Monday 4 March 2013

RCI SABAH PERLU DITRANSFORMASI






Oleh : A.G TAYLOR

PROSIDING RCI yang dijadualkan bersidang pada 5 Mac hingga 9 Mac ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan diberitahu kelak; dikhuatiri berpunca daripada perkembangan serangan militan di Sabah.

Salah seorang saksi RCI, Mutalib M.D ketika dihubungi berkata beliau belum menerima sebarang makluman daripada Panel RCI setelah jadual sapena asal diubah kerana masalah peribadi beliau yang menyebabkan tarikh beliau memberi keterangan pada 23 Februari dijadualkan semula pada 5 hingga 9 Mac ini.

"Urusetia belum memaklumkan sebarang tarikh baru, lagipun keadaan sekarang tidak sesuai untuk prosiding kerana pelbagai risiko terutama faktor keselamatan di Sabah," kata Mutalib yang yakin dengan jalinan kerjasama semua pihak, keselamatan rakyat Sabah masih terkawal sekalipun tahap kewaspadaan perlu ditingkatkan.

Bagaimanapun Mutalib berharap agar Panel RCI ditambah kerana hanya mengadili isu ini daripada aspek undang-undang imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara tanpa melibatkan isu psikologi, kemanusiaan, ekonomi, geo-politik, hubungan antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu; sehingga tidak ubah seperti menggali kubur untuk menjatuhi hukuman kepada pesalah yang sudah mati.

"Panel yang ada sekarang daripada latar belakang undang-undang, kepolisan, akademik sehinggakan RCI dilihat bagaikan kereta tanpa enjin sehinggakan RCI yang begitu penting disifatkan sebagai NATO (No Action Talk Only)," kata Mutalib yang mengalu-alukan Transformasi RCI agar prosiding menemui cahaya di hujung terowong yang selama ini gelap.

Mutalib merupakan penulis empat buah buku berhubung PATI iaitu IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah; Pengundi Untuk Disewa; IC PROJEK Agenda Tersembunyi Mahathir? dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir? selama ini paling lantang menyuarakan penentangan terhadap Warga penyu yang mendapat IC Projek dan PATI.

Berhubung keselamatan Sabah selepas pencerobohan militan Filipina di Kampung Tanduo yang kini masih menawan 30 penduduk tempatan di Kampung Tg Batu, Zon Tanjung Labian, Tungku; Mutalib berkata beliau menyerahkan isu berkenaan kepada pihak keselamatan.

"Saya telah menjalankan tugas sebagai warganegara iaitu melapor segala kepincangan dan jenayah terancang termasuk insiden di Tanduo tanpa rasa gentar; sekalipun tidak disukai pihak berkuasa; tetapi demi keselamatan orang awam yang tidak berdosa, saya terpaksa menyiarkan perkembangan terbaru di Sabahkini.net," kata Mutalib yang gembira setelah Zon Tanjung Labian diletakkan sebagai Zon Merah.

Mutalib berharap agar pasukan keselamatan mampu membebaskan 30 penduduk kampung yang ditawan di Tanjung Batu dan menghalang kemasukan lebih ramai militan; serta melakukan tapisan rambang semua militan Warga Penyu yang menggunakan IC Projek agar tidak ada lagi kejadian yang tidak diingini berlaku di Sabah.

"Saya telah menyuarakan isu ini sejak sekian lama (1997) dan menulis buku sejak 1999, namun pasukan keselamatan leka dan kerajaan tidak mempunyai Political Will sehinggalah Perdana Menteri menubuhkan RCI," kata Mutalib yang agak kecewa kerana PATI dan IC Projek sudah membarah di Sabah dan Semenanjung.

Mutalib menegaskan bahawa walaupun RCI sudah terlambat, tetapi satu permulaan yang baik untuk menentukan hala tuju kerakyatan negara dan menyelesaikan ibu kepada segala masalah di Sabah.

"Saya mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada perwira negara yang sepatutnya masih hidup sehingga ke hari ini dan tidak ada jiwa yang merana kehilangan keluarga jika kerajaan bertindak lebih awal; menapis militan yang berjubahkan Warga Penyu. Saya sudah letih menyuarakan pandangan, tetapi tidak menyesal," kata Mutalib  yang menggesa agar pihak keselamatan sentiasa mendengar aduan dan keluhan rakyat agar banyak jiwa tidak berdosa boleh diselamatkan.

No comments:

Post a Comment