PUTRAJAYA : Menteri
Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha hari ini mahu siasatan dijalankan berhubung
punca bekalan elektrik terputus di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota
Kinabalu (KKIA), Khamis lalu yang menyebabkan penerbangan dibatalkan dan ramai
penumpang terkandas.
Beliau berkata kementerian
tidak akan melindungi sesiapapun dalam siasatan ini dan memberi amaran tindakan
tegas terhadap 'pihak yang cuai' tanpa mengira sama ada ia merupakan individu,
pihak berkuasa tempatan atau pengendali lapangan terbang.
"Jika hasil siasatan
menunjukkan ada unsur sabotaj, maka laporan polis akan dibuat untuk tindakan
undang-undang selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan
di sini, hari ini.
Kong berkata beliau merasa
amat dukacita atas kejadian itu yang menimbulkan keresahan dan kemarahan di
kalangan orang ramai yang bakal meraikan Hari Raya Aidiladha di kampung halaman
masing-masing.
Beliau juga berharap pengendali
lapangan terbang dapat memastikan wujudnya Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) jika
perkara sebegini berlaku pada masa akan datang. (Bernama)
No comments:
Post a Comment