PUTRAJAYA : 1Malaysia for
Youth (1M4U) akan memacu Malaysia menjadi hub dan negara contoh dalam kerja
sukarelawan kalangan rakyat berbilang kaum berteraskan gagasan 1Malaysia, kata
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata kerajaan
dengan visi dan aspirasi murni telah menubuhkan 1M4U sebagai sebuah badan dan
platform untuk menggalakkan serta memacu aktiviti berbentuk kesukarelaaan dalam
kalangan belia dan generasi muda Malaysia.
Najib yang juga Pengerusi
1M4U berkata kerajaan akan menggalakkan gerakan kesukarelawan kepada semua
rakyat Malaysia, khususnya generasi muda dalam kerajaan, swasta, badan bukan
kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sempena Tahun
Kesukarelawan Nasional 2013.
"1M4U juga akan
menganjurkan Konvensyen Sukarelawan Nasional 2013 pada bulan Februari bagi
mengumpulkan semua sukarelawan yang aktif di Malaysia untuk berbincang mengenai
hala tuju gerakan sukarelawan dalam kalangan rakyat dan generasi muda
Malaysia," katanya pada majlis perjumpaan dengan 10 finalis pertandingan
'My Uni Rocks' di Bangunan Perdana Putra di sini Rabu.
Untuk mengalakkan aktiviti
kesukarelawan dalam kalangan generasi muda secara tersusun dan berkala, Najib
mengumumkan bahawa sebanyak 100 1M4U Outreach Centre akan diwujudkan di semua
IPT dalam negara secara berperingkat pada tahun depan yang berfungsi sebagai
pemangkin kepada lebih banyak aktiviti kesukarelaan dalam kalangan mahasiswa
dan mahasiswi negara ini.
"Bagi merancakkan lagi
aktiviti kesukarelawan di semua outreach centre (pusat capaian), pihak 1M4U
akan memberikan sumbangan geran sebanyak RM5,000 kepada setiap outreach centre
untuk menggerakkan aktiviti kesukarelaan masing-masing.
"Selain itu, 1M4U akan
memberi anugerah khas 1M4U kepada outreach centre paling aktif dan paling
banyak menggerakkan aktiviti kesukarelaan dalam kalangan generasi muda dan
mahasiswa IPT. Kita akan wujudkan tokoh kesukarelawan 1M4U kepada mana-mana
individu yang banyak menggerakkan aktiviti kesukarelaan dalam negara,"
katanya.
Najib juga menyeru semua
mahasiswa dan mahasiswi serta generasi muda Malaysia merebut peluang untuk
mendaftarkan diri selaku penggerak dan aktivis sukarelawan 1M4U menerusi laman
web im4u.
Beliau berkata program 1M4U,
logo dan lagu, amat popular dan sudah sebati dengan golongan muda di tanah air.
"Lagu 1M4U ini sudah
menjadi popular. Bagaimanapun ia mungkin tidak sebaik s Gangnam Style (Korea)
tapi pastinya sudah bertapak dalam kalangan belia Malaysia. Mereka menganggap
ini sebagai lagu mereka dan begitu bermakna kerana ia menyatakan kerajaan
berada di sini untuk anda. Kami sedang melakukan yang terbaik untik merubah
negara keseluruhnya, sebaik kerja itu siap, ia untuk anda - belia hari ini
untuk memberi manfaat kepada Malaysia yang kita bina bersama.
Sementara itu, Najib berkata
pertandingan 'My Uni Rocks' merupakan pertandingan unik yang menggunakan
platform laman web sosial 'Facebook'. Para belia dan generasi muda boleh
bertukar-tukar buah fikiran dan mengadakan perbincangan mengenai idea.
"1M4U amat menghargai
segala usaha dan dedikasi generasi muda dalam mengenengahkan idea-idea bernas
untuk aktiviti kesukarelaan mengikut cita rasa masing-masing.
"Wajarlah pertandingan
My Uni Rocks yang bertujuan untuk memberi peluang kepada para mahasiswa dan
generasi muda IPT di segenap pelusuk tanah air untuk merealisasikan idea
aktiviti kesukarelaan mereka menggunakan laman web dan Facebook," katanya.
Fasa kedua 'My Uni Rocks'
kini dibuka untuk pengundian awam ke atas 10 finalis dan cadangan
kesukarelawanan mereka di laman Facebook, im4u dan tempoh pengundian awam, akan
berakhir pada 31 Dis.
Tiga pasukan yang menerima
undi paling banyak akan dinamakan sebagai pemenang dan diumumkan pada 1 Jan
tahun depan.
Mereka juga berpeluang
mengadakan karnival konsert percuma, mendapat Apple iPad serta lawatan sambil
belajar ke luar negara. (Bernama)
No comments:
Post a Comment