Monday, 31 October 2011

AHLI PARLIMEN GESA SPRM SIASAT AHLI POLITIK UPAHAN



Oleh : MUTALIB M.D & SHAIMON JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

AHLI Parlimen Malaysia (Tenom) Datuk Raimi Unggi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan rapi terhadap ‘Ahli Politik Upahan Menteri’ yang hidup mewah melebihi kemampuan; sering menjadi anarkis dan menimbulkan hura-hara melalui kenyataan liar dan membelakangkan prinsip Barisan Nasional.

“Setiap kali mereka membuat kenyataan liar, terutama memperlekehkan kepimpinan Perdana Menteri dan mengutuk Ketua Menteri Sabah, mereka mendapat laba berupa projek ratusan juta ringgit. Kita hairan kenapa penentang kepimpinan BN hidup mewah dengan hanya menjaja cerita bohong dan tidak berasas mereka,” kata Raimi yang menyifatkan tokoh politik berkenaan sebagai ‘Pelacur Poilitik’ yang menggunakan kedudukan mereka untuk mendapatkan kekayaan peribadi.

Kata Raimi, jika mereka menentang kepimpinan Perdana Menteri atau Ketua Menteri Sabah, bermakna mereka menentang Kerajaan BN kerana kedua tokoh Legenda (PM dan KM) ini telah mendapat mandat rakyat dan BN.

“Apa jasa Datuk Chin Su Phin dan Nancy Lim Eng Guan terhadap rakyat dan negeri Sabah sehingga sanggup menjadi upahan menteri tertentu memalukan Perdana Menteri dan menafikan kepimpinan Ketua Menteri Sabah?” tanya Raimi yang kesal dengan tindakan kedua ahli politik upahan ini yang sanggup menggadai maruah parti mereka untuk kepentingan diri mereka sendiri; sedangkan dalam masa yang sama mereka mendakwa menyayangi dan setia kepada BN.

Dalam hal ini, kata Raimi, kedua tokoh upahan ini tidak perlu menjadi ‘burung kakak tua’ kepada menteri tertentu, sebaliknya membuktikan kemampuan mereka membangunkan Sabah sebagaimana yang dibuktikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman.

“Siapa dapat menafikan kewibawaan dan kredibiliti Ketua Menteri sekarang yang berjaya mengukuhkan ekonomi Sabah sehingga mendapat rating AAA, tidak sampai tujuh tahun memerintah Sabah, sedangkan Kerajaan Persekutuan yang sudah berusia 54 tahun masih pada rating A-?” tanya Raimi lagi yang menggesa agar kedua ‘burung kakak tua’ tersebut berdiam diri.

Raimi menegaskan, sehingga ke hari ini, tidak ada pihak berkuasa yang dapat membuktikan Ketua Menteri Sabah terlibat dalam Kes Hong Kong sebagaimana yang didakwa oleh pemimpin LDP termasuk Ketua Pergerakan Wanita LDP, Nancy Lim Eng Guan ketika berucap di Kongres Wanita LDP di Dewan SM Yu Yuan, Sandakan, baru-baru ini.

Tindakan ahli Perniagaan Sabah, Michael Chia Tien Foh yang melibatkan Ketua Menteri Sabah dalam Skandal Penggubahan Wang Haram di Hong Kong, kata Raimi, adalah tindakan untuk menyelamatkan diri kerana sebenarnya kes tersebut tidak ada kena mengena dengan Ketua Menteri atau Kerajaan BN atau UMNO sebagaimana berita yang dicanang banyak pihak.

Dalam pada itu, dalam ucapannya di persidangan berkenaan, Nancy turut mencabar Presiden Parti GERAKAN, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon supaya berundur sahaja daripada arena politik kerana beliau dan partinya langsung tidak mempunyai kekuatan lagi untuk meneruskan perjuangannya untuk membela nasib rakyat negara ini.

Kata Nancy, Parti Gerakan adalah sebuah parti yang lemah dan telah hilang pengaruh, terutama sekali di Pulau Pinang dan masyarakat Cina langsung sudah hilang keyakinan sepenunya terhadap parti GERAKAN.

“Jadi janganlah GERAKAN terlalu berangan-angan tinggi mahu bertanding di Sabah pada pilihanraya umum ke 13 nanti, sayang sahaja kerusi Barisan Nasional (BN) jatuh ke tangan parti pembangkang,” kata Nancy yang menyifatkan GERAKAN sebagai pengacau BN di Sabah.

Selain itu, dalam ucapan selama hampir 25 minit itu, Nancy suara lantang membidas Ketua Menteri Sabah sebagai kurang bertanggungjawab dalam pentadbirannya, terutama sekali mengenai prasarana seperti kerosakan jalan raya di Kota Kinabalu yang tidak disenggelarakan; lampu-lampu jalan raya malap atau tidak menyala; meningkatnya kes ragut dan rompakan bermotosikal.

“Saya juga ingin dedahkan di sini bahawa Ketua Menteri Sabah kini sedang menghadapi kes rasuah dan penyalahgunaan kuasanya di samping mempunyai rangkaian dengan kes di Hong Kong yang melindungi seorang ahli perniagaan dari Sabah, Michael Chia yang memiliki sejumlah besar wang tunai $16 juta dollar Singapura ketika mahu meninggalkan Hong Kong, tapi ditahan oleh pihak berkuasa. Kes ini telah tersebar luas sehingga tersiar juga di internet,” kata Nancy di hadapan lebih 500 ahli LDP yang menghadiri Perhimpunan Perwakilan Pergerakan Wanita LDP.

Sebelum ini, Chin Su Phin turut membidas kepimpinan Najib dan Musa, anehnya Chin dilantik sebagai Senator dan terus menikmati ratusan juta projek daripada pelbagai kementerian terutamanya Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

No comments:

Post a Comment