pengenalan projek yang dimiliki oleh ibubapa mereka.

Maka, anak ini akan menjadi pendatang di bumi sendiri dan sentiasa mempunyai perasaan takut di dalam diri mereka ke atas tindakan yang dikenakan sekiranya tertangkap oleh pihak berkuasa, sehinggalah ke akhir hayat mereka.

Ini jelas membuktikan kita perlu menyelesaikan masalah yang timbul akibat daripada perbuatan kita sendiri. Oleh yang demikian, tidak perlulah kita menuding jari kepada pihak lain untuk menyelesaikan isu yang dilakukan oleh kita sendiri.

Selain dari itu, karenah birokrasi oleh pejabat pendaftaran dalam pengurusan dokumen-dokumen peribadi seperti surat beranak dan Mykad juga memberi impak kepada rakyat negeri ini yang ingin membuat dokumen peribadi mereka.

Rakyat yang datang dari jauh dan terpaksa berbaris sejak dari pagi, namun apabila nombor giliran mereka dipanggil terdapat kesalahan dan dokumen yang tidak lengkap diserahkan kepada pihak jabatan pendaftaran menyebabkan proses pembikinan dokumen peribadi tersebut tidak dapat dibuat.

Apatah lagi dengan lagak staf-staf di Jabatan Pendaftaran yang tidak langsung mempunyai sifat berkompromi dalam membantu pengurusan dokumen-dokumen tersebut. Ini telah menyebabkan rakyat merasa bosan untuk datang lagi berurusan dengan pihak Jabatan Pendaftaran.

Isu pertindihan Mykad juga banyak berlaku dan ini menyebabkan dua atau tiga orang mempunyai nombor Mykad yang sama. Adalah wajar penerangan dan prosedur tentang pembikinan surat beranak dan Mykad dimaklumkan dengan cara yang lebih berkesan. Operasi pendaftaran bergerak perlu lebih kerap dilakukan dengan pihak Jabatan Imigresen terutama di kawasan-kawasan pedalaman termasuk pulau-pulau yang terdapat di negeri ini.

Tindakan segera perlu dilakukan dan terpulang kepada pihak yang berkenaan sama ada untuk berdiam diri atau membiarkan isu ini terus menerus berlaku dan mengharapkan orang lain akan menyelesaikannya pada masa akan datang sepertimana yang berlaku sekarang.

No comments:

Post a Comment