Friday 18 March 2011

KERAJAAN WAJIB JAGA KEPENTINGAN NCR



Oleh: JAPIRIL SUHAIMIN

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi ke atas perbicaraan rayuan tuntutan hak NCR di Kawasan hutan simpan Tomani baru-baru ini menjadi satu ikhtibar dan harapan kepada Orang Asal/Anak Negeri. Proses mahkamah telah memberi keadilan dan hak NCR kepada Orang Asal di Sabah. Pihak Jabatan Hutan tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan di luar batasan, hak NCR Orang Asal harus dihormati.

Pengusiran dan pembakaran rumah atau sulap hak Orang Asal dan tanaman-tanaman mereka diradu oleh jentera pihak berkuasa sering berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan ia tidak berlaku sebelum tahun 2,000.

Orang Asal bercucuk tanam berpindah renda beratus tahun sehingga zaman koloni, mereka berkampong secara kecil-kecilan dan sementara. Sehingga hari ini Orang Asal sudah bertambah penduduk berlipat ganda dan masih berada dalam lingkungan hutan sama ada berkampung atau budaya berpindah randah.

Pihak kerajaan negeri menggazetkan ia sebagai hutan simpan pada tahun enam puluhan. Berikutan dengan penggazetan tersebut mereka terperangkap dalam kawasan hutan simpan dan kerajaan hanya mengiktiraf NCR sebagai hak Orang Asal dalam hutan simpan di bawah Enakmen Hutan 1968.

Dalam pada itu, isu Orang Asal di kawasan FMU juga akan menjadi lebih terjamin dengan keputusan mahkamah tersebut oleh kerana kawasan FMU juga kawasan hutan simpan yang dilesenkan kepada syarikat-syarikat yang layak untuk mengurus pengurusan hutan secara mampan.

Malah dalam kawasan FMU hak NCR lebih terjamin dan diperkukuhkan melalui perjanjian di antara syarikat FMU dan Jabatan Hutan. Saya difahamkan bahawa Perjanjian tersebut ‘Sustainable Forest management Licence Agreement’ yang di antara lain mensyaratkan bahawa mana-mana hak NCR yang terkandung dalam kawasan FMU perlu dipatuhi dan dilaksanakan mengikut Enakmen Hutan 1968.

Selain daripada itu program perhutanan masyarakat, kemudahan asas, bekalan air, bekalan letrik dan jalanraya termasuk sekolah dan klinik juga menjadi tanggung jawab syarikat FMU untuk membantu kerajaan untuk melaksanakannya. Termasuklah juga memberi peluang pekerjaan dan latihan kemahiran kepada penduduk kampung dan sekitarnya dalam kawasan FMU.

Ini bermakna bahawa kerajaan telah mengambil kira kedudukan hak Orang Asal semasa mewujudkan program FMU di kawasan hutan simpan pada ketika itu. Maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan bahawa semua pengusaha FMU harus memenuhi syarat perjanjian dan pada masa yang sama Jabatan Hutan harus memantau dan memeriksa pelaksanaannya. Kerajaan harus mempertahankan hak Orang Asal mengikut perjanjian tersebut dan bukan sebaliknya.

No comments:

Post a Comment