LAHAD DATU : Tujuh pengganas
Filipina didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis
Daerah Lahad Datu di sini atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang
di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan
pengganas.
Tiada pengakuan direkodkan
daripada tujuh lelaki berumur lingkungan 20-an hingga 63 tahun itu ketika pertuduhan
dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Lahad Datu, Rajalingam a/l
S.S.Maniam yang bersidang sebagai Majistret.
Pertuduhan asal dalam bahasa
Melayu diterjemah ke dalam dua bahasa iaitu Bajau dan Suluk.
Lima tertuduh didakwa
terhadap dua pertuduhan iaitu melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong
mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati dan menjadi ahli
kumpulan pengganas di bawah Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman
penjara seumur hidup dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Seorang lagi tertuduh
menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 121, 130KA dan Seksyen 130E iaitu
merekrut orang sebagai ahli kumpulan pengganas atau untuk menyertai perbuatan
pengganas yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda dan
Seksyen 130K iaitu melindungi orang yang melakukan perbuatan pengganas yang
membawa hukuman penjara seumur hidup dan
boleh didenda atau penjara maksimum 20 tahun dan boleh denda jika sabit
kesalahan.
Seorang lagi tertuduh pula
menghadapi satu pertuduhan mengikut Seksyen 130KA.
Pendakwaan diketuai Ketua
Unit Pendakwaan Sabah Jamil Aripin dan Timbalan Pendakwa Raya Lahad Datu Shukor
Abu Bakar. mahkamah juga membenarkan
permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 177A (2) Kanun Acara Jenayah bagi
memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Tawau.
Bagaimanapun tiada tarikh
ditetapkan untuk sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi.
Sementara itu seorang
anggota polis berpangkat Koperal juga didakwa di tempat sama Jumaat lepas mengikut Seksyen
130M iaitu dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat mengenai
tindakan pengganas, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau
kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Ini menjadikan sehingga hari
ini 16 orang didakwa di mahkamah. Pada 20 Mac lepas, lapan warga Filipina
didakwa di tempat sama mengikut Seksyen
121 dan Seksyen 130KA dan sehari selepas itu kes berkenaan disebut di Mahkamah
Tinggi Tawau.
Kes itu akan disebut semula
di Mahkamah Tinggi 12 April ini bagi mengetahui perkembangan perbincangan
Peguam Negara dengan Persatuan Undang-Undang Sabah, Majlis Peguam dan kerajaan
Filipina berhubung khidmat guaman yang akan diberikan kepada tertuduh. (Bernama)
No comments:
Post a Comment