Oleh : AZMAN ARIFFIN
MALAM ini, hari ini, waktu ini, PAS terpaksa ‘membayar’ harga yang mahal kerana lambat mengambil tindakan ke atas Datuk Dr. Hasan Ali berhubung pelbagai tindakannya yang berlawanan dengan dasar parti tersebut dan Pakatan Rakyat secara amnya.
Tidak cukup dengan beberapa kenyataan terbuka kepada media sebelum ini yang mengkritik dasar dan kepimpinan PAS, Hasan Ali petang tadi mengadakan satu lagi sidang media di kediamannya dan membacakan kenyataan 3 mukasuratnya yang penuh dengan kecaman terhadap dasar PAS dan beberapa orang pemimpin kanannya.
Peluang terhidang ini terbukti tidak mungkin dilepaskan media-media pro UMNO seperti TV3 dan Utusan Malaysia. Malah, penulis dimaklumkan Utusan Malaysia telah menyediakan ruang penuh muka depan semata-mata bercakap tentang sidang media Hasan Ali petang tadi.
Penulis kurang peduli kalau Hasan Ali menggunakan kesempatan dalam sidang media tersebut untuk mempertahankan diri dari pelbagai tuduhan yang dikenakan ke atasnya sebelum ini, antaranya menjadi talam dua muka kepada parti UMNO.
Tapi penulis tidak boleh menerima bila Hasan Ali secara bersendirian mengisytiharkan PAS sudah tergelincir dari perjuangan asalnya kerana memperjuangkan Negara Berkebajikan daripada Negara Islam.
Setakat mana yang penulis difahamkan, Negara Kebajikan adalah tahap perjuangan baru PAS yang telah diputus dan dipersetujui di peringkat Muktamar parti Jun lepas. Justeru kenapa pula sekarang Hasan Ali berkata itu (Negara Kebajikan) adalah satu kesilapan dan kerananya PAS sudah tergelincir dari perjuangan asal?
Siapa Hasan Ali untuk mengatasi ketetapan muktamar dan jauh lebih penting, siapa Hasan Ali dibanding Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Mursyidul Am untuk mengatakan PAS tergelincir dari perjuangan?
Hasan Ali tidak layak untuk berkata demikian kerana dia bukan sebahagian daripada Majlis Syura Ulama yang merupakan badan tertinggi PAS selepas Mursyidul Am dan Muktamar parti.
Hanya Mursyidul Am dan Majlis Syura Ulama pimpinannya yang mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada perjuangan PAS sudah tergelincir atau tidak dan mengambil tindakan yang sewajarnya, bukan Hasan Ali. Ini dijelaskan dalam Fasal 7 dan 9 Perlembagaan PAS
Memperjuangkan negara Kebajikan, tidak langsung bermaksud menolak Islam. Melainkan hudud dan perkataan negara Islam itu sendiri, PAS bebas untuk memperjuangkan apa jua amalan Islam yang difikirkanya tidak wujud dalam sistem sekarang, jika ditakdirkan Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan nanti.
PKR dan DAP sebagai sebahagian dari komponen Pakatan Rakyat tidak akan menghalang dan kalau tidak salah penulis, perkara ini sudah berulang kali dijelaskan.
Itulah penulis katakan, bila laman ini mengambil ketetapan untuk mencadangkan penyingkiran Hasan Ali, ramai yang menganggap kami sebagai mengapi-apikan kedua pihak yang terlibat.
Ini bukan masalah mengapikan sesiapa, tetapi penulis melihat sudut pandang yang lebih besar dan terbukti apa yang berlaku hari ini adalah kebimbangan yang penulis cuba elakkan sejak mula bercakap tentang hal ini.
Penulis pasti satu perkara, para pendukung UMNO sedang bersorak gembira melihat Hasan Ali sebagai seorang tokoh dalam PAS diberi ruang yang seluas-luasnya oleh media pro UMNO untuk memburukkan parti tersebut.
Jasa PAS meletakkan Hasan Ali ke kedudukannya sekarang sejak 11 tahun lepas, ibarat debu hama yang tidak memberi apa-apa makna.
Malam ini jam 11, sorakan mereka akan tambah bergema kerana Hasan Ali diperuntukkan slot khas oleh TV3 untuk ‘membongkarkan’ segala keburukan PAS kepada dunia dalam satu rancangan bual bicara.
Dengan ’menjaja’ keburukan PAS kepada media pro UMNO ini, penulis tidak melihat maksud lain, selain Hasan Ali bersedia malah sudah pun mula membakar jambatan dengan PAS.
Menurut sumber penulis di ibu pejabat PAS Jalan Raja Laut, kepimpinan PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat khas malam ini untuk membincangkan masalah Hasan Ali. Walaupun kelihatan agak terlewat tapi itu lebih baik dari tidak ada langsung, bak kata pepatah ’Better Than Never’.
Walaupun menyerahkan kepada kebijaksanaan pimpinan PAS untuk menentukan kedudukan Hasan Ali, tapi demi kelangsungan PAS dan Pakatan Rakyat secara keseluruhannya, penulis mengharapkan satu keputusan dan satu keputusan sahaja; Hasan Ali disingkirkan terus dari PAS.
No comments:
Post a Comment