KOTA KINABALU : Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang merupakan arkitek gagasan 1Malaysia,
adalah pemimpin yang boleh membawa negara ini ke arah masa depan yang lebih
baik, kata Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO),
Tan Sri Bernard Dompok.
Oleh itu, beliau, yang juga
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, mengajak rakyat memberikan mandat
yang besar kepada Najib pada pilihan raya umum akan datang, sekali gus
memastikan kesinambungan agenda pembangunan negara.
“Selama bekerja dengan tiga
Perdana Menteri, saya lihat Najib, sebagai Perdana Menteri, sentiasa inginkan
pembaharuan, dan Najib adalah pemimpin yang dapat membawa kita ke arah yang
lebih baik,” katanya.
Dompok berkata demikian
ketika berucap pada majlis perasmian kem kepimpinan dan melukis serta mewarna
logo 1Malaysia di Sekolah Menengah Tinggi Kota Kinabalu, dekat sini hari ini.
Antara pembaharuan yang
dilakukan Najib ialah pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960,
pindaan terhadap Akta Polis, rayuan terhadap Akta Buang Daerah 1959, dan Akta
Kediaman Terhad 1933, pemansuhan tiga Deklarasi Darurat, dan pembentangan Rang
undang-undang Ikatan Relawan Malaysia (RELA) 2012 yang menghadkan kuasa mereka
terhadap penggunaan senjata api dan kuasa untuk menahan.
Dompok turut menghargai
inisiatif para guru, lembaga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa-Guru (PIBG) KK High
School yang melukis 15,000 logo 1Malaysia yang diharap mendapat pengiktirafan
dalam The Malaysian Book of Records.
Bercakap kepada pemberita
kemudian, beliau menyambut baik jaminan yang diberikan Timbalan Perdana Menteri
selaku Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kebajikan
sekolah-sekolah mubaligh di negara ini tidak akan diabaikan dan dikekalkan
dalam sistem pendidikan nasional.
Muhyiddin dipetik sebagai
berkata di Kuching baru-baru ini bahawa soal sekolah mubaligh bukan tidak
disentuh dalam pelan tersebut tetapi sekolah-sekolah berkenaan telah menjadi
sebahagian daripada sistem pendidikan nasional sejak dahulu hingga sekarang.
Mengenai permohonan
sekolah-sekolah mubaligh agar diberikan “bantuan khas kewangan” daripada
kerajaan, Dompok berkata dalam pertemuannya dengan Muhyiddin bersama sekumpulan
wakil sekolah mubaligh baru-baru ini, mereka dimaklumkan bahawa isu itu akan
diambil perhatian, dan kini dalam pertimbangan Kementerian Pelajaran. (Bernama)
No comments:
Post a Comment