Oleh
: MUTALIB M.D
WALAUPUN
Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
(KKLW) telah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk membina projek Bekalan
Air Luar Bandar (BALB) di Tenom, namun penduduk kampung Batu-Batu, Saga dan
sekitarnya belum mendapat bekalan air paip dan ada yang terpaksa menggunakan
air mineral yang dibeli di kedai sebagai air untuk mandi dan minuman.
Seorang
penduduk Batu-Batu, Tenom, Arajai Mantias, 76, mengakui beliau terpaksa
menggunakan dua botol air mineral setiap hari untuk mandi kerana tidak kuat
berjalan ke sungai yang terletak dua kilometer dari rumahnya.
"Jabatan
Air ada pasang meter, tetapi hanya angin sahaja yang keluar. Kami tidak pernah
dapat air paip sejak dua tahun lalu dan mereka janji akan dapat air jika dua
projek baru ini siap," ujar Arajai yang kesal kerana air paip hanya keluar
dua bulan sahaja pada 2009 sebelum kering kontang sehingga kini.
Kata
Arajai, layanan buruk Kerajaan Barisan Nasional terhadap Kaum Murut (Timugon) tidak
sepatutnya berlaku kerana kesemua wakil rakyat Tenom berketurunan Murut.
"Saya
tidak pernah mangkir daripada mengundi setiap pilihanraya umum dari USNO
hinggalah sekarang walaupun mendapat layanan buruk dan janji palsu kerajaan BN.
Tetapi saya tidak tahulah macam mana dengan fikiran 12 orang anak saya.
Mungkinkah mereka akan terus mengundi jika menerima layanan buruk seperti
ini?," kata Arajai dengan nada teramat sedih.
Arajai
menekankan, para penduduk kampung sudah putus asa untuk mendapat bekalan air
bersih kerana projek demi projek bekalan air yang dilaksanakan di Tenom hanya
menguntungkan kontraktor dan rakyat terus menderita.
LORI.....Memandangkan lori Jabatan Air ini tidak mampu membekalkan air kepada semua kampung, Jabatan Air terpaksa membazirkan wang menyewa lori tangki sedangkan masalah berkenaan boleh diselesaikan dengan mudah jika semua pihak menjalankan tugas secara profesional.
Tidak
cukup dengan itu, bekalan air gantian melalui lori tangki yang disediakan
Jabatan Air dikhuatiri tercemar dan tidak bersih kerana beliau sering mengalami
alahan atau gatal seluruh badan menyebabkan beliau terpaksa menggunakan air
mineral untuk mandi atau membilas badan ala kadar.
"Mungkin
nasib kerbau lebih baik daripada kami," ujar Arajai yang kesal kerana
Jabatan Air gagal mencari punca kenapa bekalan air paip terhenti di kampung
Batu-Batu setelah projek menaiktaraf jalan disiapkan.
Sehubungan
itu, Arajai menggesa Kerajaan Barisan Nasional menyelesaikan isu ini sebelum
pilihanraya umum kerana beliau bimbang rakyat akan menolak BN jika isu bekalan
air ini berpanjangan; apatah lagi dua projek bekalan air yang dilaksanakan
sudah terlewat daripada jadual.
"Datuk
Seri Najib bagus, tetapi tidak tahulah orang di bawah," kata Arajai yang mengakui
Wakil Rakyat BN (Datuk Raime Unggi, Datuk Radin Malleh dan Datuk Rubin Balang) gagal
menunaikan janji kerana masalah birokrasi Jabatan Air dan KKLW.
Dalam
pada itu, anak Arajai, Mimbo, 32, (gambar) amat kesal kerana Jabatan Air menguatkuasa
Hukum Rimba iaitu sesiapa yang tidak memasang meter tidak akan dibekalkan air
melalui lori tangki.
"Hakikatnya
kami ada meter air, tetapi yang keluar hanya 'kentut air' iaitu angin.
Kadang-kadang adalah satu dua titik tetapi setiap tiga bulan kami bayar bil
lebih RM300. Saya pun bingung kerana mereka bekal air dengan lori tangki; tidak
tahulah air dari mana, bersihkah tidak, tetapi kami bayar bil mengikut bacaan
pada meter," kata Mimbo yang menggesa agar Menteri KKLW, Datuk Seri Mohd
Shafie Apdal turun padang memantau projek KKLW yang menyusahkan rakyat jelata.
Tegas
Mimbo, sebagai generasi muda yang dilahirkan di Kampung Batu-Batu, beliau tidak
boleh memberi jaminan akan memberikan undi kepada BN jika keluarganya dilayan
seperti warga asing; sedangkan mereka adalan pembayar cukai dan pemilih
berdaftar.
"Ke
mana ratusan juta dicurahkan untuk projek BALB di Tenom jika masalah kampung
kami dan beberapa kampung tidak selesai? Sepatutnya Shafie Apdal malu kerana
Perdana Menteri terpaksa mengumumkan pinjaman lebih RM200 juta kepada kerajaan
negeri bagi mengatasi masalah bekalan air di Tenom yang semakin
meruncing," ujar Mimbo yang sedih melihat penderitaan penduduk kampung
Batu-Batu dan sekitarnya sejak dua tahun lalu.
Untuk
rekod, sebelum ini Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Sabah,
Citra Masadi telah beberapa kali membuat teguran dan menimbulkan kepincangan isu
projek bekalan air di seluruh Sabah, termasuk Tenom; namun agak menghairankan
tiada sebarang tindakan diambil Kerajaan Persekutuan.
"Mungkin
dakwaan Shafie Apdal bahawa beliau adalah 'Golden Eyed Boy' Perdana Menteri
adalah benar. Jika tidak kenapa Perdana Menteri meluluskan pinjaman RM235 juta
kepada Kerajaan Negeri Sabah dalam lawatannya sedikit masa lalu?" tanya
Citra yang membayangkan Datuk Seri Najib cuba menutup kepincangan Projek Top-Up
NKRA KKLW yang gagal secara total.
"Ada
projek tetapi hanya menguntungkan kroni, bukan projek bekalan air luar bandar
tetapi projek memasang paip yang hanya mengeluarkan angin dan menyumbat
tembolok kroninya seperti Timbalan Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin dan
Presiden KDM 1Malaysia, Datuk Peter Anthony," tegas Citra yang menamakan
dua tokoh ini sebagai petualang dan jalang di dalam Barisan Nasional.
Kata
Citra, hasil siasatan AMK, Shafie telah menyalahguna kuasa dan memperdaya
Kementerian Kewangan agar meluluskan dua kontrak baru Skim Bekalan Air Luar
Bandar (BALB) masing-masing bagi Projek BALB Sistem Retikulasi Tahun 2011/2012
Negeri Sabah Zon 16B, Tenom, Sabah (KKLW.T.98/2011) yang dilaksanakan Poteck
Enterprise Sdn Bhd (Milik Chin Su Phin) dengan kos RM10,422,536.00 dan Projek
Sistem Bekalan Air Tenom, Sabah, Fasa 2, (KKLW.T .188/2011 yang dilaksanakan
oleh Asli Jati Engineering Sdn.Bhd. (Milik Peter Anthony) dengan kos
RM28,888,888.00.
Mengikut
maklumat di papantanda projek yang masih terpacak dan menjadi gurauan penduduk
Tenom sebagai 'JANJI SAPI' (Janji Shafie), kata Citra, kedua-dua projek
berkenaan telah terlewat dariada jadual dan tidak mungkin dapat disiapkan
menjelang PRU-13.
"Inilah
hukum karma yang bakal diterima BN kerana gemar menabur janji tetapi 'Janji
Sapi' tidak membawa Sabah ke mana-mana dan bercanggah dengan Janji Ditepati
yang dipacu Najib selama ini," kata Citra yang mendesak agar Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan rapi berhubung dua
projek penting di samping banyak projek KKLW yang disifatkan sebagai projek
'Menternak Buaya Darat'.
Dalam
pada itu, Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) ketika dihubungi sebentar tadi
mengesahkan Tenom mengalami masalah bekalan air yang serius sekalipun loji yang
sedia ada mampu membekalkan air bersih untuk tiga puluh tahun akan datang.
"Bekalan
air kita cukup tetapi tidak dapat dibekalkan kerana masalah paip dan ketidak
cekapan kontraktor. Lagipun semua projek diberi terus kepada kontraktor tanpa
dimaklumkan atau melalui Kerajaan Negeri dan di luar pengetahuan Ahli Parlimen.
Bila ada masalah seperti sekarang, barulah kami terlibat," kata Raime yang
menggesa agar KKLW menyelesaikan masalah ini sebelum PRU-13.
No comments:
Post a Comment