KUALA LUMPUR : Ibu Pejabat
Umno telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Datuk Seri Lajim Ukin berkaitan
dengan mengapa beliau tidak boleh dipecat oleh Umno berikutan dengan tindakan
ahli parlimen Beaufort itu mengumumkan meletakkan jawatan dalam Umno dan
Batisan Nasional (BN) Sabtu lalu kata Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor (gambar).
Lajim perlu menjawab surat
tunjuk sebab tersebut dalam tempoh 14 hari bagi dipertimbangkan untuk tindakan
seterusnya sebagaimana tertakluk dalam Perlembagaan Umno, katanya.
“Umno memandang serius apa
yang dilakukan oleh YB Datuk Seri Panglima Haji Lajim Bin Ukin khususnya dalam
pengisytiharan gerakan ‘Pakatan Perubahan Sabah’ (PPS) selain hubungan akrab
dengan pakatan pembangkang yang seolah-olah mempersenda kepimpinan dalam Umno,”
kata Tengku Adnan seperti yang dilapor oleh web portal Umno Online.
Di dalam perlembagaan Umno
Fasal 20.8 menetapkan bahawa semua ahlinya hendaklah cintakan parti serta patuh
kepada Perlembagaan dan Tataetika Ahli selain sentiasa memelihara nama baik dan
maruah parti kata ahli parlimen Putrayajaya itu.
“Apa yang berlaku ini adalah
isu dalaman yang bersifat peribadi membabitkan Lajim dan orang-orang tertentu
dalam kancah politik negeri maka ia tidak sewajarnya dikaitkan dengan parti
yang telah banyak berjasa kepada negara dan rakyat keseluruhannya,” tegas
beliau.
Lajim Sabtu lalu, telah
mengumumkan peletakan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno
Bahagian Beaufort dan pengerusi BN Beaufort berkuatkuasa serta merta Sabtu
lalu.
Lajim membuat pengumuman di
kediamannya di Likas Jaya. Bagaimanapun, Lajim masih kekal sebagai Timbalan
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta ahli Umno.
No comments:
Post a Comment