Saturday, 23 February 2013

PAKATAN PEMBANGKANG MAKIN TERDESAK








Oleh: AZLINA ROSDY

KUALA LUMPUR : Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor membidas segelintir pihak khususnya pakatan pembangkang yang terus-terusan melontar fitnah kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) 13 termasuklah yang terbaru video pendek berkenaan pemberian kad pengenalan kepada warga asing.

Tegasnya, beliau tidak terkejut sekiranya akan wujud lebih banyak video atau bahan lain yang digunakan untuk memburukkan kerajaan selepas ini kerana pakatan pembangkang memang terkenal dengan perangai suka menabur fitnah, menipu dan memanipulasi apa sahaja isu demi menjatuhkan kerajaan di bawah pimpinan BN.

“Saya ada terima kiriman video tersebut yang gambarkan kononnya kerajaan memberikan kad pengenalan kepada warga asing untuk membolehkan mereka mengundi pada PRU 13. Saya ingin tegaskan di sini, perkara ini tidak pernah berlaku. Ini semua kerja pembangkang yang suka melempar fitnah.

“Mereka akan buat semua jenis kerja kotor untuk meraih undi. Sudah-sudahlah… kerajaan tidak pernah bertindak sedemikian. BN telus dan Perdana Menteri juga telah menandatangani ikrar integriti. Sebab itu pembangkang semakin gerun dan takut malah mereka tidak berani buat apa yang Perdana Menteri buat.

“Pembangkang sudah ketandusan modal… mereka dah tak ada kerja…. Bayangkanlah bagaimana rupa kerajaan akan datang kalau puak-puak penipu ini yang menang dalam PRU… Nauzubillah… Semoga kita dipelihara Allah SWT,” ujarnya kepada UMNO Online.

Tambah Tengku Adnan, menjelang detik PRU yang kini hanya menanti Parlimen dibubarkan, tidak hairan sekiranya pakatan penipu ini akan menyebarkan lebih banyak bahan berunsur fitnah hanya untuk mengelirukan rakyat.

“Saya harap rakyat akan bijak berfikir dan tidak terpedaya dengan dakyah kotor pakatan pembangkang ini,” ujarnya lagi. (MediaUMNO)

No comments:

Post a Comment