Sunday, 1 January 2012

PETRONAS AKTIF PADA TAHUN ARNAB DI SABAH



Oleh : NEWMOND TIBIN

2011, atau Tahun Arnab pada kalender Cina yang melambangkan nasib yang bertuah, muncul sebagai tahun aktif bagi Petronas yang meningkatkan kehadirannya di Sabah.

Petronas telah mengumumkan pelaburan dan komitmen bagi melakukan perbelanjaan modal sebanyak RM45 bilion pada tahun ini bagi melaksanakan pelan terperinci minyak dan gas bagi Sabah, dengan melaksanakan beberapa projek huluan dan hiliran untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Pada 4 Ogos lepas, Pengurus Besar Petronas Wilayah Sabah dan Labuan Joseph Podtung berkata sesetengah projek itu telah bermula manakala yang lain dijangka dimulakan tidak lama lagi.

Beliau yakin projek jangka panjang itu dan bermodal besar serta menambah nilai sumber petroleum negeri itu akan menghasilkan perolehan lebih besar bagi negeri itu, selain perolehan dari royalti dan projek berkenaan akan menjadi pemangkin bagi pertumbuhan ekonomi sambil menyediakan pelbagai limpahan bagi manfaat sosio-ekonomi negeri itu.

Projek utama di bawah pelan itu, kata Podtung ialah Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) yang bernilai RM3.8 bilion, loji kuasa menggunakan arang batu 300MW bernilai RM1.5 bilion di Kimanis, kilang baja bernilai RM4.6 bilion di Sipitang dan Terminal Pembotolan Semula Gas Asli Cecair (LNG) di Lahad Datu bagi dijadikan bahan api cadangan loji kuasa 300MW yang baharu di kawasan itu. Terminal dan loji kuasa itu dijangka menelan belanja RM2.2 bilion.

Pengumuman itu mendapat reaksi positif semua pihak, walau pun ada yang berpendapat langkah Petronas di Sabah itu boleh ditambah baik lagi.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, yang juga Menteri Kewangan Negeri, sambil mengucapkan terima kasih kepada Petronas, telah memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memberikan sokongan dan bantuan untuk membantu memudahkan aktiviti berkaitan Petronas di Sabah.

Sebagai contoh, katanya Projek Kilang Loji Ammionia-Urea Sabah (Samur) milik Petronas Chemicals Group Bhd di Sipitang dijangka memberikan kontrak bernilai RM600 juta kepada syarikat dari Sabah di dalam pelaksanaan projek itu.

"Ini juga melambangkan kesungguhan Petronas menyediakan rakyat Malaysia di Sabah peluang untuk menjadi pemain di dalam perniagaan minyak dan gas," katanya.

Pada November, bekas yang Dipertua Negeri Tun Ahmadshah Abdullah berkata pelaburan Petronas itu akan memberikan impak yang besar terhadap ekonomi negeri itu yang boleh dibanggakan oleh rakyat Sabah. Projek mega itu dijangka siap pada 2013.

Penemuan beberapa telaga minyak di luar pesisir Sabah dijangka membantu menjana ekonomi negeri itu dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat Sabah, katanya, sambil menyatakan sektor minyak dan gas serta tenaga negara dijangka memerlukan sekitar 21,000 pekerja sangat mahir menjelang 2020.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bongawan Datuk Karim Bujang yang mengulas mengenai pengumuman itu pula berkata Petronas telah banyak berbudi kepada rakyat dan negeri Sabah.

Karim berkata beliau menyokong keputusan Speaker Dewan Negeri menolak usul pada persidangan Dewan Undangan Negeri awal tahun lepas oleh Adun Luyang dari Parti Maju Sabah (SAPP) Melanie Chia yang mengusulkan kerajaan negeri menyemak semula perjanjian royalti petroleum dari 5.0 peratus kepada 20 peratus.

"Saya percaya manfaat dari limpahan projek berkenaan lebih dari royalti yang diminta di dalam usul itu," kata Karim.

Sehingga Ogos tahun lepas, Petronas telah melabur RM61 billion di dalam aktiviti huluan dan hiliran di dalam sektor petroleum Sabah, yang sekaligus memberi sumbangan yang besar pada pembangunan negeri itu.

Tahun lepas, Petronas menemui minyak di luar pesisir Sabah, yang mengikut anggaran awal mempunyai rezab 227 juta tong minyak bersamaan (boe) dan ujian di tiga takungan yang berbeza menunjukkan kadar pengeluaran maksimum 8,200 tong sehari (bpd).

Persatuan Kontraktor Minyak dan Gas Sabah (SOGCA), yang turut mengulas, berkata industri minyak dan gas Sabah telah mendapat suntikan jangka panjang berikutan pelan Petronas membuat pelaburan berkenaan di Sabah.

Pada Forum Minyak dan Gas Sabah pada 4 Nov, Presidennya, Datuk Iskandar Malik telah melahirkan penghargaannya kepada Petronas kerana melaksanakan projek itu di Sabah, yang memberikan manfaat kepada rakyat sabah khususnya dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Presiden Pekilang-Pekilang Sabah Datuk Wong Ken Thau berkata industri itu dijangka meningkatkan sumbangan sektor pengeluaran terhadap keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Sabah bagi tempoh lima tahun akan datang.

Wong menjangka Petronas akan memainkan peranan penting mencapai hasrat yang diingini di Sabah.

Petronas juga dilaporkan memberi keutamaan kepada rakyat tempatan di segi peluang perniagaan, terutama sekali dalam pengendalian stesen minyak Petronas.

Bekas peniaga stesen minyak Petronas yang beralih menjadi ahli politik, Jahid Jahim berkata kesemua stesen minyak Petronas di Sabah adalah 100 peratus milik orang tempatan.

Jahid, yang kini Menteri Muda Belia dan Sukan, berkata ini menunjukkan komitmen dan keseriusan Petronas untuk membantu dan memupuk rakyat Sabah untuk berjaya dalam perniagaan stesen minyak dan projek tanggung jawab sosial korporat (CSR) dan peranan Petronas dalam pusat latihan di Kimanis di dalam pengeluaran pekerja mahir, terutama bagi sektor minyak dan gas.

Bagi memenuhi keperluan melahirkan tenaga kerja pakar di dalam industri minyak dan gas, Petronas turut menjalin perjanjian dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada awal tahun lepas bagi melaksanakan kursus ijazah Sarjana yang berkaitan.

No comments:

Post a Comment