KERAJAAN Sabah akan melindungi kepentingannya dalam cadangan menjual tiga buah pulau di perairan negeri ini kepada orang asing menerusi iklan internet.
Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur negeri Datuk Osman Jamal berkata kerajaan negeri sememangnya mengetahui iklan penjualan tiga pulau berkenaan iaitu Mengalum, Pandanan dan Montukod; tetapi tidak boleh menghalangnya kerana pulau-pulau berkenaan milik persendirian.
"Bagaimanapun pemilik pulau mesti terlebih dahulu mendapat kelulusan Pemungut Hasil Tanah sebelum boleh menjual tanah mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan Hari Raya anjuran Bahagian Akhbar dan Penerbitan Jabatan Ketua Menteri di Wisma Innoprise di sini, Rabu.
Osman diminta mengulas iklan yang dikatakan untuk menjual pulau-pulau tersebut menerusi pusat pasaran talian terus yang berpangkalan di Toronto, Kanada.
Sebuah akhbar tempatan semalam dipetik melaporkan bahawa ketiga-tiga pulau terbabit, pertama Mengalum terletak di luar pantai Kota Kinabalu seluas 101 hektar ditawarkan pada harga US$18 juta, Pandanan dekat Semporna (empat hektar) US$2 juta dan Montukod, kira-kira satu kilometer di luar Kinarut (kira-kira tujuh hektar) dengan harga US$11.266 juta.
Osman berkata pulau Mengalum dimiliki sebuah syarikat dengan hak milik pajakan negara (CL), Montukod hak milik pajakan negara dan peribumi manakala Pandanan diberi secara hak milik CL.
Katanya, kedua-dua pulau Montukod dan Pandanan adalah milik individu persendirian. (BERNAMA)
No comments:
Post a Comment