WAWANCARA....Hj Awang sedang ditemubual oleh Wartawan Kanan Sabahkini.Net mengenai maksiat berlatar belakangkan Taman Chong Thian Vun.
Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto: SAFFIE S JUMADI
KEGAGALAN mahupun kurangnya bertanggungjawab Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dalam membanteras gejala maksiat di kalangan remaja lelaki dan perempuan di daerah Sandakan menjadi punca berlakunya peningkatan seks rambang di kalangan remaja.
Lima tempat yang disebut sebagai taman peranginan tempat orang bersantai dan beriadah pada hujung minggu telah dikenal pasti sebagai sarang maksiat di kalangan anak-anak remaja yang berusia lingkungan 17 tahun yang melakukan zina atau melakukan seks rambang dengan pasangan masing-masing di kawasan terbuka.
Antaranya ialah Taman Rimba, Taman Indah Jaya, Taman Grand View, Tangga Seribu dan tempat-tempat yang disebutkan ini hanya disebelah malam saja tempat mereka melakukan seks dengan pasangan masing-masing dan sementara di Taman Chong Thien Vun di Bukit Bendera (Trig Hill) ia di sebelah siang saja yang membabitkan para pelajar sekolah menengah.
Walaupun ramai pihak sudah memaklumkan kepada pihak JHEAINS, sama ada secara bertulis mahupun melalui aduan lisan, tetapi tiada reaksi dan tindakan yang dijalankan oleh JHEAINS untuk langkah pencegahan sehingga akhirnya gejala maksiat di kalangan remaja semakin kronik dan membimbangkan.
Naib Ketua USIA Bahagian Sandakan, Hj Awang @ Omar Japar berkata demikian kepada wartawan Sabahkini.Net kelmarin ketika diminta pandangannya mengenai gejala maksiat yang membabitkan 90 peratus golongan remaja di daerah ini.
Katanya, kita tidak nampak golongan remaja bukan Islam kerana mereka membuat maksiat dengan pasangan masing-masing dengan menyewa hotel-hotel berhampiran; berbanding dengan gadis-gadis dan lelaki Islam yang terlalu terdedah melakukan maksiat tanpa segan silu di hadapan orang ramai.
“Bagi mereka, khususnya di kalangan remaja yang memang sudah ketagihan seks dengan pasangan-pasangan mereka, bukan setakat tidak takut dosa, malahan sudah tiada kehormatan terhadap harga diri mereka sendiri,” kata Haji Awang yang jengkel kerana remaja mencampakkan maruah ibubapa mereka ke longkang.
Yang menghairankan kata Haji Awang, kenapa ibubapa mereka terlalu membiarkan anak-anak perempuan mereka bergaul bebas dan mengekori teman lelaki ke mana sahaja; ada kalanya tidak pulang semalaman.
“Sedangkan ibu ayampun risau jika anaknya tidak pulang pada waktu malam, tetapi entahlah apa yang terjadi kepada bangsa kita kerana mereka langsung tidak memperdulikan anak mereka berpeleseran semalaman. Nanti kalau sudah hamil, baru menggelabah; lantas bayi yang tidak berdosa dihumban ke tong sampah,” jelas Haji Awang lagi.
Ekoran daripada tindakan remaja yang tidak bermoral yang terbabit melakukan seks (zina) rambang dengan kekasih masing-masing, maka kegiatan membuang bayi di merata tempat dan pengguguran haram semakin menjadi-jadi.
“Semuanya terpulang kepada ibubapa dan anak-anak perempuan mereka yang membuat keputusan untuk memperbaiki akhlak mereka agar tidak dijadikan bahan cemohon dan cacian oleh masyarakat sekeliling,” kata Haji Awang.
Mengenai peranan USIA yang merupakan Badan Dakwah Islamiah di Sabah, Haji Awang mengakui pihaknya tiada kuasa untuk menangkap remaja yang terlibat dengan kancah maksiat ini kerana ia terletak di bawah bidang kuasa mutlak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Neri Sabah (JHEAINS).
“Tetapi kita sedia membantu ketika operasi maksiat kerana kita mempunyai mekanisme dan logistik yang mencukupi,” kata Haji Awang yang mendesak pemimpin kerajaan turut memainkan peranan terutama memastikan semua kawasan taman dipasang lampu dan CCTV untuk mengelak remaja melakukan maksiat dan jenayah.
No comments:
Post a Comment