Saturday 9 March 2013

KPDNKK TINDAS PENIAGA BUMIPUTERA






Saudara Pengarang,

SURAT terbuka ini saya tujukan kepada YAB Datuk Seri Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia berhubung penindasan pegawai-pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) terhadap usahawan bumiputera negeri Sabah yang berjaya.

Surat daripada pihak Perdana Menteri bertarikh 27 Disember 2012 yang ditujukan khas kepada Cik Nor Nazimah bt Hashim, Setiausaha Sulit Kanan Menteri KPDNKK telah dijawab pada 26 Febuari 2013 oleh Dato’ Basaruddin Bin Sadali, Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK selepas dua (2) bulan lamanya.

Surat rasmi Ketua Menteri Sabah pada 30 Oktober 2012 yang ditujukan khas kepada Menteri PDNKK, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob tidak  dijawab oleh KPDNKK sehingga ke hari ini dan sudah memakan masa lebih empat (4) bulan lamanya.

Persoalannya, kenapakah surat daripada Perdana Menteri dan surat rasmi Ketua Mentri Sabah dipandang remeh oleh Menteri KPDNKK? Apakah motif KPDNKK memandang terlalu rendah dan memperlekehkan surat-surat rasmi Perdana Menteri dan  Ketua Menteri Sabah?

Saya amat kesal kerana Dato’ Basaruddin bin Sadali dalam penjelasannya di perkara 7 & 8, MENGHALALKAN tindakan penguatkuasaan ke atas Multi Inrich Sdn Bhd kononnya mengikut peruntukan kuasa penyiasatan di bawah Akta Perihal Dangangan 1972,  telah dibicarakan di Mahkamah dan tidak timbul sebarang isu penindasan atau penguatkuasaan secara ‘Mala Fide’.

Kelihatannya, Dato’ Basaruddin ibarat menegak benang yang sudah basah,  maka saya dengan ikhlas ingin membuktikan kenyataan Dato’ tidak benar dan Dato’ juga ada mempunyai niat jahat (mala fide) terhadap ramai usahawan Bumiputera di Negeri Sabah dengan sewenang-wenangnya mengunakan Akta Perihal Dangangan 1972 untuk 'membunuh' ramai  usahawan Bumiputera Negeri Sabah.

Kenapa Dato’ Basaruddin terlalu takut untuk mengunakan Akta tersebut kepada usahawan bukan Bumiputera dan Dato’ lebih suka diselesaikan kes di pejabat KPDNKK sahaja walaupun ada bukti menunjukkan kes jenayah berat?

Jawapan Dato’ Basaruddin dalam surat bertarikh 26 Februari 2013  juga adalah satu penghinaan kepada Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Menteri Sabah kerana Mahkamah juga telah memutuskan pihak Dato’ didapati telah gagal membuktikan kes ‘Prima Facie’.

Dato’ Basaruddin juga terbukti telah berjaya menindas, menghancurkan perniagaan ramai usahawan Bumiputera Negeri Sabah sehingga Ketua Menteri Sabah amat kesal di atas tindakan Dato’ Basaruddin yang keterlaluan terhadap syarikat kami.

Saya boleh buktikan yang Dato’ Basaruddin ada mempunyai niat jahat 'mala fide’ terhadap ramai usahawan bumiputera yang berjaya di Negeri Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib bin Tun Razak telah menyatakan di Perhimpunan Usahawan Bumiputera 2013 pada 13 Mac 2013, Kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan kerajaan yang meranap atau merobohkan peluang usahawan Bumiputera untuk berniaga.

Tetapi malangnya, Dato’ Basaruddin sendiri telah terbukti berjaya meranap atau merobohkan ramai usahawan Bumiputera yang berjaya di Negeri Sabah.

Adalah wajib Perdana Menteri memastikan tranformasi dilakukan Menteri KPDNKK kerana ramai pegawai dan kakitangan Kementerian menggunakan kedudukan mereka untuk menindas, meranap atau merobohkan ramai uhawan Bumiputera Negeri Sabah.

Sekian, terima kasih.

Salam Hormat,


ABDUL KARIM AHMAD
Mangsa Penindasan KPDNKK

No comments:

Post a Comment