SETIAUSAHA Agung BN, Datuk
Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan bahawa individu tertentu telah
diarahkan oleh perdana menteri, timbalan perdana menteri atau setiausaha agung
BN kononnya untuk ‘mencari calon pilihan raya’ atau membuat kajian selidik
calon di kawasan tertentu.
"Ada yang masuk ke
kawasan dengan menjual nama saya,
perdana menteri, presiden lain dengan menyatakan dia telah diarah turun
untuk mencari calon. Ini adalah tidak betul dan satu pembohongan yang besar.
Jangan terpedaya dengan mereka," kata Tengku Adnan kepada pemberita
selepas majlis korban dan kenduri rakyat sempena Aidiladha anjuran Umno
Bahagian Putrajaya, semalam.
Sementara itu,Tengku Adnan
berkata nama calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada
pilihan raya umum akan datang sedang melalui pelbagai saringan untuk disenarai
pendek.
"PRU-13 boleh diadakan
pada bila-bila. Nama calon semua sudah kita terima dan separuh sudah dalam
peringkat akhir untuk dimuktamadkan.
"Ada satu tempat,
terdapat dua atau tiga nama (calon). Kadangkala, satu nama sahaja di kawasan
tertentu, namun proses saringan tetap dijalankan.
"Kita nak calon yang
rakyat nak, bukan calon yang parti nak atau calon yang orang tertentu nak.
Calon yang rakyat nak kerana mereka akan menjadi wakil kepada rakyat,"
katanya.
Tengku Adnan juga berkata BN
berkemungkinan akan menamakan calon pilihan rumum lebih awal berbanding pilihan
raya sebelum ini.
Beliau berkata perbezaan
daripada amalan biasa ini tidak tertakluk kepada calon Umno sahaja malah semua
parti komponen BN.
Katanya, ada lebih banyak
kebaikan untuk menamakan calon lebih awal berbanding keburukannya dan
menegaskan ada sedikit perbezaan pada pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, katanya,
rancangan itu terserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang
juga pengerusi BN, untuk membuat keputusan.
"Saya yakin kali ini ia
akan dilaksanakan dengan sedikit perbezaan. Barangkali ia akan dinamakan lebih
awal dari biasa," katanya.
Kelmarin, Ketua Penerangan
Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata Umno belum bercadang untuk mengumumkan lebih
awal nama calon bagi mengelak perbuatan sabotaj termasuk mereka yang tidak
dipilih mewujudkan ‘pasukan’ bagi menjatuhkan calon terpilih.
Mengenai Perhimpunan Agung
Umno dari 27 November hingga 1 Disember ini, Tengku Adnan berkata ia akan
menumpukan kepada persiapan pilihan raya yang akan datang.
"Seperti biasa, kita
akan bincang berkenaan usul dan ucapan presiden, usul ekonomi, agama dan
pendidikan.
"Dalam ucapan presiden,
beliau (Najib) akan kekalkan mengenai persiapan untuk menghadapi pilihan raya,
kalau pilihan raya belum diadakan tetapi kalau pilihan raya sudah diadakan,
berkemungkinan beliau akan sebut kemenangan yang kita capai," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment