LAPTOP......Kelihatan Roger (kiri) menyerahkan sebuah
Laptop kepada Raymond Emus Gintod.
Oleh:
JACKSON LU
TENOM:
Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Maju Sabah (SAPP) Roger Stimin menggesa
agensi-agensi kerajaan khususnya pihak yang bertanggung jawab mengenai
keselamatan di kawasan akar umbi; seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Kampong, (JKKK), Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Dalam Bandar (JKDB) dan
Jawatankuasa Rukun Tetangga agar meningkatkan pengawasan keselamatan di setiap
zon mereka.
Beliau
berkata, agensi-agensi kerajaan boleh bertindak untuk membantu mengawal
keselamatan dengan memberikan maklumat yang tepat kepada Pasukan Keselamatan
seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) supaya tindakan pantas dapat diambil untuk
membanteras kegiatan mereka.
“Agensi
seperti JKKK, JKDB dan Rukun Tetangga sepatutnya mempunyai rekod simpanan
berhubung bancian jumlah penduduk tempatan, warga asing yang bekerja di situ di
mana mereka sekurang-kurangnya memberi laporan tiga bulan sekali kepada pihak
berkuasa atau lebih kerap dari itu jika keadaan di situ ada yang meragukan.
“Inilah
menyebabkan banyak perkara jenayah mudah berlaku kerana kawalan keselamatan
terlalu longgar...(manakala) bagi pelaku jenayah pula mengambil kesempatan dari
kelonggaran itu sepertimana berlaku dengan kes pembunuhan kejam Norikoh yang berlaku
di Kota Marudu pada baru-baru ini,” kata beliau ketika menyampaikan sumbangan
Laptop kepada Pengerusi Rukun Tetangga Taman Mantailang Raymond Emus Gintod
pada Khamis.
Roger
yang juga merupakan Naib Ketua CLC SAPP DUN Melalap berkata, beliau tidak
bermaksud untuk menuding jari menyalahkan sesiapa terutamanya pihak PDRM dalam
aspek pengawalan keselamatan yang didakwanya terlalu longgar.
Namun
apa yang dimaksudkan beliau, bahawa ada pihak lain dalam agensi kerajaan yang
gagal berfungsi dengan baik untuk memberi 'input' kepada PDRM untuk
membanteraskannya kerana permasalahan segala galanya berlaku bermula dipihak
akar umbi.
“Saban
hari kita membaca dalam media cetak mahu pun media elektronik melaporkan
kehadiran warga asing di setiap pelusuk pekan dan bandar malah ada yang
menyatakan ada di antaranya memiliki MyKad beralamat di kawasan tertentu.
“(anehnya)
Ketua Kampung atau JKKK bagi kampung berkenaan tidak pernah melaporkannya
kepada pihak berkuasa malahan mereka ini (warga asing) dibenarkan menyewa
premis kedai mereka untuk menjalankan perniagaan,” tegas beliau.
Dalam
konteks itu, tegas Roger, agensi kerajaan seperti JKKK, Ketua Kampung atau JKDB
harus memastikan bahawa mereka tidak terlepas pandang memberi sokongan kepada
warga asing yang menyelinap masuk dan mengaku sebagai penduduk di perkampungan
mereka kerana disebabkan kelalaian mereka; maka pihak Jabatan Pendaftaran
Negara (JPN) akan menganggap itu adalah sah.
Sehubungan
itu, beliau sependapat dengan kenyataan Adun Melalap yang juga Pembantu Menteri
kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Radin Malleh pada Sabtu yang dipetik sebagai
berkata bahawa Radin menggesa pihak tertentu agar berhati-hati yang
mengendalikan pendaftaran sijil kelahiran yang lewat khususnya melalui perkhidmatan
bergerak supaya anak-anak PATI tidak tersilap didaftarkan.
No comments:
Post a Comment