Oleh : NASHIR MANSOR
LAHAD DATU : Semasa penulis
berkunjung ke Kampung Tanjung Labian, kira-kira 140 kilometer dari sini,
kelihatan sekumpulan penduduk sedang sibuk menguruskan sesuatu di dalam pondok
perigi yang menjadi sumber bekalan air utama penduduk kampung itu.
Ketika berjalan ke arah
mereka sambil memberi salam, jelas kelihatan kesangsian pada wajah mereka,
mungkin kerana mereka tidak mengenali penulis dan jurugambar Bernama berikutan
kedatangan kami juga secara tiba-tiba dan tanpa temu janji.
Namun keadaan itu tidak
menghairankan lebih-lebih lagi Kampung Tanjung Labian cuma terletak kira-kira
tiga atau empat kilometer dari Kampung Tanduo, lokasi kira-kira 150 penceroboh
yang mengaku Askar Diraja Kesultanan Sulu dari Selatan Filipina, sedang
dikepung pihak berkuasa Malaysia.
Tiga hari sebelum itu juga,
tiga wartawan asing beserta anggota parti politik pembangkang cuba memasuki
kawasan Operasi Sulu melalui laut dari kampung berkenaan namun berjaya dikesan
dan ditahan pihak berkuasa Malaysia.
Selepas memperkenalkan diri
dan menjelaskan tujuan kedatangan kami, barulah kemesraan mula tergambar di
wajah mereka termasuk Mahmood Mallang, ketua kampung yang berkulit cerah,
berkopiah putih dan memakai kemeja T putih nipis, yang terus mengajak kami
duduk bersembang di bawah rumahnya yang terletak tidak jauh dari perigi.
Bukan setakat itu,
kedatangan kami pada waktu petang itu turut disambut dengan sajian minuman
sejuk dalam tin yang mungkin baharu dikeluarkan daripada peti sejuk, hasil
projek tenaga elektrik solar kerajaan bernilai RM132 juta melalui Kementerian
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
"Beberapa rumah di
kampung ini sudah menerima bekalan elektrik sejak dua minggu lalu. Sebelum ini,
kira-kira 400 penduduk kampung ini bergantung penuh kepada sumber elektrik dari
set janakuasa mini yang dibeli sendiri oleh penduduk yang mampu.
"Di kampung ini sahaja
terdapat kira-kira 20 set janakuasa digunakan penduduk. Jadi setiap malam
apabila janakuasa dihidupkan, kampung ini memang diselubungi bunyi bising dari
bunyi set janakuasa ini," kata Mahmood, 72.
Bagaimanapun, katanya
suasana bising itu akan berlalu tidak lama lagi apabila kesemua penduduk
menerima bekalan elektrik dari sumber tenaga solar dan proses pemasangan wayar
dari tiang elektrik ke rumah dan pemasangan meter sedang dilakukan pihak Sabah
Electricity Sdn Bhd.
Malah, kata Mahmood mesin
pam air perigi sedalam 80 kaki yang digali sendiri penduduk sebagai sumber
bekalan air utama sejak lebih 20 tahun lalu juga sudah menggunakan tenaga
elektrik untuk mengepam air dari perut bumi sebelum ditakung menggunakan
beberapa buah tangki untuk kegunaan penduduk.
"Sebelum ini, kami
mengepam air keluar dari perigi ini menggunakan alat pam tangan. Selepas itu,
pihak Yayasan Sabah (sebuah agensi kerajaan negeri) membekalkan kami dengan pam
elektrik yang berfungsi melalui penggunaan set janakuasa. Kini pam ini
berfungsi menggunakan tenaga elektrik solar. Terima kasih kepada
kerajaan," katanya.
Menurut Mahmood,terdapat tiga buah kampung
lagi di Tanjung Labian iaitu Kampung Tanjung Batu, Kampung Lok Sambuang dan Lok
Buani dan empat buah sekolah rendah di situ turut mendapat nikmat daripada
sistem bekalan elektrik solar berkenaan.
Bagi Bakri Bantunan, 42,
seorang nelayan sepenuh masa di Tanjung Labian, yang dalam proses menyambung
bekalan elektrik ke rumahnya, kemudahan itu bukan sahaja amat bermakna kerana
ia bakal menerangi rumahnya 24 jam malah penting baginya sebagai nelayan.
"Selepas ini, bolehlah
saya membuat ais batu secara kecil-kecilan sama ada untuk dibawa ke laut atau
menyimpan ikan supaya tahan lama sebelum pemborong tiba untuk mengambilnya.
Sebelum ini, sumber ais kami ialah dari Felda Sahabat 16 yang agak jauh dari sini,"
katanya ketika ditemui sedang membaiki pukatnya di pantai Tanjung Labian.
Menurut Bakri, yang sudah
seminggu tidak turun ke laut berikutan insiden pencerobohan di Kampung Tandou
itu, untuk mendapatkan bekalan ais batu di Felda Sahabat 16 mereka boleh menaiki
bot selama 30 minit atau berkenderaan darat sejauh lebih 20 kilometer.
Katanya,sebelum ini, khususnya pada
musim banyak ikan, biasa berlaku ikan hasil tangkapannya dan nelayan lain busuk
kerana kekurangan bekalan ais namun dengan adanya bekalan elektrik 24 jam,
kejadian seperti itu boleh dielakkan.
Muhammad Gabril, 19, seperti
penduduk kampung lain, juga berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan
kemudahan elektrik solar kepada penduduk kampung itu yang baginya tentu
mendatangkan begitu banyak kebaikan dan kesenangan.
Dia yang meminati sukan bola
sepak berkata biasanya bekalan elektrik ke rumah penduduk kampung cuma sehingga
jam 10 malam kerana set janakuasa akan dimatikan pada waktu berkenaan jadi dia
tidak dapat menonton siaran bola sepak selepas masa itu.
"Sebelum ini, saya
biasa pergi menonton siaran bola sepak ke rumah jiran-jiran. Bagaimanapun
dengan adanya bekalan elektrik (24 jam) ini, saya boleh menonton siaran bola
sepak di rumah sendiri pada bila-bila masa," katanya ketika baru balik
dari laut dengan tangkapan kira-kira 30 kilogram ikan tamban.
Begitupun,Muhammad yang juga seorang
pekebun masih mengharapkan agar kerajaan juga membekal bekalan air bersih ke
Tanjung Labian pada masa akan datang agar mereka tidak selamanya bergantung
kepada air perigi dan air hujan untuk keperluan harian.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment