TIBA…. Datuk Rosnah (kiri) ketika disambut ketibaannya oleh Setiausaha KOSAN Golubi Guntarik; Ahli Lembaga Pengarah KOSAN, Haji Ghulabdin Enjih (Kanan) dan Pengurus Besar KOSAN Haji Junian Haji Yunus.
Oleh: KREW SABAHKINI.NET
KEHADIRAN Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Sherlin yang juga Ahli Parlimen Papar ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Kilang Pakaian Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN) di Papar baru-baru ini; sesungguhnya tidak diduga oleh 300 orang ahli KOSAN dan kakitangan kilang tersebut.
Ketibaan Ketua Puteri UMNO Malaysia di Majlis Rumah Terbuka KOSAN Papar pada kira-kira jam 11 pagi telah disambut oleh warga KOSAN yang hadir termasuklah Timbalan pengerusi KOSAN, Haji Abdul Razak Awang Duraman; Pengurus Besar KOSAN; Haji Junian Haji Yunus; Setiausaha KOSAN Golubi Guntarik; Ahli-Ahli Lembaga pengarah KOSAN yang terdiri daripada Haji Ghulabdin Enjih, Datuk Haji Baisulkhan Salaman Farish, Arifin Datuk Fadzil Wong, Mirsilius Tiwo, Gabriel Lohuban dan Chong Ket Vui.
Rosnah ketika berucap di majlis itu menyatakan, sesungguhnya kewujudan KOSAN di negeri ini telah banyak memberikan sumbangan kepada rakyat termasuklah sebagai pembekal pakaian percuma kepada pelajar-pelajar sekolah rendah yang dengan sendirinya dapat meringankan bebanan ibu bapa yang berada di luar-luar bandar.
"Kita seharusnya menghargai sumbangan besar ini dan mengharapkan KOSAN akan terus kekal menjadi sebuah agensi yang bukan sahaja membantu meringankan bebanan rakyat tetapi pada masa sama dapat pula memberikan pekerjaan kepada rakyat terutama sekali kepada peduduk yang berada di kawasan Papar," kata Rosnah.
Beliau berkata rakyat di negeri ini perlu bersyukur bukan sahaja kerana suasananya yang harmoni kerana semua penduduk berbilang kaum dapat meraikan pelbagai perayaan bersama; termasuklah hari raya aidilfitri, akan tetapi rakyat juga bertuah kerana memiliki negara yang begitu kukuh dalam menjayakan dasar-dasar negara yang bertepatan pada masa dan ketikanya.
KENANGAN….Datuk Rosnah turut sudi mengabdikan kenangan bersama Ahli dan Kakitangan Kosan.
Sementara itu, seorang Ahli Lembaga Pengarah KOSAN; Haji Ghulabdin Enjih menyifatkan suasana Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang kebetulan diadakan bertepatan dengan sambutan Hari Kemerdekaan menunjukkan perjuangan bersama antara pemimpin dan rakyat itu sewajarnya seiring bersama untuk mengekalkan keharmonian dan keamanan sejagat.
"Sebenarnya kesudian Datuk Rosnah selaku pemimpin muda di negara ini untuk menghadiri majlis hari raya KOSAN Papar pada tahun ini sebagai tanda bahawa perjuangannya akan dapat mengukuhkan ikatan silaturahim antara rakyat dan pemimpin di kawasan yang diwakilinya dan sewajarnya tradisi seperti ini akan dilakukan secara berterusan oleh pemimpin berkenaan secara berterusan pada masa-masa yang akan datang," kata Ghulabdin yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB).
Terdahulu para tetamu dan pengunjung rumah terbuka KOSAN di Papar menyertai majlis jamuan yang telah disediakan oleh penganjur termasuklah dapat memenangi beberapa hadiah menarik dalam cabutan tiket bertuah.
Di akhir majlis itu Rosnah juga telah berkenaan menyampaikan penghargaan dan sijil-sijil kepada kakitangan KOSAN yang telah terpilih sebagai pekerja cemerlang pada tahun ini dan penyampaian hadiah penghargaan kepada bekas kakitangan KOSAN Papar yang telah bersara.
No comments:
Post a Comment