Tuesday 22 March 2011

TNB KATA BATERI PLUMBUM SELAMAT?


Oleh: MUTALIB M.D

KEMELUT pencemaran alam akibat penggunaan bateri asid plumbum yang diharamkan di kebanyakan negara di dunia yang menandatangani Basel Convention, termasuk Malaysia mula memuncak dengan bantahan sebuah NGO, Banggi Green ekoran pembinaan Stesen Janakuasa Solar Hibrid di Pulau Banggi Kudat oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada 2008.

Ekoran daripada desakan masyarakat Pulau Banggi dan Banggi Green serta beberapa NGO Alam Sekitar, setelah tragedi ngeri di Nigeria dan China, Sabahkini.net telah mengemukakan lapan soalan bertulis kepada Presiden merangkap Ketua Pengawai Eksekutif (C.E.O) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Noh.

Bagaimanapun Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Noh telah mengarahkan Pengarah Urusan TNB Energy Services Sdn Bhd (TNBES), Shahrir Abdul Latiff, selaku pembangun projek tersebut untuk menjawab lapan soalan berkenaan bagi pihak TNB berhubung Stesen Janakuasa Elektrik Solar Hibrid Pulau Banggi, Kudat, Sabah; seperti berikut;

Sabahkini.net : Mohon penjelasan kenapa sistem janakuasa Solar Hibrid Di Pulau Banggi belum diserahkan sepenuhnya kepada SESB sekalipun sudah siap dan digunakan?

TNBES: Projek Stesen Janakuasa Solar Hibrid Pulau Banggi ini telah disiapkan oleh TNB/TNBES dan dimulatugas pada 28 Disember 2008. Sijil Siap Kerja (Certificate of Practical Completion-CPC) telahpun dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) selaku pemunya projek berkuatkuasa pada tarikh tersebut.

Bermula dari tarikh tersebut, operasi dan selenggaraan stesen tersebut adalah di bawah bidangkuasa SESB. Bagaimanapun, Stesen ini masih lagi dalam tempoh tanggungjawab kontrak di bawah klausa Tanggungan Kecacatan (Defect Liability Period-DLP) untuk tempoh selama 27 bulan selepas tarikh stesen dimulatugas.

Stesen ini akan diserahkan sepenuhnya kepada SESB setelah tempoh kerja-kerja tanggungan kecacatan berakhir yang disasarkan pada 22 Mac 2011 dengan sijil ‘Total Handing Over’ dikeluarkan oleh pihak SESB sebagai syarat kontrak oleh KKLW selepas selesainya DLP.

Sabahkini.net: Siapakah kontraktor yang membina bangunan dan stesen janakuasa berkenaan?

TNBES: TNB melalui anak syarikatnya TNB Energy Services Sdn Bhd (TNBES) merupakan pembangun projek (Project Developer) di mana TNBES telah melantik kontraktor-kontraktor berkaitan bangunan dan stesen janakuasa melalui proses tender terbuka seperti berikut;

1. Sivil dan Bangunan : Tetuan Usahasama Shapadu Properties Sdn Bhd dan Berestu Corporation Sdn Bhd.

2. Stesen Janakuasa : Unimodal Sdn Bhd, Restu Indah Sdn Bhd dan Power Technologies Sdn Bhd

Sabahkini.net : Kenapa perabot dan lengkapan belum disediakan sekalipun stesen ini telah digunakan sejak setahun lalu?

TNBES: Kontrak yang dianugerahkan oleh KKLW kepada TNB/TNBES adalah tidak termasuk skop pembekalan kelengkapan perabot di bangunan pejabat dan kesemua kuarters.

Sabahkini.net: Kenapa TNB menggunakan bateri asid plumbum yang diharamkan untuk menjanakuasa elektrik solar sedangkan terdapat bateri lithium di pasaran?

Secara amnya, bateri asid plumbum adalah tidak diharamkan dan bergantung kepada aplikasinya. Bateri jenis ini sedia ada di pasaran dan digunakan secara meluas untuk penggunaan seperti bateri kenderaan, bateri jentera, UPS dan lain-lain kerana ianya terbukti selamat digunapakai sejak dari dahulu lagi.

Bagi bateri asid plumbum yang digunapakai di Pulau Banggi, ianya direkabentuk dengan mematuhi piawaian yang ditetapkan. Bateri ini ditempatkan di bilik khas yang mempunyai sistem pengudaraan dan sistem kawalan keselamatan untuk tujuan operasi dan selenggaraan bagi aplikasi sistem solar hibrid.

Sebagai perbandingan, bateri lithium ion adalah antara teknologi bateri yang berada di pasaran sekarang. Aplikasi bateri ini biasanya digunakan dengan meluas bagi keperluan seperti telefon mudah alih, kalkulator, jam tangan dan keperluan lain yang menggunakan tenaga elektrik yang bersaiz kecil.

Untuk aplikasi besar seperti sistem solar hibrid, teknologi bateri Lithium ion adalah kurang bersesuaian buat masa ini disebabkan masih terdapat isu-isu teknikal seperti haba yang akan mengakibatkan kegagalan sistem tersebut.

Dari segi kos, buat masa ini harga bateri Lithium ion adalah berlipat kali ganda jika dibandingkan dengan harga bateri asid plumbum dan pemilihan bateri ini akan mengakibatkan kos projek tidak berdaya saing.

Sabahkini.net : Berapakah kos membina dan menyiapkan stesen berkenaan termasuk tiga janakuasa elektrik berkenaan?

TNBES : Kos kontrak yang dianugerahkan oleh KKLW kepada TNB/TNBES adalah sebanyak RM 21 juta termasuk kos membekal, membina dan menyiapkan satu (1) unit bangunan rumah janakuasa, satu (1) unit bangunan pejabat, enam (6) unit kuarters, sistem janakuasa yang merangkumi panel solar, bateri, generator diesel dan aksessori berkaitan dan juga sistem talian pembahagian.

Sabahkini.net : Bilakah tarikh jangkaan penyerahan operasi sepenuhnya kepada SESB?

TNBES : Skop operasi dan selenggaraan telah diserahkan sepenuhnya kepada SESB selepas tarikh mulatugas semenjak 28 Disember 2008. Dari tarikh tersebut, seluruh operasi stesen dan sistem pembahagian adalah di bawah tanggungjawab SESB.

Pihak SESB telah diberikan latihan pengkhususan bagi operasi dan selenggaraan sistem solar hibrid ini mengikut syarat kontrak dan pihak TNB/TNBES dari masa ke semasa masih memberikan bantuan teknikal apabila diperlukan

Sabahkini.net : Apakah TNB akan melantik kontraktor baru untuk menyiapkan dan membaikpulih stesen berkenaan, termasuk keretakan bangunan dan tanah runtuh ?

TNBES : TNB/TNBES masih lagi dalam tanggungjawab kontrak iaitu dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP) sehingga sijil ‘Total Handing Over’ dikeluarkan oleh pihak SESB.

Kerja-kerja membaiki tanah runtuh dan kecacatan bangunan telahpun siap dilaksanakan oleh kontraktor sivil yang dilantik (sila rujuk Soalan 2, item 1) dan kontraktor ini bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja pembaikan sehingga tamat tempoh tanggungan kecacatan (DLP).

Sabahkini.net : Apakah TNB ingin meneruskan penggunaan bateri asid plumbum di Pulau Banggi?

TNBES : Jangka hayat bateri asid plumbum yang dipasang di Pulau Banggi dianggarkan untuk tempoh sehingga 5 tahun. Keputusan untuk penukaran jenis bateri selepas tempoh jangka hayat tersebut akan bergantung kepada faktor-faktor penting seperti ‘proven technology’ dan ‘track record’, kos keseluruhan dan juga polisi serta penguatkuasaan tatacara berkaitan bateri pada ketika itu nanti.

Untuk makluman, bagi bateri asid plumbum yang telah di pasang di stesen-stesen solar hibrid yang lain yang dibangunkan oleh TNB/TNBES, terdapat stesen yang telahpun beroperasi lebih dari 10 tahun dan bateri-baterinya masih beroperasi dengan baik hasil dari kaedah rekabentuk dan pengawalan operasi bateri yang terkini, disamping selenggaraan berkala yang baik oleh pihak TNB/TNBES.

No comments:

Post a Comment