Saudara Pengarang,
SAYA ingin merujuk perkara di atas untuk perhatian serius daripada Pesuruhjaya Polis Sabah (CP) Datuk Hamzah Taib kerana tiga laporan polis yang saya buat mungkin dibakul sampah oleh Polis Kunak iaitu KNK/RPT/479/2011; KNK/RPT/531/2011 dan KNK/RPT/637/2011.
Agak malang bagi rakyat Kunak kerana taraf Balai Polis Kunak masih tidak berubah sejak tragedi penyalahgunaan kuasa yang menyebabkan kematian dan kecederaan di Skim Pekebun Kecil Tingkayu sehingga semua laporan Polis yang saya buat gagal membuka mata pasukan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) Kunak untuk bertindak telus dan jujur menangani permasalahan judi haram di daerah ini.
Tidak sampai tempoh 24 jam laporan polis saya buat di IPD Kunak, dengan muka selamba sahaja ada anggota pasukan CID PDRM keluar minum bersama tauke judi yang kelihatan begitu ‘mesra sekali’ membuatkan saya jadi keliru dan tertanya-tanya, mengapa terlalu kebal tauke judi haram di Kunak sehingga 'terlepas' daripada ditangkap?
Tindakan dan gelagat mereka seolah-olah membatasi undang-undang dan membutakan mata dalam hal perundangan negara yang sepatutnya dipatuhi. Gelagat tauke judi seperti telah menguasai keseluruhan pekan Kunak dan kebal daripada undang-undang! Mereka menjalankan judi haram (nombor ekor, wahui, mesin slot dan sebagainya).
Adakah kerana saya hanya sebagai Anggota Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menyebabkan semua laporan yang saya buat sebelum ini bagaikan memenuhi tong sampah atau di KIV di Balai Polis Kunak?
Sekiranya pihak berkuasa tidak tahu membendung masalah judi haram yang merosakkan ekonomi penduduk di Kunak dan menimbulkan kecelaruan, adalah lebih elok mereka (tauke judi) diberi lesen sah agar cukai daripada aktiviti perjudian haram selama ini dapat sedikit-sebanyak menambah cukai kerajaan.
PREMIS....Kesemua gambar di atas ialah premis judi haram yang semakin berleluasa tanpa sebarang sekatan daripada PDRM.
Agak menghairankan pula apabila didapati anggota Polis yang diseru mendapatkan saman yang banyak setiap hari daripada pemandu-pemandu kenderaan, pihak Polis dapat melakukannya dengan ‘cepat, sempurna dan langsai’, sehinggakan ada di kalangan rakyat berkata;
Mereka (rakyat) mencari nafkah setiap hari hanya untuk melunaskan saman yang dikeluarkan oleh Polis trafik yang mana anggota Polis itu sendiri tidak pernah merasai bagaimana perasaan manusia dan rakyat yang diberi saman, lebih-lebih lagi musim pilihanraya memerlukan banyak dana yang terpaksa dikeluarkan oleh kerajaan. Inikah slogan 'Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan?’
Semoga CP Sabah dapat mengambil perhatian serius untuk menangani perkara ini kerana tidak ada gunanya membuka kaunter untuk rakyat membuat repot jika aduan masyarakat tidak diendah dengan telus dan bertanggungjawab.
Wassalam,
CITRA BIN MASADI
Timbalan Ketua Penerangan Amk Negeri Sabah
No comments:
Post a Comment