WARTAWAN Malaysia Claudia
Theophilus, 42, penerbit di syarikat penyiaran Al-Jazeera yang berpangkalan di
Doha, Qatar, mati dipercayai akibat terkena tembakan dalam satu insiden di
Baakleen yang terletak di sebuah kawasan pergunungan di Lubnan, semalam.
Duta Besar Malaysia di
Lubnan, Ilango Karuppannan berkata menurut laporan awal polis, tiada elemen
jenayah dalam kejadian yang menimpa Claudia pada kira-kira 2.30 pagi waktu
Lubnan.
"Sebaliknya, ia berlaku
secara tidak sengaja yang mana dia (Claudia) terkena tembakan dari satu senjata
api," katanya ketika dihubungi Bernama kelmarin.
Beliau berkata mayat Claudia
akan dibawa pulang selepas segala urusan forensik dan bedah siasat selesai
dijalankan.
Menurutnya, Claudia
berkunjung ke Baakleen bersama dua rakannya yang merupakan rakyat Lubnan.
Laporan media menyebut
mangsa tiba di Lubnan pada 28 Januari lalu untuk melawat kawannya di negara
itu.
Menurut laporan itu, Claudia
terkena tembakan ketika beliau dan dua rakannya sedang 'bermain' dengan
beberapa laras senapang sebelum senjata itu tiba-tiba meletup.
Mendiang pernah bekerja
dengan akhbar The Sun dan portal berita Malaysiakini.
Dalam pada itu, Kementerian
Luar dan Kedutaan Besar Malaysia di Lubnan masih menunggu laporan lengkap
daripada pihak berkuasa Lubnan berhubung kes kematian wartawan Malaysia,
Claudia Theophilus.
Menteri Luar Datuk Seri
Anifah Aman berkata laporan awal pihak polis Lubnan memaklumkan kematian
mendiang disebabkan kemalangan ketika menggunakan senjata api.
“Kes ini masih dalam
siasatan pihak polis Lubnan dan keluarga mendiang telah dimaklumkan mengenai
kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Anifah berkata
kementeriannya akan memberi kerjasama untuk membantu siasatan selain memberi
khidmat konsular kepada keluarga mendiang.
Dalam satu kenyataan
berasingan, Malaysia mengecam serangan bom ke atas Kedutaan Besar Amerika
Syarikat (AS) di Ankara, Turki pada Jumaat yang mengorbankan seorang pengawal
keselamatan warga Turki. Turut terbunuh suspek yang meletupkan bahan letupan
itu.
Anifah melahirkan rasa
simpati Malaysia dengan kematian dan kecederaan terhadap orang awam akibat
letupan itu. (Bernama)
No comments:
Post a Comment