Monday, 17 December 2012

ANWAR SANDARKAN SOKONGAN KEPADA DAP






Oleh : OPALYN MOK, IDA LIM DAN MD IZWAN

NIBONG TEBAL : Datuk Seri Anwar Ibrahim menyandarkan sokongannya kepada DAP untuk terus memimpin Pulau Pinang menjelang pilihan raya umum (PRU) walaupun tidak disenangi oleh penduduk Melayu tempatan, sambil berkata beliau lebih rela menjadi 'Alat Cina' DAP daripada bekerja dengan MCA.

Perkara tersebut dinyatakan Anwar dalam sebuah ceramah besar semalam di negeri kepulauan tersebut selepas Barisan Nasional (BN) mendapat kembali keyakinan memenangi semula 17 kerusi dewan undangan negeri (Dun) dan peluang sama rata di lima negeri lain milik Pakatan Rakyat (PR).

Umno dan BN ketika ini memiliki 11 kerusi manakala selebihnya daripada 40 kerusi Dun adalah milik PR.

“Mereka boleh kata Anwar telah jadi alat Cina. Jadi apa masalahnya? Lebih bagus saya baik dengan Lim, yang jauh lebih baik daripada Chua tetapi jika kamu mahu memilih Chua, silalah teruskan. Saya lebih rela memilih pemimpin Cina dalam PKR dan DAP,” kata Anwar kepada ribuan yang merujuk kepada rakannya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan musuh mereka presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Dr Chua dan partinya dilihat sering mengkritip DAP dengan menggunakan akhbar rasmi mereka The Star untuk menghentam setiausaha agung DAP tersebut kerana mengawal projek pembangunan dan gagal melindungi kepentingan masyarakat Cina.

DAP juga dituduh sebagai mendokong rancangan kerajaan negara Islam oleh PAS.

Bagaimanapun, media lain yang dikawal oleh BN menggambarkan DAP sebagai anti-Islam dan anti-Melayu dalam negeri pengeluaran dan pelancongan tersebut.

Anwar merupakan penceramah utama dalam perhimpunan semalam yang diadakan sempena Kongres Kebangsaan DAP di pulau itu.

Kira-kira 10 ribu orang ramai menghadiri perhimpunan tersebut yang diadakan di padang berlumpur selepas hujan lebat, ramai membawa payung dan kerusi sendiri untuk mendengar ceramah pemimpin PR tersebut.

Walaupun Nibong Tebal mempunyai majoriti bukan Melayu (55 peratus) tinggi berbanding Melayu (45 peratus), ceramah semalam dihadiri lebih ramai orang Melayu yang datang untuk mendengar dan memberikan sokongan kepada PR.

Beberapa hadirin yang sempat dihampiri The Malaysian Insider memberitahu mereka tidak mempercayai laporan mengatakan Lim atau DAP sebagai seorang anti-Melayu dan Islam.

Salmah Ahmad, 41 yang datang jauh dari Bukit Mertajam bersama suami dan anaknya berusia 12 tahun berkata polisi pentadbiran negeri menjaga Muslim dan orang Melayu.

“Peruntukkan terhadap sekolah agama meningkat setiap tahun dan juga pemberian bantuan sekali bagi kepada warga emas yang didaftarkan dibawah Program Penghargaan Warga Emas telah memberikan imej baik kepada DAP,” kata beliau.

“Mereka (Umno) boleh kata apa yang mereka suka tapi kami boleh berfikir dan bandingkan antara yang baik dan buruk.”

Seorang lagi pengundi, Fairuz Seman, 44 dari Seberang Perai keliru apabila Lim dilabel sebagai anti-Melayu dan Islam hanya kerana berasal daripada kaum Cina.

“Bekas Ketua Menteri dahulu pun Cina, tapi dia tidak pula dituduh sebagai anti itu dan ini. Selagi pentadbiran negeri baik dan menjalankan kerja tanpa masalah, ia bukan bermakna mereka sebagai anti-Melayu dan anti-Muslim,” kata beliau.

Ahmad Fitri, 31 bersetuju Lim sudah melakukan banyak perkara untuk membantu Melayu dan Muslim tempatan menerusi peruntukkan yang disalurkan.

“Orang Melayu Pulau Pinang memilih pemimpin yang bersih dan pentadbiran yang baik bukannya berdasarkan agama dan bangsa,” jelas beliau.

Perhimpunan tersebut yang bermula sejak jam 5 petang untuk lewat tengah malam itu menyaksikan pemimpin PR bergilir-gilir menyampaikan ceramah.

Terdapat juga pemimpin bukan kerajaan seperti Bersih dan anti-Lynas yang hadir untuk menyampaikan bantahan mereka semasa perhimpunan semalam itu. (TMI)

No comments:

Post a Comment