Sunday, 29 July 2012

BENAR SUNGGUH KRITIKAN MAT SABU





Saudara Pengarang,

KIRA-KIRA setahun yang lalu, sewaktu umat Islam di negara kita sedang sibuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (Mat Sabu) pula sedang enak 'dilanyak' oleh media perdana mengenai isu Mat Indera dan komunis.

Mat Sabu menekankan isu lain, tetapi dek kerana manipulasi media pemerintah, rakyat tertumpu kepada isu komunis pula yang kemudiannya menyaksikan perbicaraan mahkamah yang cukup melucukan dan masih berlangsung sehingga sekarang.

Jika diimbas kembali, Mat Sabu mengkritik bagaimana sambutan Hari Kebangsaan 'disabotaj' oleh parti pemerintah seolah-olah Umno dan Barisan Nasional (BN) sahajalah yang berjuang memerdekakan negara.

Walaupun propaganda ini tidak dizahirkan sekurang-kurangnya melalui logo dan tema Hari Kebangsaan, tetapi mesej ini tetap meniti bibir-bibir pak menteri, bagaimana tanpa perjuangan Umno dan BN (dahulunya Parti Perikatan), rakyat negara kita ini masih duduk di atas pokok.

Teguran Mat Sabu ternyata tidak diambil endah oleh parti pemerintah malah makin menjadi-jadi perangainya untuk sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini. Buat julung-julung kalinya, parti pemerintah telah membuat kesilapan hatrick (setakat inilah) dalam menangani isu sambutan Hari Kebangsaan yang ke-55.

Kesilapan pertama bermula dengan pemilihan tema Hari Kebangsaan iaitu "Janji Ditepati". Meskipun kritikan lantang diberikan di atas pemilihan tema yang mirip kempen pilihanraya ini, tapi para pemimpin parti pemerintah tetap tegar mempertahankan tema ini (syok sendiri barangkali?).

Hatta bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir juga meluahkan rasa 'meluat'nya dengan pemilihan tema yang jelas tidak neutral dan "tidak mengalu-alukan" penglibatan semua rakyat termasuklah penyokong parti pembangkang.

Belum selesai kesilapan pertama, kesilapan kedua dilakar pula dengan pemilihan logo Hari Kebangsaan yang begitu hodoh, "selekeh" dan menjadi bahan sendaan rakyat jelata di internet.

Kali ini rakyat di atas pagar juga tertanya-tanya, apa sudah jadi dengan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini? Tema yang syok sendiri dan logo yang menyedihkan tidak cukup untuk memberi pengajaran kepada parti pemerintah.

Diundang pula kesilapan ketiga dengan pemilihan lagu tema Hari Kebangsaan yang selayaknya menjadi lagu tema kempen pilihanraya BN! Liriknya yang 'murah' dan tiada jati diri membuatkan rakyat kebanyakan sekali lagi tertanya-tanya, apa kaitan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan perjuangan Tunku Abdul Rahman memerdekakan negara? (Walaupun sarjana kangkung mengatakan negara tidak pernah dijajah).

Patutkah kita salahkan Tun Abdul Razak kerana di zaman beliau tiada Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) seperti yang di'rap'kan dalam lagu nukilan Rais Yatim itu? Rasanya baru sahaja Perdana Menteri Najib Tun Razak mengingatkan bahawa zaman bodek sudah berlalu, tetapi nampaknya lagu tema Hari Kebangsaan tahun ini adalah manifestasi 'bodek tahap tertinggi' yang dipamerkan oleh Rais Yatim.

Kesilapan-kesilapan hatrick ini tidak mampu untuk dibetulkan lagi. Menteri Penerangan yang sudah begitu veteran sudah tidak mampu memahami bahasa rakyat yang celik maklumat.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Perdana Menteri berjaya dimalukan dengan aksi tempang anak-anak buahnya. Benarlah kritikan Mat Sabu bahawa sambutan Hari Kebangsaan sudah dimonopoli oleh parti pemerintah semahu-mahunya.

Lagu tema pun sudah menjadi lagu manifesto BN. Jika begini gaya Perdana Menteri ingin melangkah ke gelanggang pilihanraya umum ke-13, rasa-rasanya tidak salah jika kita katakan inilah sambutan Hari Kebangsaan terakhir yang dikendalikan oleh Umno dan BN.

Salam Hormat,

ANTI MANIPULASI

No comments:

Post a Comment