Oleh : NG CHE YEAN
BEIJING: Apabila Guo Yuyu, pelajar Xi'an Foreign
Language University, mendapat tahu adanya pinjaman pelajaran yang diberi
subsidi oleh kerajaan daripada gurunya, dia segera memohon pinjaman itu secara
dalam talian.
Peminjam di bawah Skim
Pinjaman Pelajar Berasaskan Tempat Asal ini berkata kemudahan itu membantu
meringankan beban kewangan ibu bapanya, di samping membiayai kos sara hidup
bagi setiap semesternya.
Bagi Li Qin, pelajar di
Shanghai East China Normal University pula, Pinjaman Pelajaran Berasaskan
Kampus membantunya menamatkan pengajian tanpa perlu bergantung kepada ibu bapa.
"Saya memohon pinjaman
pelajaran kerana mahu berdikari. Saya tidak langsung menggunakan wang ibu bapa
saya sejak semester dua di kolej.
"Pinjaman yang diambil
mengingatkan saya supaya berdikari. Saya berusaha menjimatkan wang yang saya
dapat untuk membayar balik pinjaman dengan secepat mungkin selepas tamat
pengajian. Ini kerana, lebih lama saya ambil masa untuk menyelesaikan pinjaman,
lebih banyak faedah yang perlu saya bayar," kata Li, yang melunaskan semua
pinjaman pelajarannya setahun selepas tamat pengajian.
Seperti kebanyakan pelajar
universiti di Shanghai yang memohon pinjaman pelajaran kerajaan, Li, yang
berasal dari kawasan luar bandar di Wilayah Hubei, adalah antara bukan pelajar
tempatan yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.
Guo dan Li hanyalah dua
contoh pelajar China yang menyedari tentang nilai pelajaran tinggi dan
tanggungjawab yang dipikul daripada pinjaman pelajaran yang mereka ambil.
Apabila mereka berjaya dalam
peperiksaan kemasukan ke institusi pengajian tinggi yang begitu hebat daya
saingnya, mereka akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan mereka tidak
tercicir daripada pengajian kerana menyedari bahawa kehidupan mereka akan
bertambah baik setelah tamat pengajian kelak. Oleh itu, mereka tidak berasa
menjadi suatu bebanan untuk mengambil pinjaman pelajaran dan membayar balik
pinjaman itu setelah tamat pengajian.
Kerajaan China komited dalam
memastikan semua pelajar yang berkelayakan, terutama daripada keluarga
berpendapatan rendah, menyempurnakan pendidikan tinggi masing-masing, kata
Zhang Guangming, Pengarah Pusat Nasional China bagi Pentadbiran Bantuan Pelajar
di bawah Kementerian Pelajaran.
Kerajaan memikul
tanggungjawab besar untuk mencapai matlamat itu di negara sebesar China yang
mempunyai 1.3 bilion penduduk.
China mempunyai kira-kira 22
juta pelajar universiti, 25 peratus daripada mereka berasal daripada keluarga
yang sangat miskin.
Zhang berkata kerajaan
melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu pelajar miskin, termasuk menyediakan
bantuan kewangan seperti biasiswa berasaskan merit, subsidi, geran dan pinjaman
pelajaran bersubsidi oleh kerajaan untuk memastikan tiada sesiapa yang
ketinggalan.
"Kami hanya menawarkan
pinjaman pelajaran yang disubsidi kerajaan kepada pelajar miskin, manakala
pelajar yang tidak dibelenggu kemiskinan boleh memohon pinjaman gadai janji
daripada bank komersial sekiranya mereka memerlukan pinjaman.
"Yuran tuisyen standard
universiti awam mampu dibayar oleh keluarga berpendapatan sederhana kerana
jumlah minimumnya ialah 3,000 yuan (RM1,448) di kebanyakan universiti dan
kira-kira 5,000 yuan (RM2,414) atau 6,000 yuan (RM2,896) di universiti di
bandar besar," kata Zhang.
Setiap pelajar boleh
meminjam hingga 6,000 yuan (RM2,896) setahun dan kerajaan akan membantu mereka
membayar faedah bagi tempoh empat tahun semasa di kolej.
Peminjam mula membayar balik
pinjaman dan faedah selepas tamat pengajian dan mereka perlu menjelaskan semua
bayaran balik dalam tempoh 10 tahun. Bagaimanapun, peminjam boleh memohon
penangguhan sebanyak dua kali sekiranya belum mendapat pekerjaan dua tahun
selepas tamat pengajian.
Terdapat dua jenis utama
pinjaman pelajaran bersubsidi oleh kerajaan - Pinjaman Pelajaran Berasaskan
Tempat Asal Pelajar, yang dikendalikan pihak berkuasa pendidikan tempatan dan
oleh bank yang ditauliahkan bagi tempat asal pelajar serta Pinjaman Pelajaran
Berasaskan kampus, yang dikendalikan kampus sekolah dan bank bertauliah.
Bagi pelajar yang
menangguhkan pembayaran balik pinjaman atau enggan membayar balik atau
mengharapkan agar pendidikan tinggi perlu diberi percuma, Zhang berkata:
"Ini tidak betul. Jangan ambil mudah kerana pendidikan tinggi bukan
pendidikan wajib. Pelajar yang mendapat pinjaman pelajaran perlu belajar
menjadi manusia yang bertanggungjawab dan membayar balik pinjaman dalam tempoh
yang ditetapkan."
Bagaimanapun, katanya,
kegagalan membayar balik pinjaman jarang berlaku di China kerana pinjaman
pelajaran yang diberi subsidi kerajaan dan dikendalikan bank, cekap dalam
urusan mendapatkan balik pinjaman.
Beliau berkata peminjam juga
tidak mahu menanggung risiko disenaraihitamkan oleh bank atau dikenakan
tindakan muflis.
Untuk menggalakkan institusi
kewangan menawarkan pinjaman pelajaran, sebuah dana pampasan risiko ditubuhkan
bagi membayar ganti rugi kepada mereka yang mengalami kerugian.
Kerajaan juga bekerjasama
dengan bank untuk memberi penerangan tentang kredit dan kewangan kepada pelajar
kolej bagi mencegah penyalahgunaan kredit dan memupuk tanggungjawab mereka
terhadap masyarakat, kata Zhang.
Zhai Guowei, anggota
Jawatankuasa Kerja Pendidikan Majlis Perbandaran Beijing berkata permintaan
terhadap pinjaman pelajaran yang diberi subsidi oleh kerajaan boleh dikatakan
rendah di Beijing berikutan penduduknya yang berpendapatan lebih tinggi serta
wujudnya skim perlindungan sosial yang lebih menyeluruh di ibu negara China
ini.
Pada 2011, hanya 695 pelajar
mengambil Pinjaman Pelajaran Berasaskan Tempat Asal di Beijing. (Bernama)
Sebab mereka ada disiplin. Mentaliti mereka bukan mengharap percuma saja.
ReplyDeletebukan Malaysia saja memberi pinjaman pendidikan, negara lain pun buat mcm tu, pelajarnya tak jg nak buat protes sana sini.
ReplyDeleteKesimpulannya, pinjaman seperti PTPTN memang tidak wajar dihapuskan. Kita lihat di negara lain pun majoriti menggunakan wang pinjaman yang ditawarkan oleh kerajaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
ReplyDeleteIni semua perlulah diselesaikan dengan bijak oleh kerajaan. Memang banyak contoh yang ada tapi perlulah bijak menyelesaikan perkara ini bagi memastikan semua pihak berpuas hati.
ReplyDeleteBagus. Contoh yang baik.
ReplyDeleteperkataan BERDIKARI itu yang penting.. itulah sebabnya pelajar2 di negara luar mampu memperolehi standard yang lebih baik dari pelajar Malaysia..
ReplyDeletejika pelajar2 di Malaysia diberikan pendidikan percuma, adakah mereka akan mempunyai kesungguhan untuk hidup berdikari selepas tamat pengajian?? kalaupun pelajar2 Malaysia mahu pendidikan percuma, bukankah dalam syarat2 pinjaman ada dinyatakan bahawa sekiranya mereka mampu memiliki keputusan kelas pertama, mereka akan dikecualikan dari membayar semula pinjaman??
ReplyDelete