TUNDUN BUHANGIN: Calon
Barisan Nasional (BN) Dun Sukau, Datuk Saddi Haji Abdul Rahman menegaskan,
usaha beliau memperkasakan program sosioekonomi untuk masyarakat pesisir pantai
Dun Sukau akan diteruskan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 ini.
Katanya, beliau akan
berusaha memastikan penduduk nelayan yang mendiami 16 buah kampung di kawasan
ini mampu menonjol dalam bidang ekonomi berasaskan perikanan, selain antara
kumpulan rakyat yang bakal meraih kemajuan fizikal seiring negara mencapai
status negara maju menjelang tahun 2020 kelak.
“ Antaranya saya berusaha
untuk mengujudkan sebuah perkampungan nelayan moden di kawasan ini. Ianya bukan
saja boleh meletakkan kawasan ini mampu memasarkan bidang perikanan dan
akukultur ke tahap berskala besar, tetapi golongan nelayan yang lebih
berkemahiran serta mempunyai kemudahan asas yang cukup bagi menjadikan sumber
lain sebagai bidang perindustrian ekonomi mereka,” katanya.
Berucap dalam siri kempen
beliau sebagai calon BN Dun Sukau di kawasan persisiran Pantai Dun Sukau di
sini, Saddi berkata, perancangan yang boleh memberikan keseimbangan ekonomi
kepada rakyat Dun Sukau yang tinggal di kawasan berkenaan pasti boleh
dilaksanakan jika rakyat kawasan itu terus memberikan sokongan padu kepada
Barisan Nasional.
“Kalau di tanah daratan
Sukau, saya boleh mencadangkan pengwujudan Pekan Baru Sukau, Bandar Bio
Diversiti, kenapa tidak di kawasan persisiran pantai yang pada tahun 70-an
mampu memberikan sumbangan besar dalam sektor perikanan kepada Daerah
Sandakan,” katanya.
Menurut beliau, masyarakat
nelayan yang tinggal di kawasan berkenaan sudah amat mengalu-alukan perancangan
bagi mewujudkan Perkampungan Nelayan Moden itu, ditambah dengan kewujudan
sebuah program pengawasan kesalahan khas yang diwujudkan kerajaan menerusi
penubuhan Pasukan Keselamatan Pantai Timur (ESCOM) yang menjadi agen kepada
perlaksanaan ESSZONE.
Dengan adanya pengawasan
keselamatan yang lebih rapi dan komited oleh pasukan tentera dan polis di bawah
Esszone, tegas Saddi, masyarakat nelayan di situ tidak lagi merasa terancam
untuk menjayakan bidang ekonomi mereka secara berterusan dan berdaya saing
tinggi untuk melonjakkan pendapatan keluarga.
“Seperti yang kita sedia
maklum, kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia untuk mendengar permintaan dan
tuntutan rakyat, apalagi dalam usaha memajukan bidang ekonomi penduduk luar
bandar dan nelayan. Lihat saja kandungan bajet-bajet persekutuan dan negeri
sebelum ini yang ditunjangi BN, kesemua menjurus kepada keperluan dan tuntutan
rakyat,” kata Saddi.
Naib Ketua Umno Bahagian,
Azman Haji Mastar menegaskan, rakyat kawasan Dun Sukau di mana juga perlu
menyambut segala perancangan teliti Datuk Saddi dalam memajukan rakyat di
kawasan itu, demi masa depan mereka.
Katanya, sokongan padu itu
perlu diterjemahkan dengan mengundi BN pada hari pengundian yang jatuh pada 5
Mei depan.
Katanya, sebagai rakyat
kawasan Dun Sukau, beliau dan semua pemimpin akar umbi dan rakyat perlu
sentiasa merasa bertuah kerana BN memiliki ramai pemimpin berwibawa termasuk
calon Dun Sukau, Datuk Saddi, diikuti Calon Parlimen, Datuk Bung Moktar Radin
dan calon BN Dun Kuamut, Masiung Banah yang datang dari Parti UPKO, salah satu
anggota komponen BN.
Gabungan kerjasama ketiga-tiga
pemimpin yang diletakkan sebagai calon BN itu telah sekian lama mewarnai
program pembangunan sosial rakyat di kawasan itu yang memberikan kebaikan
kepada rakyat setempat.
"Dengan jasa-kasa yang
telah disumbangkan mereka serta pemimpin terdahulu, sudah tentulah kita tidak
harus berpaling kepada tawaran-tawaran yang dibuat oleh calon-calon parti lain
yang matlamatnya hanya untuk merosakkan masa depan pembangunan, malah
menjejaskan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini," kata Azman.
(ST)
No comments:
Post a Comment