SUMBANGAN.... Jamawi (tujuh kiri) menyerahkan sumbangan kepada kapitan Wong (lapan dari kiri) sambil mengabadikan kenangan bersama semua penerima sumbangan di perkarangan Pejabat Pemuda UMNO Tenom.
Oleh : HASSAN DALIMPOS
ORANG ramai atau rakyat di negeri ini diingatkan agar berhati-hati ketika menyambut kedatangan tahun baru yang bakal disambut esok. Ingatan ini merangkumi aspek keselamatan di jalanraya, ketika mandi di sungai pada tengah malam dan ketika meraikannya di rumah dengan mengadakan pesta minum bersama rakan-rakan dan sanak saudara.
Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar berkata, rakyat juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga ketika menyambut tahun baru kerana khuatir berlakunya bencana alam seperti banjir kilat kerana keadaan cuaca yang tidak menentu memungkinkan berlakunya bencana alam.
Jamawi yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia berharap orang ramai yang ingin menyambut tahun baru di persisiran sungai agar jangan leka kerana di saat bermandi-manda kerana mungkin ada di kalangan kita yang terlalu seronok mandi, kononnya untuk membuang sial, tetapi akhirnya nyawa melayang kerana lemas di sungai.
Katanya, ketika memandu orang ramai juga haruslah menjaga keselamatan dan pastikan tidak mabuk ketika memandu kerana pada kebiasaannya sambutan tahun baru ramai di kalangan rakyat yang minum-minuman keras dan mabuk lalu memandu kenderaan menyebabkan berlakunya kemalangan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan 100 buah hamper kepada penduduk beragama Kristian yang menyambut hari Krismas dan tahun baru di perkarangan pejabat Pergerakan Pemuda UMNO Tenom yang dihadiri 100 orang penerima wakil gereja-gereja di seluruh Tenom. Selain hamper, turut disampaikannya ialah sumbangan wang untuk membantu meringankan bebanan keperluan ketika menyambut perayaan itu.
"Sumbangan ini hanyalah sedikit untuk membantu meringankan bebanan penganut Kristian yang ingin merayakan Krismas dan tahun baru ketika bergotong-royong mempersiapkan sesuatu bagi tujuan berkenaan,” katanya.
Beliau berharap, agar rakyat di Tenom sentiasa dalam keadaan yang sihat dan sejahtera ketika menyambut tahun baru dan mempunyai azam baru untuk meningkatkan kehidupan dalam aspek pembangunan ekonomi agar sejajar dengan wawasan 2020 kerana rakyat di negara ini lebih maju lagi dalam pelbagai aspek, jelasnya.
Turut hadir ialah Kapitan Cina merangkap Pastor Gereja Basel (BCCM) Wong Tet Yun dan pegawai Biro Sosial Pemuda UMNO, Rubin Andiar serta Biro Agama Mat Jais dan ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO Tenom.
No comments:
Post a Comment