JENAYAH.....Musa
berkata di antara sebab kegagalan kerajaan untuk meyakinkan masyarakat bahawa
mereka berada dalam keadaan selamat adalah kerana ia hanya memberikan tumpuan
kepada jenayah jalanan, dan bukannya jenayah secara keseluruhan.
Oleh : AMIN ISKANDAR
PETALING JAYA : Kadar
jenayah yang tinggi di Malaysia disebabkan oleh hubungan rapat antara pemimpin
negara dan kpemimpin kongsi gelap, dakwa bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa
Hassan.
“Apabila penjenayah rapat
dengan ‘orang atas’, yang teraniaya adalah masyarakat,” kata Musa kepada The
Malaysian Insider dalam temuramah baru-baru ini tanpa menamakan sesiapa.
Peningkatan bilangan rakyat
Malaysia yang bimbang ke atas keselamatan mereka di rumah dan di jalanan
menyebabkan mereka mempersoalkan pentadbiran Najib yang seringkali
mengembar-gemburkan kejayaan mengurangkan jenayah, bakal bertukar menjadi
antara isu utama pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Baru-baru ini kumpulan
pemerhati jenayah, MyWatch, yang rapat dengan Musa mendakwa pegawai polis
berpangkat tinggi terlibat dengan penggubahan wang haram, termasuk perjudian
haram, pelacuran, mengatur perlawanan bola sepak, malah turut mempunyai
hubungan dengan pemimpin kongsi gelap.
Kadar jenayah tinggi
dikaitkan secara langsung dengan sindiket yang berurusan dengan pelacuran,
perjudian, dan pinjaman wang haram, kata Musa kepada The Malaysian Insider,
menyokong dakwaan MyWatch.
Beliau menekankan kesan
“domino” aktiviti haram berkenaan sambil menambah masalah jenayah dalam negara
ini tidak akan dapat diselesaikan selagi akar kepada permasalahan itu sendiri
tidak dicabut.
“Jenayah ini macam roda.
Kalau wujud aktiviti maksiat seperti judi, pelacuran, loan shark (ceti haram),
selagi itu ada jenayah. Contohnya bila orang kalah judi, mereka mula merompak.
Jenayah tidak akan habis jika aktiviti-aktiviti maksiat ini terus ada.
“Salah satu cara seperti
yang saya cadangkan dulu, kerajaan patut beri lesen disesetengah tempat macam
di Holland,” kata beliau merujuk kepada kawasan pelacuran ‘halal’ di Belanda
sambil menambah, “Orang nak pergi pun segan.”
Menurut Musa lagi, diantara
sebab kegagalan kerajaan untuk meyakinkan masyarakat bahawa mereka berada dalam
keadaan selamat adalah kerana ia hanya memberikan tumpuan kepada jenayah
jalanan dan bukannya jenayah secara keseluruhan.
“Jenayah lebih besar seperti
pecah rumah, rompakan, samun, curi kenderaan dan bunuh. Overall (secara
keseluruhan) perlu diambil kira. Ini yang menyebabkan masyarakat rasa tak
selamat,” katanya.
Untuk mengurangkan kadar
jenayah yang membimbangkan, Musa mencadangkan agar Polis Di Raja Malaysia
(PDRM) memantapkan aktiviti untuk mendapatkan maklumat risikan dengan
melibatkan orang ramai untuk bekerjasama.
“Contohnya, apabila orang
ramai beritahu saya tentang sesuatu jenayah, saya akan kirimkan maklumat ini
kepada pegawai polis yang berkenaan. Ini contoh risikan yang kita boleh
perolehi daripada masyarakat,” katanya.
MyWatch turut mempersoalkan
KPN sekarang kerana tidak mengambil tindakan dan senyap terhadap bukti
kesalahan yang kumpulan tersebut akan dedahkan kepada umum kecuali Tan Sri
Ismail Omar bersetuju untuk berjumpa dengan mereka.
Musa dan MyWatch, dikritik
oleh beberapa bekas penjawat awam daripada pasukan keselamatan tersebut selepas
pendedahan yang dilakukannya bersama MyWatch, termasuk daripada bekas Pengarah
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Ramli Yusuff, bekas
penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri Robert Phang dan bekas
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim.
Beberapa penculikan
berprofil tinggi, rompakan dan kes-kes serangan, termasuk peningkatan
penggunaan senjata, menyebabkan ahli parlimen pembangkang dan orang awam
mempersoalkan dakwaan unit kecekapan Putrajaya itu bahawa kadar jenayah di
negara ini telah menurun dengan ketara sejak inisiatif di bawah itu Program
Transformasi Kerajaan (GTP) dimulakan dua tahun lalu.
Ahli politik pembangkang
menuduh kerajaan persekutuan terlalu sibuk mengintip orang awam dan menangani
persepsi negatif terhadap kelemahan pihak berkuasa dalam mengurangkan jenayah
daripada pertempuran sebenar, menunjukan ketidakseimbangan bajet untuk siasatan
jenayah .
Pengarah Bidang Keberhasilan
Utama Negara (NKRA) PEMANDU Eugene Teh pada Julai mengeluarkan statistik segar
menunjukkan bahawa indeks jenayah di
Malaysia menurun sebanyak 10.1 peratus dari Januari hingga Mei tahun ini
apabila dibandingkan dengan tempoh sama tahun lepas.
PEMANDU sebelum itu
mengeluarkan angka fakta indeks jenayah
menurun sebanyak 11.1 peratus dari tahun 2010 hingga tahun lepas manakala
jenayah jalanan menurun 39.7 peratus dalam tempoh sama.
Pentadbiran Datuk Seri Najib
Razak juga menuduh media memainkan laporan jenayah dan menegaskan kes terpencil
dan tidak tepat menunjukkan peningkatan dalam kadar jenayah di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment