Oleh : JJ TENOM
KEJADIAN seorang kakitangan wanita Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tenom menengking, membebel dan membuli petani berlaku pada jam 9.30 pagi, 14 Disember lalu, ketika seorang ahli keluarga petani datang ke pejabat tersebut untuk menuntut subsidi baja padi.
“Kau tau kah, ini hujung tahun sudah, kami kena audit, patut Oktober lagi itu baja sudah kena ambil,” kata kakitangan wanita berumur kira-kira akhir 40-an itu menengking lalu membebel dan menunjukkan borang berkaitan dengan meninggikan suara serta membulatkan secara kasar perkataan ‘Oktober’ pada borang itu sebagai menunjukkan keterlambatan pengambilan baja berkenaan.
“Duduk sana!,” kata kakitangan perkeranian itu lagi menunjukkan satu kerusi dengan nada membuli menyuruh keluarga petani itu duduk.
Sabahkini.net menerima aduan tersebut dari seorang pengadu, lelaki berumur 38 tahun, yang juga Setiausaha Unit Peladang di kampungnya. Pengadu itu datang ke pejabat PPK Tenom bersama seorang pekerja untuk mengangkut baja yang diperuntukkan kepada keluarganya.
“Saya berpenampilan petani dengan berseluar pendek dan bertopi bersama seorang pekerja datang bertanya baik-baik mengenai baja yang belum diambil, tapi mendapat layanan yang sungguh tidak beretika,” kata pengadu yang juga seorang Guru Penolong Kanan sebuah sekolah menengah berprestasi di Tenom.
Guru Penolong Kanan itu berkelulusan Master Pengurusan Pendidikan (M.Ed) dari Kuala Lumpur dan menjawat jawatan Gred DG44.
Dengan rasa bingung berhadapan sikap kakitangan perkeranian itu, tiba-tiba muncul seorang buruh setor dan menyapa pengadu kerana kebetulan mereka saling mengenal. Buruh itu menyatakan tiada masalah dan boleh mengambil baja berkenaan ketika itu juga.
Urusan pengambilan baja selesai atas kebijaksanaan buruh berkenaan tanpa melibatkan kapasiti kakitangan perkeranian yang tadinya menengking, membebel dan membuli. Difahamkan kakitangan wanita itu pernah merakamkan suara menyanyikan lagu-lagu tempatan.
“Sekiranya perangai berintegriti rendah kakitangan perkeranian PPK Tenom boleh berlaku kepada saya, bayangkan berapa lagi petani yang mungkin telah dan bakal menerima layanan seperti yang telah saya terima?,” ujar pengadu.
Justeru pengadu berharap pengurusan PPK Tenom dapat memantau perilaku kejadian berkenaan bagi mengekalkan kredibiliti baik PPK kepada ahli-ahli peladang.
No comments:
Post a Comment