TAWAU : Sabah Electricity
Sdn Bhd (SESB) tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk mengutip wang
pendahuluan bagi tujuan penyambungan bekalan elektrik.
Pengarah Urusan SESB, Ir Abd
Razak Sallim berkata sebarang bayaran pendahuluan untuk tujuan itu (jika ada)
hanya boleh dibuat di kaunter pejabat SESB yang berdekatan dan anggota kerja
SESB tidak dibenarkan menerima pembayaran bagi pihak SESB di luar pejabat.
"Akta Bekalan Elektrik
Malaysia yang diluluskan kerajaan, memperuntuk pemegang lesen untuk mendapatkan
wang cagaran daripada pelanggan bersamaan dengan anggaran dua (2) bulan
penggunaan elektrik. Jumlah ini juga dikira berdasarkan purata penggunaan
elektrik enam (6) bulan terakhir. Pengiraan amaun cagaran dibuat secara automatik
melalui sistem pembilan elektronik SESB," katanya dalam kenyataan di sini
pada Jumaat.
Beliau mengulas laporan
akhbar baru-baru ini yang menyebut ada pihak mengutip wang pendahuluan yang
didakwa bagi tujuan penyambungan bekalan tenaga elektrik.
Menurut Abd Razak pembayaran
wang cagaran menggunakan surat jaminan bank juga boleh dibuat setelah pelanggan
membayar (minimum) RM1,000 daripada keseluruhan wang cagaran secara tunai. (Bernama)
No comments:
Post a Comment