Monday, 5 December 2011

BAI’AH, BUKTI UMNO TIDAK YAKIN AHLI SENDIRI



PEMIMPIN-PEMIMPIN PAS menyifatkan Umno sudah tidak yakin dengan ahli-ahlinya sendiri apabila sanggup mengambil sumpah bai’ah yang menurut mereka bertujuan mengelakkan tindakan khianat dan sabotaj oleh ahli-ahli sendiri.

Selain mereka juga mendakwa Umno kini meniru kaedah-kaedah digunakan PAS tetapi dikritik oleh parti teras Barisan Nasional (BN) itu masa-masa lalu.

Malam kelmarin, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menyifatkan partinya mencipta sejarah dengan melafazkan ikrar yang merupakan beliau adalah satu bai’ah bagi memperkukuhkan kedudukannya menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Saya fikir Umno sudah tidak percaya dengan ahli-ahlinya sendiri,” kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Oleh kerana mereka sudah hilang keyakinan ke atas ahli-ahli sendiri, maka mereka terpaksa meniru apa yang dilakukan oleh PAS,” kata beliau lagi.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Kubang Kerian ini menambah, ahli-ahli PAS setia bukan hanya semata-mata kerana sumpah bai’ah, tetapi telah dilatih untuk memberi sokongan kepada perjuangan parti.

“Saya sendiri, selama 30 tahun bersama dengan PAS, bukan kerana bai’ah itu sendiri, tetapi kami setia kerana kerelaan dan keikhlasan kami kepada kepada parti.

“Sumpah bai’ah ini, ada atau tidak ada, jika seseorang nampak duit berjuta-juta di depan mata mereka, mereka tetap akan keluar, tetapi yang penting keikhlasan kepada perjuangan parti,” kata beliau sambil menambah, dalam PAS pejuangan setiap ahli adalah antara tanggungjawab ketika berada di ‘dunia dan akhirat’.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Baling Datuk Taib Azamuddin Md. Taib pula berkata, Umno yang sebelum ini mengecam amalan PAS mengadakan sumpah bai’ah bagi mengelakkan ahlinya lompat parti akhirnya terpaksa meniru cara tersebut.

“Kalau ini (sumpah bai’ah) lahir daripada hati dan keikhlasan orang Umno, ini menunjukkan apa yang dilakukan PAS selama ini yang dipandang serong oleh Umno telah diakui kebenarannya,” kata bekas timbalan pesuruhjaya PAS Kedah ini.

Katanya, “usia Umno yang sudah terlalu lama menunjukkan ia sudah jauh ketinggalan.”

“Hakikat sebenarnya ialah apa yang dilakukan oleh Umno itu sebenarnya mengakui pendekatan PAS.

“Oleh itu, daripada dia meniru (PAS) baik dia menyertai PAS terus,” kata beliau dipetik Harakahdaily.

Ketika perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno semalam, perwakilan Umno Terengganu, Komaruldin Omar mencadangkan diadakan sumpah bai’ah dengan merujuk kepada tindakan PAS dan dipersetujui para perwakilan yang lain.

Taib yang juga Bekas Imam Besar Masjid Negara bagaimanapun berkata, sumpah bai’ah hanya terpakai untuk perkara bertujuan kebaikan dan kebenaran, bukan untuk tujuan kebatilan.

Tegas beliau, Umno sebagai parti yang tidak meletakkan Islam sebagai dasar tidak wajar mengadakan sumpah bai’ah.

“Bai’ah boleh berlaku di atas sesuatu perkara untuk tujuan kebenaran. Kalau bai’ah untuk tujuan kebatilan, bai’ah itu menjadi satu kemungkaran dan tidak termasuk dalam erti kata bai’ah yang sebenar.

“Jadi kalau Umno masih tidak meletakkan Islam sebagai dasar, maka bai’ah itu tidak ada gunanya. Jadi tak perlulah orang Islam tertipu dan terpedaya dengan keadaan ini,” katanya.

Tambahnya, tindakan Umno itu juga menunjukkan parti itu sudah berada dalam keadaan lemah dan terpaksa menggunakan apa sahaja cara untuk dijadikan ‘tongkat’ bagi meneruskan pemerintahannya.

No comments:

Post a Comment