Oleh : KREW SABAHKINI.NET
PROSES penamaan calon yang ditetapkan selama beberapa hari bagi membolehkan wakil PKR Pusat mempastikan perjalanan pemilihan Ketua-Ketua Cabang PKR di Bahagian Pedalaman kelak berjalan lancar dan teratur telah mula menampakkan adegan pihak tertentu menganjur cubaan mewujudkan suasana tidak menentu yang bertujuan menggangu proses pemilihan.
Minsin @ Johnson Masioh (Gambar tengah), mantan AJK PKR cabang Pensiangan yang sempat dihubungi krew Sabahkini.Net di Tenom dipetik berkata, ada orang cuba kelirukan penyokong mereka dengan menukar tempat pemilihan dari lokasi tertentu ke Keningau.
Menurut Minsin, PKR Pusat telah pun bersetuju tempat mesyuarat pemilihan diadakan di Balai Serbaguna Kg Takul, Jalan Nabawan, Sepulut; tetapi ada pihak tidak bertanggungjawab telah mengedar notis bertulis mengatakan tempat mesyuarat telah dipindah ke Hotel Perkasa, Keningau.
Setelah rancangan mengelirukan ini terbongkar dan ditentang oleh barisan kepimpinan PKR Pensiangan, satu rancangan baru telah diperkenalkan dengan mengubah tempat mesyuarat pemilihan ke Pejabat PKR Sook. Siasatan krew Sabahkini.Net mendapati Pejabat PKR Sook tidak wujud.
Rancangan jahat ini telah menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan ahli PKR Pensiangan terutama mengenai siapa dalang di sebalik edaran notis bertulis mengenai tempat mesyuarat pemilihan yang telahpun ditetapkan dan dipersetujui oleh Pusat. Sebilangan ahli pula mahu satu siasatan dilakukan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dan ambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang bertanggungjawab.
“Angkara pengkhianatan oleh ahli yang tidak bertanggunjawab sebegini tidak lagi boleh dipandang ringan. Pengkhianatan oleh golongan inilah yang telah mengakibatkan PKR lemah pada pilihanraya 2008,” sambung Minsin lagi.
Menurut sumber yang boleh dipercayai jika ada pertandingan, mantan Ketua Cabang PKR Pensiangan, Danni Andipai (Gambar), akan mendapat laluan mudah mempertahankan jawatannya. Ini berikutan kesedaran di kalangan kaum Murut yang mahukan perubahan drastik berlaku bagi menghadapi gelombang cabaran baru yang kini ditiup kencang oleh Pakatan Rakyat.
Rata-rata barisan kepimpinan kaum Murut dalam PKR percayai segala rencam dan liku- liku yang dilalui mereka sejak merdeka 47 tahun lalu telah mematangkan mereka. Kesedaran ini membuat mereka tekad mengangkat pemimpin dari kalangan kaum Murut sendiri yang tahu kemelaratan dan kesengsaraan mereka hanya akan dapat ditangani oleh kaum Murut sendiri.
“Kaum Murut telah sekian lama terpinggir daripada arus pembangunan negara. Lebih mendukacitakan polisi kerajaan UMNO/BN membolehkan tanah kami sewenang- wenangnya dirampas menyebabkan, bukan saja kaum Murut hilang tanah tumpah darahnya, malah anak-anak muda kami terpaksa berhijrah keluar menjadi hamba abdi kepada orang di Semenanjung Malaysia. Semua ini adalah mimpi ngeri yang tidak mungkin dapat kami lupakan,” demikian keluhan penuh semangat seorang pemimpin PKR Pensiangan yang enggan namanya disebut.
Ditanya mengenai ura–ura Naib Presiden PKR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan menawarkan diri bertanding merebut jawatan Ketua Cabang Pensiangan, Murut Marat (bukan nama sebenar) berkata barisan kepimpinan PKR Pensiangan daripada suku kaum Murut telah sebulat suara membuat keputusan tidak lagi mahu pemimpin dari luar mewakili mereka.
Menurutnya lagi, seluruh kepimpinan PKR daripada suku kaum Murut telah sejak beberapa minggu lalu mengorak langkah menjalankan pelbagai program turun padang terutama di kampung-kampung tradisi yang kebanyakan penduduknya diancam akan diusir dan tanah yang mereka usahakan akan dirampas untuk dibangunkan oleh syarikat daripada Semenanjung Malaysia.
“Saya harap Datuk Dr. Jeffrey faham kandungan memorandum yang telah kami sampaikan kepada Presiden PKR,” kata Murut Marat lagi.
Dalam pada itu, Danni Andipai adalah calon PKR Kawasan Pilihanraya P. 182 Pensiangan yang tewas kepada calon BN setelah kertas pencalonannya ditolak oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya pada tahun 2008.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengisytiharkan tindakan Pegawai Pilihanraya itu salah, namun Mahkamah Rayuan Malaysia membenarkan rayuan lawannya, Tan Sri Joseph Kurup.
Para penyokong PKR bahagian Pensiangan terutama suku kaum Murut berpendapat, wakil Parlimen mereka sekarag adalah Wakil Rakyat pilihan Mahkamah, bukan pilihan Rakyat.
Di bawah pindaan perlembagaan yang diluluskan 8 Jun 2009 lalu, seramai lebih 300,000 ahli PKR akan memilih barisan kepimpinan peringkat Cabang dan kemudian memilih barisan kepimpinan pusat secara langsung.
Selain itu, PKR akan menghadkan Presiden Parti memegang jawatannya bagi satu tempoh maksimum tiga penggal selama sembilan tahun. Ia merupakan antara pindaan fundamental dan istilah yang diperhalusi kongres khas tahun lalu.
No comments:
Post a Comment